SELANGOR, 3 OGOS 2025 – KEEWAY Malaysia dengan sukacitanya memperkenalkan model terbaharu XDV180 EVO bersempena dengan majlis perasmian Mforce SmartShop Wee Biker Sdn. Bhd. Harga asas bermula RM9,388.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dan boleh didapati di pengedar sah Mforce seluruh Malaysia.
Hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Grey, Black dan White, KEEWAY XDV180 EVO turut dikuasakan oleh enjin 174cc silinder tunggal, 4-lejang, 4-injap yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 13.6kW pada 8,500rpm dan tork maksimum 17.2Nm pada 6,500rpm. Saiz piston dan lejang adalah 61mm x 59.6mm dengan nisbah mampatan 11.5:1, menjadikannya sesuai untuk tunggangan cekap dan responsif. Skuter ‘cross-over’ menggunakan sistem penyejukan cecair serta dilengkapi EFI (Electronic Fuel Injection).
Enjin ini menggunakan sistem nyalaan T.C.I dan dihidupkan secara elektrik. Sistem pelinciran pula adalah jenis percikan tekanan (pressure splash lubrication). Model ini turut dilengkapi gear automatik CVT sepenuhnya serta pacuan akhir jenis tali sawat (V-belt) untuk kawalan yang lancar ketika di bandar. Lebih menarik, TCS boleh ditukar (switchable) juga turut tersediakan berdasarkan keadaan penunggangan.
Bagi sistem suspensi, KEEWAY XDV180 EVO menggunakan fork hadapan jenis terbalik (upside-down) dan penyerap hentak berkembar di belakang. Skuter ini dilengkapi dengan tayar hadapan bersaiz 110/80-14 dan tayar belakang 130/70-13, memberikan cengkaman yang sangat baik serta kestabilan tunggangan dalam pelbagai keadaan jalan.
Tayar dwi-fungsi ini direka untuk berprestasi cemerlang di atas jalan berturap mahupun laluan off-road ringan, memberikan lebih fleksibiliti dan keyakinan kepada penunggang.
Dengan berat kering hanya 145kg, jentera ini amat mudah dikendalikan. Ia hadir dengan ketinggian tempat duduk penunggang 795mm manakala penumpang 870mm, jarak kelegaan tanah 140mm serta ukuran keseluruhan 1,940mm panjang, 770mm lebar dan 1,285mm tinggi. Jarak roda pula ialah 1,335mm. Tangki bahan api berkapasiti 10-liter.
Dari aspek keselamatan, motosikal ini dilengkapi dengan sistem brek cakera di hadapan dan belakang berserta teknologi ABS dwi-saluran. Kuasa elektronik disokong oleh bateri 12V9Ah.
KEEWAY XDV180 EVO turut dilengkapi fungsi DVR (Driving Video Recorder) di bahagian hadapan yang turut boleh disambungkan menggunakan telefon pintar. Ia turut tersedia dengan kad memori dengan kapasiti 32GB. Lebih menarik, motosikal ini juga mempunyai panel meter TFT dengan saiz 7 inci berserta teknologi ‘keyless’.
Pada bahagian belakang, KEEWAY XDV180 EVO turut dilengkapi dengan rak belakang (rear carrier) yang mampu menampung top box bersaiz sekitar 45 liter.
Gabungan reka bentuk lasak, fungsi pintar dan prestasi bergaya menjadikan KEEWAY XDV180 EVO sebagai pilihan ideal untuk mereka yang mencari skuter ‘cross-over’ ringan dengan semangat pengembaraan.
Dengan setiap pembelian mana-mana model KEEWAY XDV180 EVO, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.
TENTANG KEEWAY
KEEWAY ialah jenama motosikal antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 1999 dan beribu pejabat di Hungary. Di bawah naungan Qianjiang Group salah satu pengeluar motosikal terbesar di China dan kini sebahagian daripada Kumpulan Geely, KEEWAY berkembang pesat dalam pasaran global, menawarkan rangkaian motosikal, skuter dan kenderaan dua roda yang berkualiti tinggi dan berpatutan.
Fokus utama KEEWAY adalah pada reka bentuk yang bergaya, teknologi yang praktikal serta prestasi yang boleh dipercayai, menjadikannya pilihan ideal untuk penunggang harian mahupun penggemar permotoran yang mahukan gaya serta fungsi. Dari motosikal kompak hingga model berkuasa tinggi, KEEWAY menampilkan keseimbangan antara kemudahan penggunaan dan estetika moden.
Di Malaysia, KEEWAY diwakili secara rasmi oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., dan terus berkembang dengan menawarkan produk-produk yang sesuai dengan kehendak pasaran tempatan. Dengan gabungan inovasi, reka bentuk Eropah dan kejuruteraan yang terbukti, KEEWAY bersedia untuk meneruskan pertumbuhan sebagai jenama global yang boleh dipercayai.

