Kuala Lumpur, 2 JUN 2016 – Istimewa Ramadan ini, Astro melancarkan jenama baharu, “Iman” yang mengenengahkan kandungan Islam menarik khas untuk anak-anak kecil. Jenama Iman, yang bakal menampilkan seleksi kandungan pendidikan Islam yang dipersembahkan melalui medium yang pelbagai ini mensasarkan kanak-kanak seawal usia 4 tahun. Iman merupakan satu aspirasi Astro untuk membantu anak-anak di rumah memahami dan mempelajari dengan lebih mendalam lagi perkara-perkara asas berkenaan agama Islam merangkumi Fardhu Ain, pendidikan akhlak, doa dan sebagainya
Menurut Penolong Naib Presiden Kandungan GenNext Astro, Yasmin Yahya, “Jenama Iman bukan sahaja membuka lembaran baru terhadap konsep pembelajaran dan pengajaran agama Islam ke atas anak-anak kecil ini, bahkan ia memberi mesej bahawa Islam merupakan agama yang mudah, sesuai untuk semua lapisan masyarakat tak kira tua atau muda. Format kandungan yang unik, hasil gabungan elemen hiburan dan pendidikan tetapi masih berlandaskan tata susila agama merupakan tarikan utama segmen Iman. Adalah menjadi harapan besar Astro, agar Iman dapat membantu anak-anak di luar sana mengenali Islam dengan lebih mendalam lagi”.
Tambah Yasmin lagi, kandungan pembelajaran Astro sebelum ini yang banyak menggunakan elemen ‘edutainment’ berjaya menarik perhatian anak-anak dan ia sekali lagi menjadi nadi Iman dalam menyemai rasa cinta dan menarik minat anak-anak kecil untuk memahami konsep pendidikan dan pembelajaran agama Islam yang cukup indah. Menerusi pendekatan yang mengangkat konsep belajar sambil berhibur, anak-anak akan lebih mudah menerima konsep pembelajaran agama Islam yang disampaikan dalam cara yang lebih santai, sesuai dengan umur mereka yang masih muda lagi. Iman akan mula menemui penonton Ramadan ini menerusi slot khas mulai 6 Jun 2016, setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 6 petang di saluran 611, Astro Ceria.
Antara program yang bakal mengisi jenama Iman ialah drama pendidikan Islam kanak-kanak, I-Kids yang menampilkan ramai pelakon berbakat tanahair, baik yang cilik mahupun nama-nama seperti Amy Mastura, Sari Yanti dan Nazrief Nazri. Pelakon kanak-kanak terbaik Festival Filem Malaysia, Rykarl Iskandar bersama-sama Wafiy, Mia Sara, Qistina Raisah, Danish Hazriq dan Baby Sofea, akan turut tampil memeriahkan drama arahan Bade Haji Azmi dan Nizam Zakaria ini.
Bakat yang dilahirkan dari program realiti Pencetus Ummah 2014, PU Yeop juga akan turut sama menjayakan drama ini. Beliau akan memegang watak sebagai Ustaz Yeop yang akan membimbing kanak-kanak ini dalam perjalanan mereka mengenali dan mempelajari sendiri keindahan agama Islam. Menariknya, bukan sahaja jalan cerita I-Kids menggabungkan elemen komedi drama dan kandungan Islam, tetapi juga ia turut menampilkan elemen pembelajaran menerusi paparan grafik yang mengiringi setiap episod. Drama I-Kids akan disiarkan serentak setiap hari Rabu hingga Jumaat, jam 6.30 petang di saluran 611, Astro Ceria dan Astro Oasis, saluran 106.
Drama I-Kids bakal mengupas perkara-perkara asas berkenaan Fardhu Ain dan nilai-nilai murni yang harus diamalkan dalam kehidupan seharian. Beberapa nama besar industri lakonan tanahair juga akan membuat kemunculan istimewa dalam program I-Kids antaranya adalah Nasir Bilal Khan dan Erra Fazira. Selain drama, Tips I-Kids yang menampilkan info ringkas mengenai pelbagai topik berkaitan agama Islam juga akan menemui penonton.
Selain I-Kids, slot khas ini akan turut membariskan program-program hebat yang lain seperti Puasa oh Puasa, Upin & Ipin Ramadan, Chopp, Ya Ustaz Ramadan, Ummi Ceritalah Pada Kami dan banyak lagi pengisian Islamik yang menarik. Menariknya, kandungan Iman bukan sahaja terhad kepada kandungan TV tetapi juga menerusi pelbagai platform lain.
Iman turut mengaplikasikan pembelajaran secara menyeluruh menerusi fungsi butang merah (red button) di saluran Astro Ceria. Penonton boleh mendapatkan bacaan doa harian hanya dengan menekan butang merah ini seterusnya memberikan akses kepada anak-anak untuk membaca, menghafal dan mempraktikkan doa-doa yang disediakan ini ke dalam kehidupan seharian mereka. Butang merah Iman juga merupakan butang merah pertama di Astro yang dilengkapi fungsi audio yang membolehkan kanak-kanak membaca dan mendengar doa bersama-sama ibu bapa mereka. Bukan itu sahaja, butang merah Iman juga menawarkan pembelajaran tulisan jawi yang interaktif.
Pelbagai lagi program menarik telah dirancang khas untuk memperkenalkan jenama Iman kepada umum. Antaranya, rancangan realiti bakat Islamik untuk kanak-kanak, program berbentuk kuiz serta banyak lagi. Iman juga mahu tampil dengan program lapagan seperti kem ibadah untuk memberi lebih pendedahan kepada anak-anak berkenaan kandungan Islam. Selain kandungan di kaca TV, penonton boleh juga mendapatkan kandungan Iman pada platform digital menerusi aplikasi dan permainan alam maya yang turut menampilkan konsep pembelajaran Islam khas untuk anak-anak di rumah. Laman web Iman menyediakan segmen Tanya Ustaz untuk memberi ruang bagi adik-adik mengajukan soalan-soalan berkaitan Islam. Aplikasi School of Iman mengandungi pembelajaran huruf jawi, waktu solat, niat dan cara mengambil wuduk, tips puasa, adab & koleksi doa harian untuk kemudahan adik-adik di rumah.
Aplikasi ini merupakan platform yang sesuai bagi adik-adik untuk mempelajari ilmu agama Islam secara berperingkat. Aplikasi pintar ini terdiri daripada beberapa bahagian, antaranya info berkaitan solat, puasa, adab dan tatasusila.
Bersempena dengan pelancaran segmen Iman juga, pihak Astro akan mengeluarkan siri barangan eksklusif, seperti telekung dan sejadah dengan rekaan yang cukup cantik dan eksklusif, khas untuk adik-adik di rumah. Barangan keperluan ibadat ini boleh didapati di www.isooka.com dengan harga yang cukup berpatutan. Untuk maklumat lanjut berkenaan Iman, layari www.astro.com.my/ceria