(SEMASA) GABUNGAN TEKNOLOGI & GAYA BERANI: BENDA LFC700 PRO SEDIA MENCABAR NORMA CRUISER

Spread the love

MELAKA, 20 APRIL 2025 – BENDA LFC700 Pro, jentera terbaharu dalam kategori cruiser, dilancarkan bersempena majlis perasmian Mforce Best Shop Gee Leong Motor (M) Sdn. Bhd. dengan harga bermula dari RM48,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

Seperti janjinya ‘Designed to Dominate. Built to Evolve’, BENDA LFC700 Pro menyajikan motosikal berprestasi tinggi yang direka khas untuk penunggang yang mendambakan kuasa luar biasa dan teknologi moden dalam satu pakej bergaya dan agresif. Benda LFC700 Pro merupakan pakej terbaik untuk peminat cruiser, menawarkan segala yang mereka cari dari segi gaya, inovasi dan prestasi.

Hadir dengan dua pilihan warna (Black dan Gold), model ini menampilkan fungsi enjin empat silinder sebaris (L4-Cylinder), 4-lejang, 16-injap SOHC berkapasiti 676cc dengan sistem penyejukan cecair (liquid-cooled) dan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) yang menjamin prestasi konsisten serta cekap dari segi penggunaan bahan api.

BENDA LFC700 Pro mampu menghasilkan kuasa maksimum 69kW pada 11,000rpm dan tork maksimum 63Nm pada 8,500rpm, menjadikan BENDA LFC700 Pro antara jentera paling berkuasa dalam kelasnya.

Motosikal jenis cruiser ini juga hadir dengan sistem ‘sliding clutch’ serta transmisi 6-kelajuan dengan pacuan akhir rantai, memberikan penukaran gear yang lancar dan responsif. Sistem pelinciran pula menggunakan teknologi sistem pelinciran jenis tekanan dan percikan (pressure splash lubrication) yang mengurangkan geseran dan meningkatkan ketahanan enjin.

Dari segi estetika dan fungsi, BENDA LFC700 Pro tampil dengan reka bentuk moden dan futuristik. Motosikal ini disertakan dengan lampu spotlight boleh lipat (foldable spotlight) yang meningkatkan tahap gaya dan keterlihatan. Fungsi LED turut hadir pada lampu utama, lampu brek dan lampu kecemasan. Lampu LED menawarkan pencahayaan yang lebih terang, penggunaan tenaga yang lebih rendah serta jangka hayat yang lebih panjang berbanding lampu konvensional.

Model ini juga dilengkapi sistem RAM-air intake yang berfungsi menyalurkan udara bertekanan tinggi terus ke ruang pembakaran semasa motosikal bergerak laju, sekaligus meningkatkan kecekapan pembakaran, menambah kuasa enjin secara semula jadi dan membantu mengekalkan suhu operasi yang lebih stabil.

Sistem suspensi hadapan dilengkapi dengan fork teleskopik terbalik (upside-down), manakala di belakang pula dilengkapi dengan sistem suspensi udara monoshock(rear monoshock air suspension system) yang menawarkan keselesaan dan prestasi tinggi. Penunggang boleh melaraskan sistem ini mengikut keperluan tunggangan mereka, memberikan pengalaman yang lebih lancar dan stabil di pelbagai permukaan jalan.

BENDA LFC700 Pro dilengkapi sistem ABS dwi-saluran bagi memberikan cengkaman optimum ketika membrek. Ia turut disertakan dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh dihidupkan atau dimatikan, membolehkan penunggang mengawal tahap bantuan elektronik mengikut keperluan dan kondisi jalan. Saiz tayar hadapan 130/70-19 dan tayar belakang 300/35-18 memberikan keseimbangan dan kawalan yang sempurna untuk tunggangan berprestasi tinggi.

Ia juga mempunyai pelindung gesper kekuatan tinggi (Composite Buckle Armor), menjadikan penampilan motosikal ini lebih garang dan tahan lasak. Radiator bersaiz besar yang tersedia membantu mengawal suhu enjin ketika dalam pemanduan intensif. Selain itu, rekaan tempat duduk ergonomik turut menjamin keselesaan penunggang.

Ciri paparan menggunakan meter digital TFT bersaiz 5 inci yang memaparkan informasi dengan jelas, manakala port pengecas USB disediakan bagi memudahkan penunggang mengecas peranti ketika menunggang.

Dari segi dimensi, jentera ini berukuran 2,430mm panjang, 880mm lebar dan 1,110mm tinggi, dengan jarak roda 1,720mm, ketinggian tempat duduk 695mm dan berat keseluruhan 287kg. Kelegaan tanah 160mm menjadikan motosikal ini sesuai untuk pelbagai jenis permukaan jalan. Kapasiti tangki minyak sebanyak 17-liter pula memastikan perjalanan jauh tanpa gangguan.

Dengan setiap pembelian BENDA LFC700 Pro, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn Bhd.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *