(HIBURAN) TARUNG: UNFORGIVEN’ LANCAR TRELER RASMI, JANJI AKSI INTENSITI DAN EMOSI DI PAWAGAM MULAI 7 MEI

Spread the love

Kuala Lumpur, 10 April 2026 – Selepas ‘first look’ mencuri perhatian dan mencetuskan perbualan hangat di media sosial, filem aksi paling dinanti tahun ini TARUNG : Unforgiven melangkah ke fasa seterusnya dengan pelancaran treler rasmi yang menyaksikan lebih intensiti dan lebih emosi, serta gambaran lebih jelas tentang dunia MARGA yang menjadi latar utama filem ini.

Berdurasi 1 minit 45 saat, treler dibuka dengan perebutan takhta organisasi elit, MARGA yang menyaksikan penampilan deretan nama besar pelakon tanah air. Treler semakin menarik ketika mempamerkan babak aksi pertarungan di antara Hatta, lakonan Mierul Aiman dan Isa, lakonan Aedy Ashraf.

Diperkukuhkan dengan visual yang memukau dan realistik, koreografi aksi yang mendebarkan dan konflik emosi yang tegang, TARUNG: UNFORGIVEN menjanjikan sebuah pengalaman sinematik yang bukan sekadar aksi, tetapi sarat dengan mesej penebusan dan harga sebuah kesilapan.

Selain Mierul dan Aedy, filem arahan sutradara hebat Razaisyam Rashid ini membariskan pelakon hebat lain seperti Zul Ariffin, Bront Palarae, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel, Theebaan G, Shaharuddin Thamby, Razib Salimin, Jai JMT, serta Ijam Asri. Dengan kehadiran treler ini, TARUNG : Unforgiven bersedia menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026.

Pengarah dan Penulis Skrip merangkap Penerbit Eksekutif TARUNG : Unforgiven, Razaisyam Rashid, berkata, “Treler ini hanyalah sedikit gambaran kepada apa yang kami bina dalam Tarung: Unforgiven. Banyak elemen yang tidak dipertontonkan sepenuhnya supaya penonton dapat merasai satu pengalaman sinematik yang lebih mendalam dan menyeluruh, serta benar-benar ‘masuk’ ke dalam dunia Tarung di pawagam nanti. Saya berharap penonton dapat merasai pengalaman tersebut di layar perak dan memberi sokongan kepada filem ini apabila ia ditayangkan kelak.”

Pelakon, Penerbit dan Penerbit Eksekutif TARUNG : Unforgiven, Aedy Ashraf menyatakan “Ini merupakan pertama kali saya terlibat dalam proses penghasilan filem dari mula sehingga ke strategi pemasaran, dan ia satu pengalaman yang sangat bermakna buat saya. Alhamdulillah, teaser Tarung: Unforgiven telah mencatatkan lebih daripada satu juta tontonan dalam masa singkat, dan saya amat menghargai sokongan serta komen positif daripada penonton. Saya berharap treler ini dapat menerima sambutan yang baik”

Treler ini dilancarkan hari ini di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya TARUNG: Unforgiven bertempat di Banglo 289, Kuala Lumpur dan dihadiri penerbit, pengarah, barisan pelakon, media, serta pemamer. Bersempena pelancaran treler rasmi ini, pihak penerbit Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw, turut mengumumkan beberapa inisiatif kreatif.

INSIATIF PUBLISITI & PEMASARAN

  1. Tayangan Awal TARUNG : Unforgiven

Sesi tayangan awal TARUNG: Unforgiven bermula pada 6 Mei. Inisiatif ini khas buat peminat yang tidak sabar untuk merasai sendiri pengalaman penuh aksi dan emosi filem ini di layar perak lebih awal.

  1. Sesi Jelajah

Dalam usaha mendekati peminat dengan lebih dekat, barisan pelakon bersama pasukan produksi TARUNG: Unforgiven akan turun padang menerusi siri jelajah bermula 8 Mei. Jelajah ini akan merangkumi lokasi-lokasi terpilih di Lembah Klang, Selatan, Utara serta Pantai Timur Malaysia, memberi peluang kepada peminat untuk bertemu secara langsung dan merasai sendiri kemeriahan dunia TARUNG: Unforgiven.

KOLABORASI STRATEGIK

  1. Wetix

Sebagai rakan kolaborasi rasmi, Wetix membawa pengalaman TARUNG: Unforgiven lebih dekat kepada peminat melalui penjualan tiket dan pakej eksklusif. Bermula 15 April, tiket boleh didapati melalui aplikasi dan laman web Wetix, termasuk Pre-Sale Bundle Voucher yang ditawarkan untuk tempoh terhad dari 15 April hingga 6 Mei. Peminat juga boleh menikmati kemudahan pembelian melalui pelbagai platform pembayaran digital seperti Touch ‘n Go, Boost, MAE, Presto, Razer Pay dan WeChat Pay.

Kolaborasi ini turut menampilkan merchandise eksklusif seperti kemeja-t, bandana, dan Tarung Collectible Character Card, menjadikan setiap pembelian lebih bernilai buat peminat.

  1. Kunafa Aiwahhh

Sebagai Rakan Kunafa Rasmi, Kunafa Aiwahhh memperkenalkan edisi terhad kunafa ‘savoury’. Membawa konsep berani dan penuh intensiti, Kunafa Tarung diilhamkan daripada semangat bertarung dalam filem dengan menggabungkan kunafa rangup, sambal daging pedas dan lapisan keju leleh.

Dengan tagline ‘Satu Pertarungan Rasa’, ia dilancarkan bermula 17 April melalui platform media sosial, diikuti video komersial, peraduan TikTok, kolaborasi bersama radio ERA serta aktiviti seperti tayangan istimewa dan kemunculan istimewa para pelakon. Kunafa Tarung boleh didapati di siri jelajah Kunafa Aiwahhh seluruh Malaysia dan Brunei sepanjang April hingga Mei.

  1. Nuhae

Rakan Kesejahteraan Rasmi, Nuhae yang menyumbang kepada usaha pemasaran melalui pelaksanaan kempen video komersial yang akan memperluaskan capaian kepada penonton yang lebih luas.

LAGU TEMA FILEM

TARUNG: Unforgiven mempunyai dua runut bunyi eksklusif. Lagu bertajuk ‘Test’ oleh penyanyi trio muda, Distorted (SINO, BALO dan ENEYEQAY) hadir dengan tenaga dinamik, lengkap dengan video lirik dan muzik rasmi. Sementara itu, penyanyi terkenal Noh Salleh membawakan lagu ‘Terbang’, karya istimewa untuk babak finale yang mengangkat tema persaudaraan, melepaskan dan kemaafan, dijangka dilancarkan pertengahan April bersama video muzik rasmi.

TARUNG: Unforgiven mengisahkan bekas juara silat yang diburu dosa silam selepas berlakunya satu tragedi. Dia terpaksa bertarung di gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya, tanpa menyedari lawan yang menanti ialah orang terdekatnya satu ketika dahulu.

Ikuti perkembangan terbaru dan klip menarik filem ini di semua digital platform Alpha47, Icon Pictures dan Astro Shaw. Gunakan #TarungUnforgiven bagi berkongsi dan ikuti keterujaan tentang filem ini.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *