(SEMASA) Honda NSS250 : Menggamit Keunggulan dengan Gabungan Terbaik Gaya, Kuasa dan Fungsi

Spread the love

Pulau Pinang, 19 Mac 2025 – Boon Siew Honda Sdn. Bhd. dengan bangganya memperkenalkan Honda NSS250, model terbaharu yang pasti memikat para penunggang di Malaysia. Honda NSS250 2025 menggabungkan teknologi canggih dengan reka bentuk premium, menawarkan kemudahan dan prestasi yang dipertingkatkan untuk penunggang harian mahupun perjalanan jarak jauh. Dikuasakan oleh enjin eSP+ 249.5cc yang menghasilkan 17kW pada 7,750 rpm dan 24Nm pada 6,250 rpm, ia memastikan pecutan yang lancar, kecekapan bahan api dan pengurangan pelepasan karbon. Dengan penambahbaikan praktikal dan pilihan warna baharu, NSS250 kekal sebagai pilihan skuter yang bergaya, serba boleh dan inovatif untuk setiap perjalanan.

Perubahan utama berbanding model sebelum ini:

  • Paparan TFT bersaiz 5 inci yang elegan dengan Honda RoadSync dan kawalan mudah melalui suis empat hala berlampu.
  • Warna-warna baharu Honda NSS250 2025 yang menggabungkan gaya, prestasi dan inovasi untuk pengalaman tunggangan yang lebih hebat.

Paparan instrumen TFT 5 inci ini menggabungkan meter kelajuan analog dan rev counter, memberikan pengalaman tunggangan moden dan intuitif. Melalui Honda RoadSync, penunggang boleh mengakses navigasi, panggilan dan muzik dengan mudah melalui set kepala helmet berteknologi Bluetooth, memastikan sambungan lancar dan kemudahan sepanjang perjalanan.

Melengkapkan lagi inovasi berfokuskan penunggang, NSS250 hadir dengan penghadang angin elektrik yang memberikan perlindungan angin dan pengurangan bunyi secara automatik. Selain itu, salur udara hadapan membantu mengurangkan rintangan angin bagi memastikan tunggangan lebih lancar dan selesa. Sistem lampu LED pula meningkatkan lagi tahap pencahayaan dan kehadiran di jalan raya dalam pelbagai keadaan.

Untuk kemudahan dan keselamatan tambahan, sistem Smart Key membolehkan enjin dihidupkan tanpa kunci dan akses mudah ke ruang simpanan di bawah tempat duduk. Sistem ini turut dilengkapi ciri anti-kecurian serta answer-back switch yang mengaktifkan lampu isyarat untuk memudahkan pencarian skuter di kawasan yang sesak.

Dari segi visual, NSS250 tampil dengan reka bentuk tajam dan moden, bahagian fairing atas berlapis, garis aerodinamik serta rekaan hadapan yang padu. Kejuruteraannya memberi keutamaan kepada kawalan yang yakin dengan rangka keluli tubular yang kukuh, fork teleskopik 33mm, penyerap hentakan berkembar di belakang dan kombinasi saiz tayar 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang untuk kelincahan yang lebih baik terutamanya di jalan bandar.

Dari segi prestasi, sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) meningkatkan kestabilan di permukaan mencabar dengan melaras tork bagi cengkaman optimum. Penunggang boleh mengaktifkan atau menyahaktifkan sistem ini melalui suis di hendal, manakala paparan digital memaparkan status terkini secara masa nyata.

Teknologi Emergency Stop Signal (ESS) pula secara automatik menghidupkan lampu isyarat belakang semasa brek mengejut untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain, meningkatkan keyakinan penunggang dalam situasi kecemasan.

Aspek praktikal turut menjadi keutamaan dengan ruang simpanan luas di bawah tempat duduk yang boleh dibahagikan untuk topi keledar, pakaian hujan atau beg bersaiz A4. Selain itu, poket fairing hadapan yang boleh dikunci menyediakan ruang simpanan tambahan dan turut menempatkan port pengecasan USB-C untuk kemudahan pengecasan semasa dalam perjalanan.

Mitsuharu Funase, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Boon Siew Honda berkata,
“Pelancaran Honda NSS250 2025 mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi, menggabungkan teknologi canggih, reka bentuk premium dan prestasi luar biasa. Direka untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh, ia menawarkan paparan TFT 5 inci dengan Honda RoadSync yang mudah dikawal melalui suis empat hala berlampu untuk pengalaman tunggangan yang lebih terhubung. Dengan tambahan warna-warna baharu yang menarik, ia menyerlahkan lagi estetika reka bentuknya. Gabungan kuasa, kecekapan dan kemudahan moden yang sempurna, bersama pengendalian yang mantap, kami yakin ia akan menetapkan penanda aras baharu dalam pasaran skuter dan meningkatkan pengalaman menunggang untuk para pelanggan kami.”

Dengan gabungan luar biasa dari segi gaya, prestasi dan ciri-ciri terkini, Honda NSS250 2025 direka untuk meningkatkan pengalaman tunggangan baik bagi penunggang di bandar mahupun pengembara jarak jauh. Kini tersedia dalam rangkaian warna menarik termasuk Pearl Smoky Gray, Matte Gun Powder Black Metallic, dan Candy Rosy Red, serta dua warna baharu iaitu Pearl Jubilee White dan Pearl Shining Black.

 


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *