NOVEL Di Bawah Lindungan Kaabah karya penulis dan ulama terkenal, Prof. Hamka memang diakui sebagai antara karya terbaik di Nusantara sejak diterbitkan sekitar 1930-an. Novel yang berlatarbelakangkan Indonesia dan Tanah Suci Mekah itu membuatkan pembacanya insaf tentang kebesaran cinta kepada Allah dan sesama manusia.
Justeru, tidak hairanlah apabila karya penulis Minangkabau itu difilemkan pada 1978 dan sekali lagi pada 2011 yang mana telah mencipta sejarah sebagai filem paling mahal dihasilkan di negara garuda itu, iaitu RM9.3 juta.
Kini, kisah cinta tersebut akan ditranformasikan untuk julung kalinya ke pentas teater apabila bakal menemui khalayak pada 8 -15 Mei 2014 di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Muhammad Juhari Shaarani, pemilihan Di Bawah Lindungan Kaabah berdasarkan kehebatan karya tersebut yang membawa nilai-nilai positif kepada masyarakat terutama yang berkaitan dengan kecintaan kepada agama.
Di samping itu, pemilihan karya penulis Indonesia itu juga sebagai usaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menarik pelancong dari negara tersebut dan sekitar Nusantara seperti Singapura dan Brunei untuk sama-sama datang menonton.
“Kita percaya melalui persembahan karya besar, ditulis oleh penulis tersohor yang dikenali seluruh dunia serta dengan gandingan kerja kreatif yang mantap dan promosi yang sistematik, akan berjaya menarik pelancong melalui seni budaya untuk datang ke negara kita.
“Persembahan ini juga memenuhi salah satu daripada hasrat Istana Budaya untuk memperbanyakkan karya adaptasi novel ke teater sebagaimana yang pernah dilakukan ke atas novel Badai Semalam karya Khadijah Hashim,” tambah Juhari.
Persembahan selama 10 hari itu diterbitkan bersama syarikat teater CTRA Production yang telah berjaya menerbitkan banyak teater di Istana Budaya termasuklah Muzikal Tun Mahathir , Muzikal Upin & Ipin, Muzikal Ibu Zain, Muzikal Lantai T.Pinkie, Nyonya & The Gang, Muzikal Gamat dan Dejavu.
“Bagi merealisasikan persembahan tersebut, produksi yang melibatkan kos RM2.4 juta itu telah mula mengatur langkah meskipun persembahannya hanya akan menemui khalayak kira-kira enam bulan lagi.
“Perbincangan mengenai hakcipta karya tersebut pula telah dipersetujui oleh pihak CTRA Production dengan lima anak-anak Allahyarham Prof. Hamka pada 16 September lalu,” tambahnya.
Beliau tidak menolak bahawa barisan pelakon terkenal yang telah dirisik untuk teater ini adalah seperti Adi Putra, Erra Fazira, Izzue Islam dan Erma Fatima.
Pelakon handalan yang tersenarai untuk pementasan ini ialah Adi Putra, Nasha Aziz, Fizo Omar, Elfira Loy, Liza Abdullah dan DAFI.
Pengarah dan penulis skrip ialah Rosminah Tahir. Manakala pengarah muzik, Datuk Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah) serta dibantu hampir 200 pelakon lain.
Di Bawah Lindungan Kaabah mengisahkan seorang pemuda bernama Hamid yang dilahirkan sebagai manusia yang baik, bersopan-santun, patuh kepada ibu dan tidak pernah meninggalkan suruhan Allah S.W.T sejak kecil.
Dia dibesarkan dalam kehidupan yang susah, menumpang kasih dan ilmu agama dari Engku Hj Jaafar dan Mak Asiah, serta membesar bersama anak mereka bernama Zainab.
Setelah remaja, Hamid dan Zainab menyimpan perasaan kasih antara mereka tetapi hanya tersimpan dalam hati.
Hamid yang cuba menyingkirkan perasaan itu kerana telah menganggap Zainab sebagai adik sendiri, membawa diri mengembara hinggalah ke Tanah Suci Mekah.
Ketika di tanah haram itulah, banyak perkhabaran sedih diterima melalui sahabat baiknya Salleh dan isterinya Rosnah.
Hamid sendiri dijemput Allah sebaik selesai mengerjakan haji pada usia 34 tahun.
- Diolah dari artikel asal Utusan Malaysia