PULAU PINANG, 21 FEBRUARI 2025 – Selepas pelancarannya di CFMOTO Flagship Store pada tahun lepas, CFMOTO 675SR-R & CFMOTO 500SR VOOM kini berada di pasaran Malaysia. Dengan harga bermula RM35,888.00 tidak termasuk cukai dan insurans (CFMOTO 500SR VOOM) dan RM37,888.00 tidak termasuk cukai dan insurans (CFMOTO 675SR-R), kedua-dua model ini kini boleh didapati di pengedar sah CFMOTO Malaysia.
CFMOTO 500SR VOOM tampil dengan enjin 499cc, 4-silinder sebaris dengan sistem penyejukan cecair mampu menghasilkan 58kW pada 12,500rpm dan tork 49Nm pada 10,000rpm. Dengan kapasiti tangki 15.5L, CFMOTO 500SR VOOM sesuai untuk perjalanan jauh. Ekzos berkembar pula menambah bunyi deruman berkuasa seperti motosikal perlumbaan.
CFMOTO 500SR VOOM turut didatangkan dengan Sistem Udara RAM yang berfungsi menyalurkan udara bertekanan tinggi ke enjin ketika motosikal bergerak laju. Ini membantu meningkatkan kuasa enjin, respons pendikit, menyejukkan enjin dan mengoptimumkan penggunaan bahan api. Hasilnya, prestasi motosikal menjadi lebih agresif, stabil dan efisien.
Pada 15 hingga 18 Februari 2025 yang lalu, CFMOTO 675SR-R merupakan salah satu model yang diperkenalkan semula dalam 2025 CFMOTO Global Media Launch & Global Distributor Conference di Litar Algarve, Portugal. Ratusan wakil media dan staf utama CFMOTO berkumpul di Portimão selama beberapa hari, menjadikan acara ini satu platform eksklusif untuk meneroka inovasi terkini.
Dalam sesi pembentangan, Carles Solsona, Pengarah Reka Bentuk 2-Roda CFMOTO memperkenalkan platform enjin 675cc 3-silinder, yang menjadi tunjang kepada generasi baharu motosikal berprestasi tinggi. Motosikal ini juga menampilkan reka bentuk aerodinamik yang agresif, sesuai untuk kegunaan jalanan serta memberikan prestasi yang mengagumkan dalam litar.
CFMOTO 675SR-R dikuasakan oleh enjin 3-silinder sebaris 675cc, DOHC, penyejukan cecair yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 70kW pada 11,000rpm dan tork maksimum 70Nm pada 8,250rpm. Tangki bahan apinya berkapasiti 15 liter, manakala berat motosikal ini ialah 195kg.
Pengenalan semula ini, CFMOTO terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama yang kompetitif dalam industri motosikal global, menawarkan pengalaman tunggangan yang mengujakan kepada peminat sukan permotoran di seluruh dunia.
Dengan setiap pembelian CFMOTO 500SR VOOM dan CFMOTO 675SR-R, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh CFMOTO Malaysia.
