Petaling Jaya, 28 Oktober 2025 – Aveta Malaysia terus menggegarkan industri motosikal tempatan dengan pelancaran dua model baharu yang menarik iaitu Aveta Nova 250, skuter urban berkuasa yang menggabungkan kuasa, keselesaan dan praktikaliti, serta Aveta Marvel 150, motosikal gaya hidup yang direka untuk keseronokan tunggangan, ekspresi diri dan riadah hujung minggu.
Pencapaian ini menandakan lebih daripada sekadar pelancaran dua jentera baharu. Ia membuka babak baharu dalam perjalanan Aveta yang dibina atas cita-cita, ketahanan dan kepercayaan bahawa setiap penunggang berhak menikmati lebih daripada sekadar tunggangan. Aveta percaya setiap penunggang layak merasai keyakinan, kebanggaan dan ketenangan minda dalam setiap perjalanan mereka.
Aveta Nova 250 – Kuasa Bertemu Praktikaliti
Menjadi tumpuan utama pada majlis pelancaran hari ini, Aveta Nova 250 mewakili evolusi terkini dalam siri Nova yang popular di Malaysia. Direka untuk penunggang yang mahukan lebih daripada sekadar perjalanan harian, Nova 250 menyatukan prestasi cemerlang, ciri premium, dan rekaan moden dalam satu pakej yang bergaya serta berkuasa.
Dikuasakan oleh sistem BOSCH EFI, Nova 250 menawarkan prestasi yang lancar, efisien, dan konsisten dengan kuasa maksimum 25.5hp @ 8,250rpm, memastikan pecutan yang responsif sama ada di jalan bandar mahupun lebuh raya. Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) dan Sistem Brek ABS Dua Saluran turut meningkatkan kestabilan serta keselamatan dalam pelbagai keadaan jalan.
Untuk kemudahan harian, Nova 250 dilengkapi ruang simpanan bawah tempat duduk berkapasiti 20 liter, cukup luas untuk menyimpan topi keledar full-face, beg, atau barangan harian. Ia turut hadir dengan kamera hadapan bagi memberikan ketenangan minda ketika menunggang, manakala Sistem Kunci Pintar dengan fungsi penghidup tanpa kunci serta sistem anti-kecurian boleh laras menawarkan tahap keselesaan dan keselamatan yang lebih menyeluruh.
Penunggang turut akan menghargai tangki bahan api berkapasiti 12 liter yang membolehkan perjalanan lebih jauh tanpa perlu kerap mengisi minyak. Paparan TFT penuh warna bersaiz 7 inci memaparkan maklumat penting dengan jelas, manakala lampu utama LED dengan pencahayaan berperingkat menyerlahkan gaya tersendiri sambil memberikan tahap pencahayaan optimum. Tambahan port USB Type-A dan Type-C pula memastikan penunggang kekal berhubung sepanjang perjalanan.
Disasarkan untuk penunggang harian, penunggang luar bandar, serta mereka yang ingin menaik taraf tunggangan sedia ada, Nova 250 menetapkan penanda aras baharu dalam segmen skuter, sekali gus mendefinisikan semula pengalaman tunggangan moden.
Ditawarkan dalam dua pilihan warna elegan iaitu Emerald Green dan Metro Grey, Nova 250 menjadi simbol baharu keyakinan dan aspirasi Aveta dalam landskap motosikal tempatan. Dengan harga jualan RM14,388 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), ia menawarkan nilai luar biasa bagi mereka yang mahukan skuter berkuasa dengan harga mampu milik.
Sebagai tawaran eksklusif pelancaran, 200 pembeli terawal Nova 250 akan menerima kotak simpanan berjenama GIVI berkapasiti 39L lengkap dengan rak, bernilai lebih RM750, secara percuma.
Aveta Marvel 150 – Gaya, Kebebasan dan Keseronokan
Dilancarkan bersama Nova 250, Aveta Marvel 150 ialah motosikal kompak yang penuh karakter yang dibina untuk mereka yang menunggang dengan semangat, hidup penuh tenaga, dan melihat setiap jalan sebagai pentas keseronokan.
Marvel 150 dilengkapi dengan brek cakera depan dan belakang, fork depan jenis terbalik (upside-down), serta klac tangan manual yang memberikan pengalaman tunggangan lebih tulen dan responsif. Dengan jarak kelegaan tanah 140mm, model ini lincah dan serba boleh serta sesuai untuk tunggang harian di bandar mahupun pengembaraan ringan hujung minggu seperti aktiviti perkhemahan.
Penunggang turut akan menikmati sistem lampu LED sepenuhnya, port pengecas USB Type-A, serta paparan meter digital penuh, menggabungkan fungsi dan gaya dalam satu rekaan yang moden serta kemas.
Sama ada untuk tunggang santai hujung minggu, perjalanan harian, atau sekadar menikmati keseronokan menunggang, Marvel 150 membawa keterujaan dalam setiap perjalanan. Ditawarkan dalam dua pilihan warna menarik Sonic Blue dan Mocha Blaze, Marvel 150 menawarkan pengalaman menunggang menyeronokkan dalam pakej kompak, dengan harga jualan RM7,988 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).
Membina Kepercayaan, Menyemai Kebanggaan, Mengukuh Komuniti
Sejak tahun 2023, perjalanan Aveta bukan sekadar tentang pengeluaran motosikal, tetapi juga sentiasa mendengar dan memahami keperluan penunggang tempatan serta menawarkan penyelesaian yang seiring dengan gaya hidup mereka.
“Kami bukan sebahagian daripada perang skuter, dan kami juga tidak mengejar angka jualan,” kata Steven Lim, Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Malaysia.
“Aveta hadir dengan satu matlamat utama untuk membina motosikal yang mampu mencetuskan rasa percaya, bangga dan yakin dalam diri setiap penunggang.
Dengan Marvel 150 yang meraikan kebebasan serta gaya hidup aktif, dan Nova 250 yang mendefinisikan semula keseimbangan antara kuasa dan praktikaliti, kedua-dua model ini mencerminkan visi Aveta untuk tahun 2025 dan seterusnya membina komuniti penunggang yang kukuh, menawarkan pengalaman pemilikan bebas risau, dan mengukuhkan kepercayaan dalam industri motosikal tempatan.
Kedua-dua model Aveta Nova 250 dan Aveta Marvel 150 kini boleh didapati di pengedar sah Aveta di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, layari www.aveta.com.my



