(SEMASA) BENDA NAPOLEON BOB 250 KINI RASMI MENGGEGAR PASARAN MALAYSIA.

Spread the love

PULAU PINANG, 20 JULAI 2025 – BENDA Napoleon Bob 250 yang pertama kali diperkenalkan di Malaysia bersempena majlis perasmian Mforce Best Shop Hoong Fatt Motoworld, Ipoh pada tahun lepas, kini melangkah ke pasaran secara rasmi menerusi perasmian Mforce Best Shop Chuan Keat Motor Trading Sdn. Bhd. di Alma, Bukit Mertajam. Ditawarkan pada harga bermula RM20,888.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), motosikal bergaya V-Cruiser ini kini boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia.

Aura klasik dari model ini juga akan mengimbau semula kenangan nostalgia dan jiwa kebebasan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. BENDA Napoleon Bob 250 turut diserikan dengan empat pilihan warna iaitu Black, Silver, Green dan Orange.

Dengan sesaran 249cc, model klasik ini juga turut dilengkapi ABS pada brek hadapan dan belakang seterusnya meningkatkan kualiti perjalanan penunggang di jalan raya. Suspensi hadapan motosikal adalah jenis teleskopik boleh laras manakala suspensi belakang adalah dwi penyerap hentakan (Dual shock absorbers).

Menariknya juga model ini turut disertakan dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang berfungsi untuk menghalang motosikal daripada mudah tergelincir. Sistem ini akan mengawal kelajuan putaran roda dan secara signifikan mengurangkan kemungkinan berlakunya tergelincir, sekaligus meningkatkan keselamatan dan kestabilan ketika menunggang.

Selain itu, BENDA Napoleon Bob 250 menggunakan mod V-silinder berkembar dengan kuasa maksimum setinggi 19Kw pada 9,000rpm berserta tork maksimum 25Nm pada 5,500rpm dan dilengkapi dengan 4-lejang dan 8-injap. Gerek dan lejangnya berukuran ø53.5mm × 55.4mm dengan kadar nisbah mampatan adalah 11.8:1. Ia turut dilengkapi dengan SOHC, sistem pelinciran percikan, sistem penyejuk cecair serta transmisi jenis rantai.

Penggunaan sistem penyejukan cecair membantu mengekalkan suhu enjin pada tahap optimum. Cecair yang digunakan adalah cecair penyejuk khas yang mengandungi alkohol untuk mengelakkan pembekuan serta melindungi daripada karat atau pengoksidaan. Cecair penyejuk ini akan melalui saluran yang direka khusus dalam enjin untuk penyejukan yang lebih efisien.

Walaupun motosikal ini membawa imej klasik, namun sistem penghidupnya adalah seiring dengan perkembangan teknologi terkini iaitu menggunakan sistem penghidup elektrik. Papan pemukanya pula menggunakan teknologi LCD yang memberikan visual meter yang jelas. Sistem bahan apinya juga mengaplikasikan fungsi Pancitan Bahan Api Elektronik (EFI) yang lebih ekonomi tanpa menjejaskan prestasi motosikal.

BENDA Napoleon Bob 250 turut mempunyai kapasiti tangki minyak sebesar 9.5L yang sesuai untuk perjalanan jarak jauh yang ekstrim atau hanya sekadar ingin bersiar-siar menikmati udara segar. Sepadan dengan sistem penukaran gear jenis 6-kelajuan, model ini turut dilengkapi dengan klac jenis gelincir (Slipper Clutch) yang mampu meningkatkan impak penunggangan.

Beralih kepada dimensi motosikal, BENDA Napoleon Bob 250 mempunyai berat 195kg dengan panjang keseluruhan 2,320mm, lebar 810mm dan tinggi 1,030mm. Ketinggian tempat duduk pula adalah 750mm memudahkan mereka untuk menaiki dan menunggang motosikal ini. Bagi saiz tayar hadapan adalah 130/80-18 dan 160/70-18 untuk tayar belakang. BENDA Napoleon Bob 250 juga dilengkapi dengan jarak roda sepanjang 1,540mm dan jarak kelegaan tanah 123mm.

Dengan setiap pembelian BENDA Napoleon Bob 250, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *