(SEMASA) GALAKSI MEDIA ONLINE ‘UNBOXING’ SAMSUNG GALAXY S25 FE

Spread the love

Samsung Galaxy S25 FE yang dilancarkan pada awal September tahun ini merupakan kesinambungan kepada siri Fan Edition selepas Galaxy S24 FE. Model ini masih mengekalkan konsep sebagai peranti “Edisi Peminat” dengan fokus kepada prestasi Galaxy AI dan ciri-ciri flagship yang mantap pada harga lebih berpatutan berbanding siri flagship Galaxy S yang lain.

Galaksi Media Online (GMO) telah menerima satu unit Samsung Galaxy S25 FE untuk tujuan ulasan. Galaxy S25 FE dilancarkan dan bakal menjadi pilihan alternatif terbaik untuk mereka yang mahukan prestasi setaraf peranti kelas premium dengan bajet yang lebih seimbang.

Kotak pembungkusan Galaxy S25 FE mengekalkan rekaan minimalis dengan asas warna hitam, sama seperti model terdahulu. Bahagian hadapan kotak menampilkan imej samar peranti dengan pilihan warna yang mewakili unit dalamannya. GMO menerima unit berwarna “JetBlack” yang kelihatan elegan dan moden. Menariknya, kotak Galaxy S25 FE juga direka lebih nipis, sama seperti siri Samsung Galaxy Series lain yang terkini.

Isi dalam kotak adalah ringkas: sebuah telefon Galaxy S25 FE, kabel pengecasan USB-C, kad waranti dan buku panduan ringkas. Seperti model-model sebelumnya, adapter pengecas tidak disertakan dan perlu dibeli secara berasingan. Walaupun ada pengguna yang menganggap ini sedikit kekurangan, Samsung menekankan ia sebagai langkah lebih mesra alam.

Dari segi fizikal, Galaxy S25 FE dibina dengan rangka aluminium kukuh, manakala bahagian depan dan belakang diperbuat daripada kaca Gorilla Glass Victus+ yang memberikan rasa premium serta ketahanan lebih baik. Berdasarkan laman rasmi Samsung, Galaxy S25 FE hadir dengan empat pilihan warna iaitu Navy (biru), Jetblack (hitam), Icyblue (biru ice), dan White (putih).

Dari sudut spesifikasi, Galaxy S25 FE dilengkapi skrin Dynamic AMOLED 2X berukuran 6.7 inci FHD+,  1900 nits (peak) dengan resolusi 1080 x 2340 piksel kadar segar semula 120Hz dan sokongan HDR10+. Kamera utama 50MP dengan teknologi Nightography dan sokongan OIS memastikan gambar lebih tajam walaupun dalam keadaan cahaya rendah. Turut disertakan lensa ultra lebar 12MP dan telefoto 8MP dengan zum optikal 3x. Kamera hadapan pula 12MP dengan ciri Galaxy AI untuk foto potret dan panggilan video lebih jelas.

Bateri berkapasiti 4,900 mAh mampu bertahan sehingga dua hari dengan penggunaan biasa, disokong pengecasan pantas 45W melalui USB-C. Telefon ini turut mengekalkan ciri pengimbas cap jari bawah skrin serta kalis air dan debu dengan penarafan IP68.

Secara keseluruhan, Galaxy S25 FE menjadi peranti pilihan untuk mereka yang mahukan gabungan reka bentuk premium, prestasi lancar, kamera pintar berasaskan AI serta harga yang lebih mesra poket berbanding flagship utama.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *