(SEMASA) BARIISTAR Hasilkan 30 Perisa Sirap Rasa Lokal, Perluaskan Empayar Ke Indonesia Dan Vietnam

Spread the love

Pada 22 Jun baru-baru ini, Majlis Amanah Rakyat (MARA) menganjurkan MARA Brew ’23 yakni sebuah program untuk memperkenalkan dan mempromosi pengusaha kopi dalam industri makanan dan minuman (F&B).

Sebanyak 10 vendor kopi menyertai program yang dijalankan selama empat hari bermula 22 hingga 25 Jun 2023. Pengasas Bariistar, Dr Shahir Suhaimi, 35, berkata, pihaknya telah menjalin kerjasama dengan beberapa buah syarikat dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

“Kerjasama yang dijalinkan ini diharap dapat mengukuhkan hubungan ekonomi terutama bagi perniagaan berskala sederhana.

“Selaku jenama pengeluar pati sirap, saya mensasarkan untuk menjadi pengeluar pertama bumiputera dengan memfokuskan rasa tempatan seperti onde-onde, durian, tembikai, kelapa, nenas, ros dan berbagai-bagai lagi.

“Bariistar berkembang dengan bantuan MARA yang diberi dalam bentuk geran, pembiayaan dan bantuan kilang bagi melancarkan lagi perniagaan ini.

“Jadi sudah sampai masanya, untuk lebih berkembang maju, saya perlu pandang ke hadapan dengan mengangkat jenama ini ke seluruh Asia, apatah lagi budaya meminum kopi lebih tinggi terutama di Indonesia dan Vietnam,” katanya.

Tambahnya, dalam masa setahun, Bariistar telah berjaya mencapai target jualan sebanyak RM1 juta dan sasaran pada 2024 pula melebihi RM5 juta sementelah melihat trend peningkatan permintaan di seluruh negara.

“Bariistar diedarkan ke kafe kopi dan kedai-kedai bahan makanan dengan harga berpatutan.

“Ia disediakan dalam botol bersaiz besar dan menjimatkan, sesuai untuk usahawan yang menjual kopi.

“Tidak ketinggalan, Bariistar juga terdapat dalam botol kecil untuk kegunaan persendirian di rumah,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi berkata, program tersebut adalah platform bagi menarik lebih ramai usahawan bumiputera, terutamanya belia untuk menceburi perniagaan yang mempunyai ramai peminat.

“Hasrat itu juga sejajar dengan ikutan dan permintaan kebanyakan warga kota masa kini yang menjadikan minuman berkenaan sebagai sebahagian daripada gaya hidup.

“Kita perlu mengambil trend itu sebagai peluang yang boleh memberi impak kepada ekonomi negara termasuk membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat,” katanya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *