AMPANG — HABIB, jenama barangan kemas terkemuka Malaysia, mengumumkan komitmen berterusan terhadap pemuliharaan hidupan liar menerusi sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Zoo Negara. Sumbangan ini bertujuan untuk memastikan kesejahteraan haiwan serta penyelenggaraan kemudahan di Zoo Negara sentiasa terpelihara.
Sebagai pencinta haiwan, HABIB amat prihatin dan komited dalam usaha memulihara alam semula jadi. Pada tahun ini, HABIB memperkenalkan koleksi edisi terhad wafer emas 999.9 HABIB x Zoo Negara, yang diinspirasikan daripada ikatan unik antara seekor kucing Oyen dan Capybara di Zoo Negara.
Kisah ini bermula sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020, apabila seekor kucing terbiar yang dikenali sebagai Oyen telah “menetap” di sekitar kandang Capybara di Zoo Negara. Hubungan mesra terjalin apabila Capybara menerima kehadiran Oyen dengan penuh mesra, manakala Oyen pula kelihatan selesa bersama haiwan jinak tersebut. Keakraban yang luar biasa ini telah mendorong pihak Zoo Negara untuk menyertakan nama Oyen pada papan tanda kandang Capybara, sebagai penghormatan kepada ikatan Istimewa tersebut.
HABIB mengangkat kisah persahabatan dan ketabahan ini menerusi Wafer Emas 999.9 Edisi Terhad Capybara dan Oyen. Mengukuhkan lagi dedikasi terhadap pemuliharaan hidupan liar, HABIB juga berbesar hati untuk menaja spesies Badak Sumbu Putih pada tahun ini, susulan tajaan Harimau Malaya pada tahun lalu. Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan komitmen teguh HABIB dalam melindungi khazanah alam dan hidupan liar negara yang tidak ternilai. “Syarikat kami amat percaya kepada usaha memelihara alam semula jadi dan melindungi haiwan untuk generasi akan datang,” ujar Dato’ Sri Meer, Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB.
Untuk maklumat lanjut mengenai usaha pemuliharaan HABIB dan koleksi wafer emas 999.9 yang terkini, sila layari laman sesawang rasmi www.habibjewels.com dan ikuti HABIB di media sosial—Instagram dan TikTok (@habibjewelsofficial), serta Facebook dan LinkedIn (@HABIB).

