Selepas 18 tahun, sequel filem yang pernah menjadi fenomena pada tahun 2007 akan mengulangi sejarah bermula 17 Julai 2025. Filem Impak Maksima 2 kali ini tampil dengan aksi yang lebih mendebar dan menggegarkan. Filem terbitan Screen Studio Sdn Bhd arahan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri ini menampilkan hampir 1000 buah kereta pelbagai jenis yang pasti membuatkan peminat sukan permotoran terutamanya kereta tak sabar untuk menanti filem ini ditayangkan.
Filem Impak Maksima 2 menampilkan barisan pelakon lama digandingkan dengan pelakon baru yang sedang bersinar dan meningkat naik. Antaranya, Zul Huzaimy, Dato’ Sri Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar, Riezman Khuzaimi, Opie Zamie bergandingan dengan Arfie Shah, Nelissa Nizam, Muhsin Nadzli, Fad Bocey, Riena Amirah, Man Raja Lawak dan ramai lagi. Penggambaran telah berlangsung di sekitar Lembah Klang, Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Melaka Bandaraya Bersejarah.
Sokongan padu yang diterima dari para penaja seperti Goodyear, Petronas Syntium, APD Crew Circuit, Tatabaum Autowerks, Ultra Racing, WrapXpert, Works Engineering, HJC Helmet mencerminkan keyakinan mereka terhadap filem Impak Maksima 2 ini. Tidak dilupakan sokongan yang tidak berbelah bagi dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang telah banyak membantu melancarkan penggambaran.
Cabaran utama yang dihadapi adalah untuk memastikan Impak Maksima 2 ini lebih memukau berbanding yang telah dihasilkan dalam Impak Maksima (2007). Namun, sepanjang penggambaran dijalankan, filem ini telah menjadi filem yang paling tular (viral) di platform media sosial.
Pendekatan yang lebih berani dalam mempromosikan filem ini setakat ini telah menampakkan keberkesanannya. Ia akan diteruskan sehingga filem ini ditayangkan kelak. Harapan Penerbit dan Pengarah agar filem Impak Maksima 2 ini terus mendapat sokongan padu dari setiap golongan pastinya dari peminat filem Malaysia khususnya peminat filem berunsur permotoran.
Nantikan Impak Maksima 2 di pawagam 17 Julai ini.
SINOPSIS
ABANG JOE (Dato’ Sri Eizlan Yusof), memiliki sebuah pusat permotoran bernama APDCREW CIRCUIT di Selangor. Di era kesuraman dunia motorsport, perniagaan Abang Joe juga terkena tempiasnya. Satu hari Abang Joe telah didatangi seorang pemuda bernama RUDY (Arfie Shah) yang merupakan anak saudara kepada kenalan lama Abang Joe di Johor Bahru ASP MARIA (Dynas Mokhtar). Rudy seringkali terlibat aktiviti lumba haram dan di tahan di lokap. ASP Maria faham yang Rudy sebenarnya memberontak dengan ibunya yang tidak bersetuju untuk Rudy meneruskan pengajian di bidang automotif. Akhirnya ASP Maria membuat perjanjian untuk menyokong Rudy memasuki dunia permotoran tapi dengan syarat dia kena bekerja dahulu dengan syarikat Abang Joe untuk mendapat bimbingan secara lebih profesional. Dengan cara ini dia percaya Rudy boleh menjadi seorang yang disiplin. Di APDCREW, Rudy tidak menyangka yang dia bertemu dengan lagenda motorsport tanahair seperti Abang Joe yang merupakan idolanya. Kini Rudy mula memasang semangat untuk berusaha sehabis baik bagi mencapai cita-citanya. Rudy mula melakukan tugasnya sebagai Pembantu Am menguruskan arena tersebut. Di situ juga dia berkenalan dengan NAIM (Fad Bocey), budak RX-Z dan merupakan seorang rider sparepart. Di situ juga dia berkenalan dengan PUTERI (Riena Amirah) yang bekerja sebagai pembantu Abang Joe. Yang membuatkan dia semakin teruja adalah kawasan Akademi Drift yang di uruskan oleh JOHAN (Johan Norman) yang merupakan salah seorang Drifter Professional satu ketika dahulu. Rudy merasakan inilah peluang dia menimba sebanyak ilmu jika hendak menjadi drifter hebat.
Rudy mula berkenalan dengan RIO (Muhsin Nadzli) yang mengambil kelas drift di situ. Setiap kali dia datang, pasti akan ada rakan kayangan menemaninya dengan memandu kereta-kereta mewah. Rio juga sering ditemani oleh teman wanitanya GIA (Nelissa Nizam). Sedar diri akan perbezaan status itu, Rudy cuba untuk tidak mendekatkan dirinya dengan Rio. Rudy hanya bekerja seperti biasa untuk memberikan servis yang terbaik kepada pelanggan APDCREW. Tetapi segalanya berubah apabila satu hari Rudy telah terjumpa Gia yang ketika itu sedang bergaduh besar bersama Rio. Rudy yang kebetulan berada di situ mula merapati Gia dan mereka mula berkenalan dan menjadi rapat. Sejak hari itu, Gia sering berjumpa Rudy dan Gia amat seronok lepak dan berada bersama Naim dan Puteri juga. Ini membuatkan Rio begitu tercabar. Satu hari Rio telah mencabar Rudy untuk berlumba dengannya. Di ketika itu lah muncul RAY (Zul Huzaimy). Kemunculan Ray adalah untuk memerangkap Rudy dia melepaskan dendam lama pada Abang Joe. Perangkap Ray mengena apabila Rudy kini terhutang satu kereta yang di pinjamkan untuk berlumba di sebabkan kemalangan. Ray menggunakannya untuk memeras Rudy membayar dan mendapatkan Abang Joe untuk berdepan dengannya. Ray telah mencabar Abang Joe untuk meletakkan Rudy masuk berlumba dalam pertandingan drift yang bakal berlangsung lagi sebulan. Ray meletakkan cabaran sekiranya Abang Joe menang, dia akan meghapuskan segala hutang Rudy, tetapi sekiranya kalah, Abang Joe kena menyerahkan APDCREW. Abang Joe bersetuju dengan syarat mereka meletakkan Rio juga mewakili mereka di pertandingan tersebut. Ray bersetuju. Siapa yang bakal menjuarai pertandingan tersebut? dan berjaya atau tidak Abang Joe mengekalkan APDCREW? Segalanya akan terjawab di dalam Filem IMPAK MAKSIMA 2, 2025.
KARYAWAN
| PELAKON | |
| Arfie Shah | sebagai Rudy |
| Nelissa Nizam | sebagai Gia |
| Muhsin Nadzli | sebagai Rio |
| Fad Bocey | sebagai Naim |
| Riena Amirah | sebagai Puteri |
| Dato’ Sri Eizlan Yusof | sebagai Abang Joe |
| Zul Huzaimy | sebagai Ray |
| Khenobu | sebagai Kachip |
| Dynas Mokhtar | sebagai ASP Maria |
| Riezman Khuzaimi | sebagai Adam |
| Opie Zamie | sebagai Amran |
| Faris Azri (Choii) | sebagai Choii |
| Aydeel Idham
TENAGA PRODUKSI |
sebagai Tata |
| Terbitan | Screen Studio Sdn. Bhd. |
| Penerbit | Dato’ Saifulhaq Anani |
| Pengarah | Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri |
| Penolong Pengarah | Rosli Mohd Taib
Mohd Idros Omar Mat Hassan |
| Conty/ Clapper | Muhamad Azim Ismail |
| Pengurus Produksi | Azahari Abdul Hamid |
| Pe. Pengurus Produksi | Tengku Zariman Tengku Mohd Noordin |
| Pengarah Fotografi | Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin |
| Pengarah Seni | Azwan Abdul Aziz |
| Penyelaras Stunt | Eddy Sharizan |
| Make-up & Wardrobe | Jamal Mohd |
| Handy/ Runner | Qamarul Hisyam Razlan |
| Pen. Produksi | Alya Adreana Azahari |

