7 Mei 2016 – Tahun 2016 telah menjadi tahun dimana gerai-gerai bergerak atau lebih dikenali sebagai food truck, tumbuh bagaikan cendawan. Disebabkan banyak food truck baru di sekitar Kuala Lumpur, banyak juga festival-festival food truck telah dianjurkan.
Tiga anak muda berasal dari Nilai; Mohd Zulhelmie Zullifan (Elmi), Muhammad Aliff Saadon dan juga Muhammad Nabil Hussein, telah mengekori jejak langkah usahawan-usahawan muda sekitar Kuala Lumpur untuk berkecimpung dalam bidang perniagaan food truck ini. Food truck diberikan nama “Cik Mak Pak Hang” mereka telah ditubuhkan pada sekitar bulan Oktober tahun lepas.
Perniagaan food truck dikenali dikalangan belia bandar sebagai alternatif lain kepada makanan-makanan lebih mahal yang dihidangkan di restoran-restoran. Ini kerana, harga makanan yang dijual di food truck adalah jauh lebih murah berbanding dengan harga makanan yang dijual di restoran. Antara food truck yang telah mengukir nama di kalangan foodie (penggemar makanan) di Kuala Lumpur adalah seperti Humble Chef, The Food Boys, La Famiglia dan bermacam-macam lagi.
Diinspirasikan dari pengalaman Aliff berniaga setiap pagi bersama ibu bapanya berhampiran USIM, Nilai dan juga pengalaman Nabil yang kerap berniaga di majlis-majlis juga festival-festival, Elmi telah menemukan mereka berdua untuk memulakan perniagaan food truck kecil-kecilan di Nilai bersama-sama.
Food truck mereka menyediakan makanan seperti Nasi Lemak berserta lauk pauk masakan barat antaranya seperti Chicken Chop, Chicken Grill, Meatballs dan juga Butter Chicken terus mendapat tempat dikalangan penggemar makanan di sekitar Lembah Klang walaupun lokasi mereka yang agak jauh kerana keunikan masakan yang disajikan oleh mereka.
Bermula hanya bertiga, kini mereka telah berkembang menjadi sebuah food truck yang dikenali ramai menerusi media sosial. Justeru telah menambat perhatian selebriti chef terkenal Malaysia, Dato Fazley Yaakob untuk bekerjasama dalam menyediakan beberapa hidangan sempena bulan Ramadhan nanti.
Cik Mak Pak Hang, nama food truck yang kini meniti dibibir ramai pengguna media sosial, telah dilancarkan dengan rasminya pada 7 Mei (Sabtu) ini di restoran milik Dato Fazley Yaakob, SukaSucre Bistro.
Nama food truck yang unik ini adalah salah satu faktor yang menjadikan Cik Mak Pak Hang ini diterima dengan cepat oleh masyarakat selain daripada kelazatan hidangan yang disajikan oleh tiga orang anak muda ini.
Selain daripada menjual di sekitar Inti College setiap hari kecuali Ahad, mereka juga turut menyediakan perkhidmatan catering untuk majlis-majlis termasuk majlis perkahwinan.
Untuk maklumat lanjut mengenai perniagaan food truck Cik Mak Pak Hang, sila ke laman Facebook dan Instagram; “cikmakpakhang”.