PULAU PINANG, 11 FEBRUARI 2026 – CFMOTO Malaysia terus mengembangkan rangkaian motosikal ringan dengan kehadiran CFMOTO PAPIO RACER, sebuah ‘fun bike’ baharu yang direka untuk menawarkan prestasi lincah, pengendalian kompak serta gaya berinspirasikan perlumbaan kepada penunggang urban dan peminat yang mencari pengalaman tunggangan berbeza.
Ditawarkan pada harga RM8,888.00, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, CFMOTO PAPIO RACER hadir dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Clay Yellow, Nebula White dan Champion Blue. Model ini diposisikan sebagai motosikal berteraskan keseronokan tunggangan yang menggabungkan reka bentuk lincah dengan praktikaliti harian, sesuai untuk penunggang baharu mahupun penunggang berpengalaman yang mahukan jentera kompak dan menyeronokkan.
CFMOTO PAPIO RACER dikuasakan oleh enjin satu silinder 126 cc, penyejukan udara, yang menghasilkan kuasa maksimum 7 kW pada 8,250 rpm dan tork puncak 9.2 Nm pada 6,500 rpm, dengan nisbah mampatan 9.0:1. Enjin ini menampilkan ukuran piston dan lejang 57 mm × 49.4 mm, menyumbang kepada penghantaran kuasa yang seimbang, sesuai untuk tunggangan dalam persekitaran bandar.
Sistem bahan api menggunakan suntikan elektronik (EFI) dan dipadankan bersama klac jenis multi-plate basah serta transmisi manual 6-kelajuan, memberikan penyaluran kuasa yang lancar melalui pacuan rantai. Tangki bahan api berkapasiti 7 liter memastikan kesesuaian untuk kegunaan harian.
Dari segi casis, model ini dilengkapi fork teleskopik jenis terbalik (Upside-Down) di bahagian hadapan dan penyerap hentak monoshock tengah boleh laras di belakang, menawarkan kestabilan serta keselesaan optimum. Sistem brek terdiri daripada cakera tunggal hadapan dengan angkup dwi-piston dan cakera tunggal belakang dengan angkup satu piston, masing-masing berdiameter 210 mm (hadapan) dan 190 mm (belakang). Tahap keselamatan dipertingkatkan dengan sistem brek anti-kunci dua saluran (ABS).
CFMOTO PAPIO RACER menggunakan tayar bersaiz 120/70-12 di hadapan dan 130/70-12 di belakang, menyumbang kepada karakter pengendalian yang tangkas. Dari segi dimensi, motosikal ini berukuran 1,750 mm panjang, 700 mm lebar dan 1,080 mm tinggi, dengan jarak roda 1,214 mm, ketinggian tempat duduk 760 mm, kelegaan tanah 150 mm serta berat siap isi (curb weight) 114 kg, menjadikannya ringan dan mudah dikendalikan.
Bagi ciri dan kemudahan penunggang, CFMOTO PAPIO RACER dilengkapi paparan meter hibrid yang menggabungkan elemen analog dan digital, slot khas untuk port pengecas USB serta sistem kunci mekanikal. Ciri keselamatan tambahan termasuk suis keselamatan tongkat sisi, butang hazard dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).
Sistem pencahayaan adalah jenis LED sepenuhnya, merangkumi lampu hadapan dengan Lampu Siang (DRL), lampu belakang serta lampu isyarat. Penampilan sporty diperkemaskan lagi dengan kehadiran pelindung angin dan winglet yang menyerlahkan identiti berinspirasikan perlumbaan.
Setiap pembelian CFMOTO PAPIO RACER didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km perbatuan (yang mana terdahulu), serta kemudahan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian oleh CFMOTO Malaysia.

