KUALA LUMPUR, 2 FEBRUARI 2026 – WMOTO Malaysia hari ini secara rasmi memperkenalkan dua model terbaharunya, WMOTO Island 150 dan WMOTO Hawk 200i, bersempena sambutan Mforce Lou Sang Dinner 2026 yang berlangsung di M Resort & Hotel.
Direka untuk meningkatkan pengalaman tunggangan harian, WMOTO Island 150 menggabungkan gaya moden, keselesaan optimum serta teknologi terkini, sekali gus menandakan kemasukan WMOTO ke dalam segmen skuter premium 150 cc.
WMOTO Island 150 ditawarkan pada harga RM6,688.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dan kini boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia. Model ini hadir dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Aura Black, Action Blue dan Prime Grey.
Dikuasakan oleh enjin 150cc satu silinder, 4-lejang, 4-injap dengan sistem penyejukan cecair, WMOTO Island 150 menawarkan prestasi yang mantap untuk kegunaan harian. Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 11.5 kW pada 8,500 rpm serta tork maksimum 14.2 N.m pada 6,500 rpm beserta nisbah mampatan 10.6:1 bagi keseimbangan kecekapan dan responsif.
Skuter ini dilengkapi sistem suntikan bahan api EFI, penghidup elektrik serta transmisi CVT dengan pacuan tali sawat, memastikan pecutan yang lancar dan tunggangan yang selesa di persekitaran bandar. Tangki bahan api berkapasiti 9 liter pula membolehkan jarak perjalanan yang lebih jauh dengan kekerapan pengisian semula yang minimum.
Dari segi dimensi, WMOTO Island 150 berukuran 1,940 mm panjang, 745 mm lebar dan 1,130 mm tinggi, dengan jarak roda 1,315 mm serta jarak kelegaan tanah 136 mm. Ketinggian tempat duduk 764 mm dan berat kering 137 kg menjadikannya sesuai untuk pelbagai peringkat ketinggian dan saiz badan.
Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan peredaman hidraulik dan penyerap hentak jenis spring dengan sistem redaman memberikan kestabilan serta keselesaan ketika menunggang. Ia dipadankan dengan tayar 110/70-14 M/C (hadapan) dan 130/70-13 M/C (belakang) pada rim aloi, serta sistem brek cakera hadapan dan belakang yang dilengkapi ABS dwi-saluran bagi tahap keselamatan yang lebih tinggi.
Bagi meningkatkan pengalaman penunggang, WMOTO Island 150 hadir dengan pelbagai ciri moden termasuk sistem pencahayaan LED penuh merangkumi lampu hadapan dengan DRL, lampu belakang, lampu isyarat serta lampu kecemasan. Ciri lain yang ditawarkan ialah paparan meter digital interaktif, sistem tanpa kunci, suis keselamatan tongkat sisi, penghadang angin, ruang simpanan hadapan sebelah kiri serta port pengecasan USB Type-A dan Type-C.
Turut disertakan ialah Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), pemijak kaki pembonceng boleh lipat, pemijak kaki yang luas bagi penunggang, tempat duduk antigelincir serta tempat cangkuk barang dengan kapasiti beban sehingga 5 kg. Skuter ini menggunakan bateri 12V8.6Ah dan mampu membawa muatan sehingga 158 kg, menjadikannya rakan tunggangan ideal untuk kegunaan seharian.
Dibangunkan sebagai sebuah jentera yang lasak dan berkeupayaan tinggi, WMOTO HAWK 200i direka untuk penunggang yang memerlukan prestasi boleh diharap di jalan raya bandar serta laluan off-road ringan, sekali gus menandakan pengembangan berterusan WMOTO dalam segmen motosikal 200cc yang versatil.
WMOTO HAWK 200i ditawarkan pada harga RM7,888.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans). Model ini akan mula tersedia di semua pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia dan ditawarkan dalam dua pilihan warna menarik, iaitu Obsidian Black dan Extreme Red.
Motosikal ini dikuasakan oleh enjin 200 cc silinder tunggal, SOHC, 2-injap, penyejukan cecair, yang menghasilkan kuasa maksimum 12 kW pada 8,000 rpm dan tork 15.7 Nm pada 7,000 rpm. Dengan nisbah mampatan 9.5:1 serta konfigurasi piston dan lejang 61 mm x 63.1 mm, enjin ini menawarkan prestasi responsif yang sesuai untuk kegunaan harian serta tunggangan hujung minggu yang lebih mencabar.
Sistem Suntikan Bahan Api Elektronik (EFI), penghidup elektrik dan transmisi 5kelajuan pacuan rantai memastikan penukaran gear yang lancar serta penghantaran kuasa yang cekap. Tangki bahan api berkapasiti 8 liter pula menyokong jarak tunggangan yang lebih jauh dengan kecekapan penggunaan bahan api yang baik.
Dari segi dimensi, WMOTO HAWK 200i mempunyai panjang 2,090 mm, lebar 880 mm dan tinggi 1,180 mm, digabungkan dengan ketinggian tempat duduk 830 mm yang mesra penunggang serta jarak kelegaan tanah setinggi 260 mm, membolehkannya menempuh permukaan jalan tidak rata dengan lebih yakin. Jarak roda 1,360 mm dan berat basah 132 kg menyumbang kepada pengendalian yang lincah dalam pelbagai keadaan tunggangan.
Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik terbalik di bahagian hadapan dan penyerap hentak monoshok di bahagian belakang, memberikan penyerapan hentakan yang berkesan serta keselesaan optimum sama ada di jalan bandar atau laluan offroad ringan.
Sistem brek menggunakan cakera di bahagian hadapan dan belakang, dilengkapi dengan ABS hadapan boleh nyahaktif, bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keyakinan membrek. WMOTO HAWK 200i dipadankan dengan tayar 90/90-19 di hadapan dan 110/90-17 di belakang, dipasang pada rim jejari yang tahan lasak, sekali gus menawarkan kebolehsuaian yang lebih baik pada pelbagai jenis permukaan jalan.
Antara kelengkapan yang ditawarkan termasuk paparan meter digital interaktif, lampu isyarat dan lampu hadapan jenis LED, lampu belakang gaya mentol, port pengecasan USB Jenis-A, sistem kunci mekanikal, pelindung tangan dengan DRL terbina dalam, pelindung hendal, pendikit, tayar dwi-guna, rim jejari serta tempat duduk anti-gelincir, yang semuanya direka bagi memaksimumkan kepraktisan dan keselesaan penunggang.
Menggabungkan prestasi enjin yang berkeupayaan, struktur yang kukuh serta senarai ciri moden yang menyeluruh, WMOTO HAWK 200i menawarkan pengalaman tunggangan seimbang kepada penunggang Malaysia.


