Menjelang penghujung tahun, penyanyi berbakat Malaysia, Vanessa Reynauld, mengumumkan pelancaran single Mandarin pertamanya berjudul Would You Leave Me Too?. Lagu ini boleh didapati di semua platform penstriman utama bermula Jumaat, 28 November 2025, sebagai hadiah istimewa buat para peminat sempena penutup tahun. Anak seni kelahiran Klang ini terus memperluaskan kerjaya seninya dengan langkah berani menembusi dunia muzik Mandarin, sekali gus mengukir satu lagi pencapaian baharu dalam perjalanan seninya.
Susulan penampilannya dalam program variasi muzik baharu dari China, The Voice Power, Vanessa semakin mengukuhkan pengaruhnya di peringkat serantau. Episod perdana rancangan tersebut memperkenalkan format “pendengaran dan pemilihan secara buta”, di mana para penyanyi bersaing membentuk pasukan hanya berdasarkan persembahan vokal. Tanpa pertemuan secara langsung atau penampilan di layar, keputusan juri untuk memberikan “like” bergantung sepenuhnya pada persembahan sebuah lagu, sekali gus membuka lembaran baharu dalam format pertandingan muzik.
Dengan pelancaran single terbarunya, Would You Leave Me Too?, Vanessa menandakan babak baharu dalam kerjayanya. Beliau dengan penuh yakin menggabungkan pengalaman peribadi dan kreativiti seni untuk menghasilkan karya yang merentasi budaya dan bahasa. Lagu ini mengukuhkan reputasinya sebagai seorang pencerita yang memukau, berani menyalurkan emosi melalui muziknya.
Seiring dengan gaya muzik signature Vanessa, Will You Leave Me Too? merupakan sebuah balada yang menyentuh jiwa, menyelami tema cinta, kehilangan dan kerapuhan hubungan sesama manusia. Single ini menonjolkan emosi yang luar biasa, sambil memperlihatkan kepelbagaian vokalnya daripada nada rendah kepada nada tinggi yang bertenaga serta memukau. Dengan sentuhan piano yang lembut dan mengalun, disertai lapisan R&B serta akustik, lagu ini menyerlahkan emosi tulus dalam suaranya, mencipta pengalaman mendengar yang begitu peribadi dan menyentuh hati secara mendalam.
Dihasilkan oleh barisan pencipta lagu tempatan berbakat termasuk Hanz Koay, Shio dan Rooy Ang, single ini bukan sahaja meneroka ketidakpastian dalam percintaan, malah menggambarkan ketakutan sejagat terhadap perpisahan, perubahan dan ketidakkekalan hidup. Ia merupakan refleksi emosi tentang mencintai sepenuhnya walaupun menyedari bahawa segala-galanya bersifat sementara. Vanessa berkongsi, “Apabila penerbit bertanya jenis lagu yang saya mahukan untuk single Mandarin pertama saya, saya tahu ia mesti tentang cinta. Menjalinkan hubungan jarak jauh mengajar saya betapa pentingnya komunikasi. Apabila saya mendengar demo dan chorus yang bermula dengan ‘Would You Leave Me Too?’, saya terus dapat menyelaminya, bukan sahaja dalam percintaan, tetapi juga dalam pelbagai aspek kehidupan.”
Vanessa turut membuka hati mengenai pengalaman peribadinya. “Saya mempunyai abang sulung yang menghidap sindrom Down, dan kesihatannya agak merosot kebelakangan ini. Kadang-kadang, saya tidak tahu bila masanya dia mungkin meninggalkan saya,” ujarnya. “Ibu bapa saya juga sudah memasuki usia lewat 70-an, dan saya sering tertanya-tanya — adakah mereka akan berpeluang menyaksikan perkahwinan saya, melihat anak-anak saya, dan masa depan saya? Lagu ini menjadi cerminan semua emosi itu, serta keinginan untuk menjaga insan tersayang.”
Dilancarkan di semua platform penstriman utama pada 28 November 2025, Would You Leave Me Too? merupakan karya paling peribadi Vanessa setakat ini. Apa yang bermula sebagai kisah cinta kini berkembang menjadi renungan mendalam mengenai kehidupan, kehilangan dan kerinduan – sambil mengundang pendengar menelusuri hubungan mereka sendiri, sama ada dengan pasangan, keluarga atau perjalanan hidup. Menerusi single Mandarin pertamanya ini, Vanessa tidak sekadar menyampaikan sebuah lagu, sebaliknya menghadiahkan secebis hatinya, merakamkan realiti pahit manis mencintai sepenuh jiwa dalam dunia yang sentiasa berubah.
Dengarkan ‘Would You Leave Me Too?’ DI SINI: https://vanessareynauld.lnk.to/WYLMT
