(HIBURAN) Viu Malaysia persembahkan Viu Original pertama sempena Ramadan, Terlanjur Cinta  

Spread the love

KUALA LUMPUR, 6 Mac 2024 – Viu, penyedia perkhidmatan penstriman video OTT pan serantau milik PCCW melancarkan Viu Original terbaru, Terlanjur Cinta, karya penerbit veteran Eirma Fatima. Terlanjur Cinta ini merupakan drama pertama sempena Ramadan yang ditawarkan oleh Viu Malaysia, dibintangi Puteri Balqis, Syafiq Kyle, Khir Rahman, Datin Seri Umie Aida, Syafie Naswip dan Syafi Tee. Siri ini akan mula ditayangkan pada 14 Mac 2024, dengan episod baharu disiarkan pada setiap Khamis, Jumaat dan Sabtu sepanjang bulan Ramadan.

Kingsley Warner, Pengurus Negara, Viu Malaysia, berkata, “Menjelang Ramadan, kami komited dalam menyediakan kandungan yang dekat di hati para penonton kami. Terlanjur Cinta, siri pertama sempena Ramadan Viu Malaysia menjanjikan persembahan yang memikat hati penonton dengan kisah percintaan dan kehidupan yang penuh emosi di bulan mulia ini.”

Terlanjur Cinta dihasilkan dan diterbitkan oleh penerbit berpengalaman Eirma Fatima, yang pernah menghasilkan drama televisyen Perempuan Itu (2023). Eirma juga pernah mengarahkan filem klasik Malaysia, Perempuan Melayu Terakhir (1999) dan Embun (2002). Beliau juga telah menerbitkan beberapa siri drama popular Aku Bukan Malaikat (2012), Akulah Balqis (2014) dan Pesan Dari Tuhan (2017). Terlanjur Cinta bakal menjadi satu lagi portfolio hebat, yang mengukuhkan lagi reputasi beliau sebagai pengkarya berbakat yang terus meningkatkan industri hiburan tempatan.

Terlanjur Cinta diarahkan oleh Izuan Mokhtar yang sebelum ini merupakan seorang pelakon. Portfolio mantap yang dimiliki Izuan termasuklah drama romantis Aku, Kau & Dia (2012) dan komedi romantis Bella & Jamie (2019). Sumbangan beliau sebagai pengarah menghasilkan karya seperti Malaysian Ghost Stories (2021), Bini-bini Lockdown (2022) dan Curi Duit Raya (2022), yang mempamerkan kepakaran beliau dalam pelbagai aspek dan penglibatan kreatif dalam pelbagai genre dan produksi.

Terlanjur Cinta mengisahkan tentang Aishah, seorang gadis muda dari keluarga miskin. Demi menyelamatkan abangnya, seorang penagih dadah dari dipenjarakan dan juga mengubah nasib keluarga dari kemiskinan, Aishah membuat keputusan untuk berkahwin dengan duda terlajak, Pak Majid. Keputusan ini memaksa Aishah untuk melupakan perasaannya terhadap Amir, teman rapatnya sejak kecil. Keperibadian Pak Majid yang sopan dan budiman membuatkan Aishah jatuh hati walaupun terdapat perbezaan usia. Namun, sebaik sahaja mendapat sinar kebahagiaan, harapannya musnah setelah Pak Majid yang baru pulang dari lawatan kerja, memperkenalkan isteri barunya. Kemesraan Pak Majid yang telah berubah menyebabkan Aishah menjadi keliru. Dalam masa yang sama, Amir masih lagi mengintai peluangnya dari jauh, dengan harapan dapat memberi kebahagiaan yang seharusnya dimiliki Aishah.

Drama Terlanjur Cinta ini ditaja khas oleh Vivo V30.

Sepanjang Ramadan ini, Viu turut melancarkan beberapa inisiatif menarik di mana Viu akan mengunjungi 18 lokasi bazar Ramadan di sekitar Lembah Klang setiap minggu dan mengedarkan 10,000 barangan eksklusif Viu. Di samping itu, terdapat juga trak Terlanjur Cinta yang diletakkan secara strategik di pusat membeli-belah yang membawakan pelbagai aktiviti menghiburkan termasuk peluang menangi hadiah dan barangan eksklusif Viu serta sesi beramah mesra bersama pelakon Terlanjur Cinta pada setiap hujung minggu. Nantikan maklumat lanjut berkenaan tarikh dan lokasi trak Terlanjur Cinta ini di akaun media sosial Viu Malaysia.

Terlanjur Cinta boleh ditonton di aplikasi Viu, yang tersedia untuk dimuat turun secara percuma di App Store, Google Play, Galeri Aplikasi Huawei dan TV pintar terpilih, serta di web www.viu.com.

Untuk mengetahui lebih lanjut, muat turun Viu di App Store atau Google Play, atau layari www.viu.com. Ikuti kami di Facebook, Instagram, YouTube, Twitter, dan TikTok.

-#-


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *