Klang, Selangor, 12 April 2026 – Aveta terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran motosikal Malaysia dengan memperkenalkan tiga model baharu, sekali gus menegaskan komitmennya untuk menghasilkan produk yang dibentuk berdasarkan keperluan sebenar penunggang serta evolusi pasaran yang sentiasa berkembang.
“Segala yang kami lakukan di Aveta dibina berasaskan suara pelanggan kami,” kata Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia. “Ketiga-tiga model baharu ini bukan sekadar penambahbaikan, tetapi merupakan respons hasil kajian terhadap apa yang benar-benar diinginkan oleh para penunggang.”
VS115 Generasi Ketiga – Teman Harian Yang Kini Lebih Praktikal
VS115 generasi ketiga menandakan satu evolusi penting dalam segmen moped Aveta, sambil kekal berteraskan asasnya sebagai jentera mobiliti yang praktikal dan mampu dimiliki.
Dibangunkan berdasarkan maklum balas penunggang, VS115 V3 dikuasakan oleh enjin 113cc serta dilengkapi lampu isyarat yang dipertingkatkan dan dua port pengecas USB Type-A dan Type-C untuk kemudahan gaya hidup masa kini. Penambahbaikan ini menjadikan VS115 V3 teman tunggangan harian yang lebih berupaya dan relevan.
Selaras dengan kedudukannya sebagai “Motor Madani, pilihan semua”, VS115 V3 terus mencerminkan komitmen Aveta dalam menyediakan mobiliti yang mudah diakses untuk seluruh rakyat Malaysia.
Model ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Maroon, Blue dan Grey, memberikan penampilan yang lebih segar dan kontemporari kepada para penunggang.
Serra 125 – Menandakan kemasukan Aveta ke segmen skuter dengan ruang lantai rata.
Serra 125 menandakan kemasukan Aveta ke dalam segmen skuter dengan ruang lantai rata, sekali gus memperluaskan penawaran jenama ini dengan pilihan yang lebih mudah diakses dan praktikal untuk kegunaan harian.
Dikuasakan oleh enjin 124cc dan dilengkapi sistem BOSCH EFI, Serra 125 menawarkan keseimbangan antara kecekapan bahan api dan prestasi yang diyakini. Ciri-ciri praktikal seperti brek cakera hadapan serta dua port pengecas USB Type-A dan Type-C turut menambah nilai untuk kegunaan penunggang harian.
Direka dengan berasaskan kemudahan penggunaan, ruang lantai ratanya memudahkan penunggang untuk naik dan turun dengan lebih selesa. Ini menjadikan Serra 125 pilihan yang sesuai khususnya bagi penunggang wanita serta mereka yang mengutamakan keselesaan dan kemudahan dalam perjalanan harian.
Serra 125 ditawarkan dalam pilihan warna bergaya dan muda iaitu Ash Grey, Mystic Mint dan Pixel Blue, bagi memenuhi citarasa pengguna yang mengutamakan gabungan gaya dan fungsi dalam satu pakej yang lengkap.
Nova 200 – Hasil Daripada Suara Penunggang, Dibina Untuk Menerajui
Menjadi tumpuan utama ialah Nova 200, sebuah model yang lebih daripada sekadar naik taraf biasa dan menandakan tahap penambahbaikan baharu dalam siri Nova. Susulan kejayaan memberangsangkan serta penerimaan positif pasaran terhadap rangkaian Nova, Nova 200 diperkenalkan bagi memenuhi jangkaan pelanggan yang semakin berkembang melalui peningkatan dari aspek prestasi, reka bentuk dan keselesaan.
Nova 200 tampil sebagai antara skuter sporty paling ringan dalam kategorinya, dengan berat hanya 112kg, sambil menghasilkan kuasa maksimum yang mengagumkan sebanyak 13.5 kW. Gabungan ini menawarkan keseimbangan yang mantap antara prestasi dan ketangkasan. Model ini turut dilengkapi brek cakera hadapan dan belakang, disokong sistem ABS dan TCS, bagi memberikan tahap keselamatan serta kawalan yang lebih baik.
Keselesaan dan praktikaliti penunggang turut dipertingkatkan menerusi ciri-ciri seperti penyerap hentak berkembar bergas boleh laras, tempat duduk baharu yang dipertingkatkan dengan sandaran belakang, serta ruang simpanan bawah tempat duduk yang luas. Antara ciri tambahan lain termasuk sistem keyless, Idling Stop System (ISS), dan kelegaan tanah setinggi 135mm, menjadikannya sesuai untuk tunggangan bandar mahupun perjalanan jarak jauh.
Sebagai respons terhadap maklum balas penunggang, Nova 200 turut menampilkan reka bentuk lampu hadapan yang lebih tajam dan aerodinamik, diserlahkan lagi dengan elemen pencahayaan beriluminasi yang dipertingkatkan serta winglet hadapan yang mengukuhkan penampilannya di jalan raya.
Diposisikan sebagai “Your ultimate daily ride,” Nova 200 menggabungkan prestasi, rekaan dan praktikaliti harian dalam sebuah produk yang dibentuk berdasarkan jangkaan penunggang.
Nova 200 ditawarkan dalam tiga pilihan warna yang memukau — Neon Pulse, Nano Grey dan Nordic Blue — setiap satu mencerminkan identiti yang garang dan moden.
Memperkembangkan Perkhidmatan Selepas Jualan
Selaras dengan komitmen berterusan terhadap kepuasan pelanggan, Aveta turut memperkenalkan program Aveta Care on Wheels (ACW) yang dipertingkatkan, disokong oleh rangkaian Preferred Plus Dealers. Dengan menggabungkan Prefereed Plus Dealers ke dalam rangkaian rangkaian perkhidmatan servis bergeraknya, Aveta membawa sokongan selepas jualan lebih dekat kepada penunggang, sekali gus memudahkan penunggang mendapatkan bantuan dengan lebih pantas.
Inisiatif ini turut disokong oleh penambahan enam unit perkhidmatan selepas jualan bergerak di seluruh Semenanjung Malaysia, yang dikendalikan bersama pengedar bagi memperluaskan liputan serta mempercepatkan masa respons. Untuk bantuan atau pertanyaan berkaitan servis, pelanggan boleh menghubungi Aveta Careline di talian 012-503 5409, bagi memastikan bantuan sentiasa mudah diakses.
Ketiga-tiga model baharu ini — VS115 (Generasi Ketiga), Serra 125 dan Nova 200 — kini boleh didapati di pengedar sah Aveta di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.aveta.com.my.



