(HIBURAN)  TEGKANG – ‘Angkat Tema Tentang Kasih Sayang, Kebebasan Dan Janji’

Spread the love

Boleh dikatakan industri perfileman tanah air sudah terlalu banyak dibanjiri dengan naskhah yang bergenre seram, aksi atau komedi. Agak jarang untuk melihat sesebuah filem tempatan menonjolkan paparan budaya sesebuah masyarakat terutamanya pada masa sekarang, di sebalik jalan cerita yang menyentuh perasaan.

Oleh yang demikian, ia memberikan inspirasi kepada syarikat produksi MyContent Distribution Sdn Bhd untuk menghasilkan sebuah filem berjudul Tegkang.

Penerbit Eksekutif, Lyn Nasihin berkata, perkataan ‘Tegkang’ diambil daripada bahasa kaum Kelabit di Sarawak yang bermaksud ‘Pelangi’.

“Idea asal jalan cerita filem ini adalah daripada pengarah iaitu Josh Nawan. Sewaktu sesi perbincangan, dia berkongsi konsep dan jalan cerita cukup menambat hati saya.

“Ia bukanlah sekadar sebuah cerita cinta semata-mata, tetapi turut mengangkat tema tentang kasih sayang, kebebasan dan sikap berpegang pada janji,” ujarnya.

Jelas Lyn, filem berkenaan menampilkan barisan pelakon iaitu Syafie Naswip dan Michelle Lungan yang juga seorang pelakon Kelabit kelahiran Sarawak.

Tegkang mengisahkan tentang hubungan antara seorang pelancong, Hanafi (Syafie) dengan seorang gadis tempatan iaitu Rinai (Michelle) yang dibesarkan di sebuah kampung di kawasan pedalaman di Bario, Sarawak.

Bagaimanapun, kehadiran Hanafi ke kampung itu ternyata telah mengubah kehidupan Rinai, yang akan mengakibatkan sebuah rahsia lama yang tersimpan akhirnya terbongkar.

Mengenai keistimewaan filem ini, Lyn memberitahu pihaknya menggunakan 99 peratus pelakon tempatan Kelabit dan penggambaran juga hampir keseluruhannya dilakukan di Bario.

“Menariknya tentang Tegkang  adalah paparan tentang budaya dan kehidupan masyarakat kaum Kelabit yang jarang diketengahkan dan kurang diketahui masyarakat luar.

“Ia antara kelainan yang cuba ditampilkan memandangkan masyarakat lebih mengenali Sarawak dengan kisah ‘headhunting’ (pemburu kepala) atau Bujang Senang. Sedangkan Sarawak cukup kaya dengan pelbagai budaya yang menarik serta tempat-tempat yang cukup indah,” ujarnya.

Jelasnya lagi, paling istimewa apabila baru-baru ini Tegkang memenangi Anugerah Juri di Festival Lift-Off yang dihoskan oleh Pinewood Studios UK.

Selain itu, filem ini turut dipilih sebagai Filem Penutup Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF) 2024.

Yang terbaharu, Tengkang turut menang beberapa kategori seperti Pelakon Wanita Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Filem Cereka Terbaik di acara Borneo Arts And Creative Awards (BACA) 2024 yang berlangsung di Kuching pada September lalu.

“Ini merupakan satu penghormatan besar menunjukkan keupayaan filem untuk mendapat tempat dalam kalangan penonton tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.

Sementara itu, Josh selaku pengarah pula memberitahu idea untuk menghasilkan filem berkenaan tercetus berdasarkan pengalamannya sendiri dibesarkan di kawasan pedalaman.

“Sebenarnya, jalan cerita dalam filem Tegkang ini memang ada berkait rapat dengan kisah tentang datuk saudara saya.

“Memandangkan saya membesar dengannya, jadi saya rasa kisahnya itu sangat menarik untuk diolah menjadi sebuah naskhah filem,” ujarnya.

Mengakui terpaksa berhadapan dengan beberapa cabaran sepanjang penggambaran, Josh menyatakan ia langsung tidak melemahkan semangatnya.

Ujarnya, untuk menjalani penggambaran di sebuah kawasan pedalaman ternyata bukan suatu perkara yang cukup mudah.

“Pertama sekali adalah dari segi logistik kerana perjalanan untuk ke Bario sahaja mengambil masa selama 15 jam melalui jalan darat dari bandar terdekat.

“Malah, cuaca pula agak sejuk ketika penggambaran sehingga ada beberapa kru yang jatuh sakit. Apapun kami berasa lega kerana semuanya tetap berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Sebagai pengarah, Josh meluahkan harapan agar naskhah sulungnya itu akan mendapat tempat di hati penonton.

“Sudah tentu saya berharap supaya filem ini mendapat sambutan penonton, termasuk di dalam dan luar negara.

“Namun, lebih penting Tegkang mampu menjadi platform untuk orang ramai mengenali lebih dekat tentang Bario dan kaum Kelabit,” ujarnya.

Filem Tegkang akan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 28 NOVEMBER 2024.

SINOPSIS

Di sebuah kampung pedalaman yang damai, satu rahsia yang tersimpan rapi terbongkar secara _dak sengaja sehingga mencetuskan sebuah kisah cinta yang akan menguji ikatan seluruh komuni_.

Tegkang meneroka kehidupan di sebuah kampung terpencil di Bario, di mana rahsia yang sudah lama tersimpan mula terdedah dengan kehadiran pelancong iaitu Hanafi (Syafie Naswip) yang berkawan dengan Rinai, seorang gadis yang menetap di kampung berkenaan.

PELAKON

SYAFIE NASWIP                                               – HANAFI

MICHELLE LUNGAN                                         – RINAI

HEZEKIAH ASIM                                              – RITAP

PUN RATU ARAN                                            – SINA RUNA

LIAN TARAWE                                                 – GURUQ

PRODUKSI

TERBITAN                                                        – MYCONTENT DISTRIBUTION SDN. BHD.

PENERBIT                                                         – JESSLYN FOO

PENERBIT EKSEKUTIF                                       – LYN NASIHIN & JASON CHONG

IDEA ASAL                                                        – JOSH NAWAN

PENGARAH                                                      – JOSH NAWAN

SKRIP                                                               – JOSH NAWAN & SKY KHOR

PEREKA PRODUKSI                                          – TAM KHALID

PENGARAH MUZIK                                          – DAVID KOON

PENYUNTING                                                   – HAFEEZ @ ICEBERG POST SDN BHD

PENGARAH FOTOGRAFI                                  – HARIS HUE

 

 


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *