Kisah seram yang dikaitkan dengan sesuatu kaum, terutama sekali di negeri seperti Sabah agak jarang dipaparkan. Apatah lagi kisah-kisah yang amat berkait rapat dengan amalan kuno dan masih lagi diamalkan sehingga sekarang.
Itu antara yang dipaparkan dalam filem berjudul Mantera, sebuah kisah tentang tradisi lama amalan ritual yang dilakukan oleh ‘Bobolian’ (bomoh) yang begitu sinonim dalam kalangan kaum Dusun terbitan syarikat Pro Merge Vision Sdn. Bhd.
Pengarah, Chester Pang berkata, Mantera adalah inspirasi daripada kisah ‘Bobolian’ dan dia berasa terpanggil untuk berkongsi dengan orang ramai tentang kewujudan amalan tradisi lama kaum Dusun di Sabah yang kini sudah jarang diamalkan.
“Boleh dikatakan tidak ramai mengetahui tentang tradisi lama amalan ritual yang dilakukan oleh ‘Bobolian’ sebagai ketua adat serta menjadi perantara dan pengimbang antara dua alam iaitu alam nyata (manusia) dan ‘kinohiringan’ (dewa).
“Jadi, saya merasakan kisah mengenai Bobolian atau bomoh kaum Dusun ini agak menarik untuk diangkat menjadi sebuah filem,” ujarnya.
Mantera menampilkan barisan pelakon popular iaitu Syafie Naswip dan Namron serta pelakon kelahiran Sabah seperti Jovenia Jim, Wedylin Batala dan Larry Noh.
Chester berkata, Mantera adalah sebuah filem mengisahkan tentang penyiasatan mengenai satu kes pembunuhan yang berkait rapat dengan amalan ‘Bobolian’.
Ujarnya lagi, filem terbaharu arahannya itu bukan sekadar sarat dengan babak seram sahaja, malah turut memaparkan ritual-ritual yang dilakukan oleh ‘Bobolian’ serta menunjukkan elemen roh jahat dalam norma kehidupan masyarakat.
Dalam pada itu, pengarah berkenaan yang juga merangkap penerbit mengakui berlaku dua kejadian yang menyeramkan ketika penggambaran berlangsung pada Februari 2024 di Tambunan, Apin-Apin dan Kota Belud.
“Yang pertama ketika babak memanggil roh di sebuah balai raya apabila pelakon utama wanita dan seorang pelakon pembantu wanita telah dirasuk, namum berjaya dikawal oleh seorang guru silat yang secara kebetulan berada di lokasi penggambaran.
“Insiden yang kedua pula apabila seorang kru telah terjatuh ke dalam gaung dan mendakwa dirinya seperti ditarik sesuatu. Malah, insiden berkenaan turut disaksikan Syafie Naswip dan Namron,” ujarnya.
Biarpun berhadapan dengan cabaran dan kejadian yang menyeramkan, Chester memberitahu filem arahannya itu wajar ditonton apabila ia mula ditayangkan di pawagam mulai 24 April 2025.
Jelasnya, Mantera bukan sekadar naskhah seram semata-mata, tetapi ia membawa naratif yang berbeza apabila ia menonjolkan amalam tradisi kaum Dusun yang mungkin tidak diketahui ramai.
“Filem ini menggabungkan elemen seram dan mistik bertemakan budaya masyarakat di Sabah yang jarang dipaparkan, jadi ia antara tarikan untuk menontonnya.
“Selaku penerbit juga harapan saya pastinya mahukan filem ini dapat diterima ramai dan mendapat kutipan pecah panggung,” ujarnya.
SINOPSIS
Tana, seorang wanita muda dengan kebolehan spiritual yang diwarisi daripada keturunan Bobolian (bomoh), harus menghadapi beberapa kejadian apabila roh jahat mula menyerang orang-orang yang rapat dengannya. Semasa kejadian pelik dan kematian yang menakutkan berlaku, Tana menemui asal-usul roh jahat iaitu Lupiah dan kaitan dengan nenek moyangnya iaitu Ondiya yang merupakan seorang Bobolian.
Dengan bantuan Inspektor Zafri, seorang polis muda dengan masa lalu yang gelap, keduaduanya terpaksa berhadapan dengan roh jahat ‘Rogon Lupiah’ dalam pertarungan epik.
PELAKON | ||
SYAFIE NASWIP | – Inspektor Zafri | |
JOVENIA JIM | – Tana | |
NAMRON | – Sarjan Ramli | |
WEDYLIN BATALA | – Damiane | |
LARRY NOH | – Aaron |