(SEMASA) AFAZ KENCANA SPORT: DARI ASPIRASI NASIONAL KE REALITI

Spread the love

Putrajaya, 15 Januari 2026 — Malaysia hari ini mencatat satu detik bersejarah dalam landskap industri dan automotif negara menerusi Majlis Penyerahan Motosikal Nasional – AFAZ Kencana Sport kepada YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Majlis ini menandakan kemuncak kepada satu inisiatif jangka panjang negara yang bermula dengan pelaksanaan AM-2 (Automotive Manufacturing 2) pada tahun 2022, iaitu satu kerangka dasar strategik yang bertujuan memperkukuh ekosistem automotif tempatan, meningkatkan keupayaan kejuruteraan nasional serta membangunkan rantaian industri bernilai tinggi secara menyeluruh.

Daripada Dasar Nasional kepada Kerjasama Industri Strategik

Seiring dengan hala tuju AM-2, KMSB Motors Sdn. Bhd. telah melangkah lebih jauh pada tahun 2023 melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Suzuki Motor Corporation, Jepun. Perjanjian ini merangkumi kerjasama teknikal dan kejuruteraan, pemindahan pengetahuan, perkongsian kepakaran industri serta pembangunan keupayaan tempatan secara berstruktur dan mampan.

Hasil daripada perjanjian strategik ini, projek AFAZ telah dibangunkan sebagai satu inisiatif nasional. Ianya bukan sekadar sebuah produk, tetapi sebagai platform pembangunan industri dua roda. AFAZ direalisasikan melalui kolaborasi kejuruteraan antara tenaga tempatan, vendor industri tempatan serta rakan teknikal antarabangsa, dengan matlamat jelas untuk membangunkan Motosikal Nasional Kedua Malaysia dan memperkukuh ekosistem industri motosikal negara.

Pengenalan AFAZ Kencana Sport

AFAZ Kencana Sport merupakan sebuah motosikal jenis underbone yang dibangunkan khusus bagi memenuhi keperluan sebenar pengguna di Malaysia. Ia dikuasakan oleh enjin moden pematuhan Euro 4 yang lebih cekap bahan api, mesra alam dan rendah pelepasan emisi, selaras dengan keperluan piawaian semasa dan masa hadapan. Motosikal ini turut dilengkapi dengan casis yang dipertingkatkan, menawarkan kestabilan, kawalan dan keyakinan tunggangan yang lebih baik. Reka bentuknya menitikberatkan aspek keselamatan dan keselesaan, sesuai untuk tunggangan harian sama ada pada waktu siang mahupun malam. Dari segi kebolehpercayaan, AFAZ Kencana Sport disokong oleh teknologi enjin Suzuki yang telah terbukti ketahanan serta prestasinya.

Direka untuk Rakyat, Dibangunkan dengan Tanggungjawab

Objektif utama pembangunan AFAZ Kencana Sport adalah untuk menyediakan sebuah motosikal yang praktikal, selamat, jimat bahan api dan mampu dimiliki, khususnya bagi segmen pendapatan rendah dan pasaran massa.

Dengan kos pemilikan yang rendah, penyelenggaraan yang mudah serta ketahanan jangka panjang, AFAZ Kencana Sport berperanan sebagai penyelesaian mobiliti harian yang mampu mengurangkan beban kos rakyat, terutamanya golongan yang bergantung kepada motosikal sebagai pengangkutan utama untuk bekerja dan urusan seharian.

Menepati Piawaian Antarabangsa & Bersedia untuk Pasaran ASEAN

Selain memenuhi keperluan pasaran domestik, AFAZ Kencana Sport turut dibangunkan selaras dengan piawaian antarabangsa dari aspek kejuruteraan, keselamatan dan pematuhan peraturan. Pendekatan ini memastikan motosikal ini bukan sahaja relevan untuk pasaran tempatan, malah bersedia untuk dieksport ke pasaran ASEAN dalam tempoh terdekat.

Dengan tahap kualiti, kebolehpercayaan serta pematuhan piawaian yang kompetitif, AFAZ Kencana Sport berpotensi menjadi duta industri dua roda Malaysia di peringkat serantau, sekali gus membuka peluang baharu kepada vendor tempatan dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan automotif ASEAN.

Simbol Keupayaan Nasional

Penyerahan AFAZ Kencana Sport kepada Perdana Menteri hari ini bukan sekadar simbolik, malah mencerminkan keupayaan Malaysia untuk mereka bentuk, membangunkan dan menghasilkan penyelesaian mobiliti bertaraf nasional, hasil gabungan dasar yang progresif, kerjasama industri strategik dan keupayaan tempatan yang semakin matang.

Melalui AFAZ, Malaysia melangkah ke hadapan dalam membina industri motosikal yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan yang berpaksikan keupayaan tempatan, disokong kerjasama global dan dipandu aspirasi nasional.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *