(HIBURAN) Transformasi Kehidupan Joey Daud Dalam Bidang Seni

Spread the love

Hampir tiga dekad bergelar anak seni, pelakon dan pelawak otai, Joey Daud terpaksa membuka akaun Instagram dan TikTok untuk mempromosikan filem terbaharu berjudul Gadis Jolobu The Movie.

Joey atau pemilik nama sebenar, Zulkifli Daud, 49, berkata, dia akur orang lama sepertinya perlu mengikut trend semasa untuk terus bertahan dalam industri hiburan tanah air.

“Selepas sekian lama dalam bidang seni, saya tidak menyangka pada usia sekarang akan membuka akaun Instagram dan TikTok sebagai medium mempromosikan filem lakonan.

“Namun, saya percaya impak media sosial apabila beberapa babak lakonan dalam filem Gadis Jolobu The Movie yang dimuat naik ke aplikasi Tik Tok menjadi tular dalam media sosial,” katanya.

Mengulas lakonan dalam filem genre komedi romantik, Gadis Jolobu The Movie, pelakon kelahiran Masai, Johor itu berdepan cabaran menjiwai watak yang memerlukannya bertutur dialek Negeri Sembilan dengan pelat ‘S’ di penghujungnya. Contohnya, perkataan Apo jadi Apos.

Menerusi filem arahan arahan CL Hor itu, Joey bergandingan dengan Datuk Hattan dan Khir Rahman.

“Bayangkan, pengarah dan kru adalah 90 peratus bukan berbangsa Melayu dan mereka juga tidak memahami dialek Negeri Sembilan.

“Mujur, Hattan dan ada kru kelahiran Negeri Sembilan memantau dialek dituturkan ketika babak saya di lokasi penggambaran,” katanya.

Namun, kata Joey, dia tidak ada masalah untuk mendapatkan keserasian bekerjasama dengan Hattan mahupun Khir.

“Babak saya banyak dengan Khir kerana watak kami sebagai bujang terlajak yang terlebih dahulu pulang ke kampung selepas sekian lama bekerja di bandar.

“Saya dan Khir sudah banyak kali bekerjasama dalam pelbagai program seperti Muzikal Lawak Superstar, Maharaja Lawak Mega dan kumpulan JanGo. Disebabkan itulah, kami sudah tahu cara masing-masing bekerja.

“Antara perkara melucukan ialah babak saya menyanyi, tetapi semua kru ketawa dan turut sama menari,” katanya.

Mengulas kerjasama dengan CL Hor, Joey berkata, dia selesa bekerja dengan pengarah berbangsa bukan Melayu yang berpengalaman mengarahkan filem di China, Hong Kong dan Korea Selatan selama berbelas-belas tahun itu.

“CL Hor memberi kebebasan dan ruang kepada saya berkarya dan menjiwai watak,” katanya.

Filem terbitan syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd turut menampilkan anak Hattan, Adam E, Nizam Laksamana dan penampilan bakat baru serta pengacara Ahirine Ahirudin. Menariknya, filem berteraskan dialek Malaysia itu memberi tumpuan pada budaya dan tradisi Minangkabau dari Negeri Sembilan.

Ditanya harapannya terhadap filem itu, Joey berkata, dia gementar menanti maklum balas penonton di pawagam.

“Pelawak adalah satu kerjaya. Bukan mudah menjadi pelawak yang bagus kerana kena banyak menuntut ilmu dengan pelawak hebat.

“Pada masa sama, bukan semua orang suka kita, tetapi saya ikhlas berkarya untuk menghiburkan penonton,” katanya.

Gadis Jolobu The Movie dihasilkan susulan kejayaan lagu duet Hattan bersama Waris, Gadis Jolobu yang meraih tontonan hampir 10 juta di You Tube.

Filem berkenaan akan menemui penonton di pawagam GSC di seluruh negara dan platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY bermula 4 Ogos depan.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *