(SEMASA) Air Asia X Bergabung dengan IKHLAS tawarkan pakej ‘Umrah bersama IKHLAS’ 

Spread the love

SEPANG, 16 November 2022 – Penerbangan sulung AirAsia X (AAX) dari Kuala Lumpur ke Jeddah, Arab Saudi selamat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) dengan kapasiti penumpang lebih 80% hari ini, menandakan penyambungan semula perkhidmatan AAX ke Timur Tengah.

Ia turut menyaksikan permulaan gabungan usahasama AAX dengan IKHLAS (platform kembara dan gaya hidup mesra Muslim Capital A) bagi menawarkan pakej ‘Umrah bersama IKHLAS’ dengan harga yang berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Benyamin Ismail berkata: “Kami amat gembira dapat kembali ke Jeddah, gerbang utama ke kota suci Makkah dan Madinah. Dengan enam penerbangan seminggu, perkhidmatan kami diteruskan dengan tawaran kembara mampu milik untuk tetamu di Malaysia dan rantau Asia untuk mengerjakan ibadah Haji dan Umrah. Kami yakin laluan ini akan kekal mampan berikutan aliran trafik yang tinggi antara Malaysia dan Arab Saudi, serta permintaan yang sentiasa meningkat untuk perkhidmatan Umrah bukan sahaja dari Malaysia malah Indonesia, menjadikan Kuala Lumpur hab Umrah penting di rantau ini. Jemaah dari negara lain juga berpeluang ke Jeddah menerusi AAX sementara pengunjung dari Saudi boleh dihubungkan ke 130 destinasi AirAsia melalui Kuala Lumpur.

“Kami turut berbangga dapat berganding bahu dengan IKHLAS bukan sahaja untuk menawarkan pakej Umrah yang berpatutan dengan AAX malah menyediakan pilihan Kembara dan Umrah secara kendiri atau do-it-yourself (DIY) tidak lama lagi. Kami percaya peluang ini boleh dimanfaatkan untuk memperluaskan lagi kekerapan dan jaringan penerbangan kami di masa depan.”

Ketua Pegawai Eksekutif IKHLAS, Ikhlas Kamarudin berkata: “Kita telah menunggu selama dua tahun untuk Arab Saudi membuka sektor pelancongannya untuk mempermudahkan lagi para tetamu Allah untuk mengerjakan Umrah dan bagi pengembara meneroka pelbagai destinasi menarik di negara tersebut.

“Sasaran kami adalah untuk membangunkan produk kembara dan gaya hidup komprehensif dengan kos rendah namun dengan servis yang lengkap kepada tetamu ke Tanah Suci dengan memperkenalkan kaedah tempahan Umrah yang baharu menggunakan inovasi sistem dan platform sehenti kami.”

Tambang penerbangan dari Kuala Lumpur ke Jeddah bermula RM 1,629 sehala untuk tempat duduk Ekonomi atau tetamu boleh memilih untuk menikmati tempat duduk Premium Flatbed mulai RM 3,199 sehala. Penumpang boleh membuat tempahan dengan menekan ikon ‘Flights’ pada aplikasi airasia Super App atau menerusi laman web bagi tempoh penerbangan mulai sekarang sehingga 30 November 2023. Perkhidmatan tambahan untuk musim baharu akan ditambahkan kepada jadual penerbangan dalam tempoh terdekat ini.

Di samping itu, tetamu juga boleh menempah pakej ‘Umrah bersama IKHLAS’ dengan harga bermula RM 5,990 bagi Umrah Lite dan RM 7,890 bagi Umrah Jejak Rasul atau RM 7,690 bagi Umrah Hawa khusus untuk jemaah wanita. Semua pakej Umrah termasuk penerbangan pergi balik bersama AAX. Untuk maklumat lanjut mengenai pakej Umrah, sila rujuk di sini.

Jadual Penerbangan antara Kuala Lumpur dan Jeddah:


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *