BMW Motorrad Malaysia baru-baru ini telah menghoskan lebih daripada 150 penunggang jentera kembara serta para peminat BMW Motorrad di acara BMW Motorrad GS Challenge yang sulung di Malaysia, meraikan jiwa sebenar GS dengan pengalaman yang mengujakan di atas landasan luar jalan yang mencabar.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “BMW Motorrad GS Challenge ini mengimbau pertandingan popular kami, International GS Trophy yang mengambil tempat di lokasi-lokasi ekstrem di seluruh dunia. Kami ingin membawakan sekali lagi keterujaan pengembaraan tersebut di Malaysia buat para penunggang GS di sini, susulan acara kelayakan serantau yang kami telah anjurkan pada tahun 2017 untuk memilih wakil-wakil kami bagi pertandingan tersebut. Saya percaya bahawa para peserta kita telah menikmati keseronokan, pengembaraan, dan cabaran menunggang tersebut – yang merupakan ramuan bagi kelahiran jentera GS.”
Cabaran ini telah menyaksikan para peserta menjalani ujian menunggang dan menavigasi di samping cabaran individu di atas landasan luar jalan berhalangan, di mana beberapa finalis terbaik telah terpilih untuk bersaing pada Hari ke-2 bagi merebut peluang eksklusif untuk menyertai “Follow the Trails” (FTT) Tour, sebahagian daripada acara International BMW GS Trophy di Albania yang akan berlangsung pada bulan Oktober ini. FTT memberi peluang kepada pemenang tersebut untuk menyusuri laluan seperti yang diguna oleh pesaing pertandingan International BMW GS Trophy 2022.
Setelah cabaran ini berlangsung selama dua hari, empat finalis telah muncul sebagai pemenang BMW Motorrad GS Challenge dan akan menuju ke Albania untuk menyertai FTT Tour yang eksklusif! Pemenang-pemenang tersebut ialah Muhairi bin Muhammad, Rosmadi bin Saad, Niranjan a/l Visuvalingam dan Elis Suriani binti Johari.