Setelah hampir 10 tahun menjalankan perniagaan makanan di Malaysia, syarikat HIT & EAT yang terletak di Solaris Mont Kiara telah maju setapak lagi dengan pengenalan konsep ‘karavan makanan’ yang berkonsepkan makanan mewah jalanan yang bersifat statik. Ia sedikit berlainan dengan konsep ‘ food truck’ dimana karavan penyediaan dan penjualan makanan ini diletakkan secara kekal dan tidak berubah. Konsep penyediaan makanan secara berpusat dan diagihkan ke karavan di lokasi yang berlainan sedikit sebanyak berbeza dengan konsep ‘food truck’ di mana penyediaan makanan dan minuman dilakukan di lokasi yang sama.
Konsep ini berasal dari beberapa negara luar yang mana pemilik HIT & EAT iaitu Encik Ieman Shahi telah mempelajari konsep tersebut selama 7 bulan di Amerika Syarikat sebelum diperkenalkan di pasaran tempatan. Kebersihan menjadi titik tolak kepada pengenalan ‘karavan makanan’ dengan penyediaan makanan dilakukan di kilang di Puchong sebelum ia dihantar untuk agihan kepada karavan-karavan statik yang telah sedia beroperasi.
Sistem karavan ini menyediakan peluang pekerjaan untuk 12 orang setiap unit dan pihak syarikat memyasarkan 21 karavan statik sehingga tahun 2020 untuk fasa awal. Isu lokasi sedikit sebanyak membataskan perjalanan perniagaan ini di mana permohonan lokasi strategik tidak mendapat lampu hijau oleh majlis kerajaan tempatan dan lokasi yang ditawarkan merupakan lokasi kurang sesuai dan tidak mampu untuk menarik pelanggan ke karavan mereka. Mereka memohon pertimbangan yang sewajarnya oleh majlis kerajaan tempatan memandangkan konsep dan perniagaan ini masih baru dan memerlukan lokasi yang sesuai untuk meletakan karavan statik ini sebagai daya tarikan pelanggan.
Setakat April 2019, syarikat ini mempunyai 7 karavan statik antaranya lokasi yang dibenarkan untuk pengoperasian model perniagaan baru ini ialah Mont Kiara, Sri Petaling, Cheras dan Jalan Changkat. HIT & EAT telah membuat permohonan tambahan lokasi antaranya KLCC, Jalan P.Ramlee, SOGO, Dataran Merdeka serta Berjaya Time Square namun belum mendapat kelulusan atau kebenaran dari pihak majlis kerajaan tempatan untuk pelaksanaannya.
Pihak HIT & EAT memberi penekanan konsep ‘hygiene street food ’ namun masih mengekalkan kualiti penyediaan makanan sihat yang berstatus 5 bintang di kilang penyediaan berpusat mereka disamping menggunakan produk 100 % berkualiti tinggi. Mereka juga menekankan standard yang tinggi dalam proses penghantaran makanan ke karavan dan penyediaan makanan di karavan tersebut memenuhi piawaian antarabangsa.
Pelaburan keseluruhan model perniagaan ini mencecah RM 10 juta ringgit menjadikan ia sesuatu konsep perniagaan yang boleh berdaya saing dan berpotensi tinggi di masa hadapan. Menjawab mengenai menu yang disediakan pula, pihak HIT & EAT mengabungkan menu tempatan dan luar negara antaranya nasi lemak, beef burger, meat ball juga gabungan makanan arab dan banyak lagi. Buat masa ini pihak HIT & EAT menyediakan 18 menu utama dan akan dipertingkatkan sehingga 35 menu utama dan akan dihidangkan secara bergilir-gilir dan ia berharga sekitar RM 10 sehingga mencecah RM 15 satu hidangan.
Masa pengoperasian dibenarkan kepada konsep karavan ini adalah 24 jam namun begitu ia bergantung kepada lokasi dan situasi perniagaan sesuatu tempat karavan tersebut diletakkan.