Petaling Jaya, 5 Mei 2020 – Suasana bulan Ramadan pada tahun ini pastinya berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini. Namun, ia tidak menghalang kita untuk menyambut bulan Ramadan secara sederhana dan penuh bermakna. Seiring dengan kempen Setulus Ikhlas yang telah dilancarkan pada 19 April 2020, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) telah memulakan beberapa inisiatif amal dan program istimewa bersama dengan rakan-rakan penaja dan organisasi untuk membantu mereka yang terkesan dengan pandemik wabak Covid-19.
Tidak terhenti dengan program Juadah Setulus Ikhlas yang dapat direalisasikan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan foodpanda sejak awal bulan Ramadan yang bertujuan membantu peniaga kecil-kecilan, MPTN juga bergandingan dengan Faizal Tahir dan Faithmen untuk membantu golongan masyarakat yang memerlukan. Selain itu, empat program khas di bulan Ramadan terbitan Primeworks Studios dengan kerjasama Motion Content Group iaitu HeroKu (Telekom Malaysia Berhad), Dari Dapur Saya Ke Dapur Anda (KFC dan Celcom), Saranghae Ramadan Eid (Coway) dan Ratu Cantik Dapur (Huawei) juga berjaya dihasilkan walaupun pelbagai kesulitan terpaksa dihadapi demi memberikan kandungan terbaik buat tontonan semua.
Menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia, Encik Michael Chan, “Keadaan yang kita hadapi sekarang tidak berlaku seperti yang dirancang. Rutin harian atau gaya hidup kita sememangnya bertukar 360 darjah. Begitu juga dengan kelangsungan kempen Setulus Ikhlas anjuran MPTN yang perlu diubahsuai mengikut keadaan. Oleh itu, pihak kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan penaja dan juga selebriti yang sudi bekerjasama dan sama-sama menghadapi pelbagai cabaran di tempoh PKP.”
Untuk pengetahuan, Juadah Setulus Ikhlas merupakan kerjasama antara MPTN dan beberapa pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Ipoh (Perak), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (Melaka) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (Pulau Pinang) serta foodpanda, peneraju platform makanan atas talian. Dengan adanya program amal ini, ia dapat memberi kemudahan kepada mereka yang tidak berkesempatan untuk menyediakan juadah berbuka dengan pembelian secara atas talian (online) menerusi foodpanda.
Pihak berkuasa tempatan yang terlibat mendapatkan 40 hingga 80 vendor dan ia turut terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai inisiatif Juadah Setulus Ikhlas. Mereka boleh mendaftar dan mendapatkan maklumat lanjut tentang inisiatif program amal ini menerusi laman sesawang rasmi kempen Setulus Ikhlas iaitu www.bharian.com.my/setulusikhlas dan www.ohbulan.com/setulusikhlas.
Kepada mereka yang masih belum biasa untuk membeli secara atas talian menerusi foodpanda, jangan risau kerana laman sesawang tersebut turut menunjukkan cara untuk membuat pesanan. Pembelian atas talian (online) ini bukan saja dapat memenuhi keperluan sendiri untuk berbuka puasa malah dapat membantu petugas barisan hadapan untuk menyediakan juadah berbuka puasa. Secara tidak langsung, kita juga membuka rezeki menerusi platform e-hailing kepada para peniaga bazar yang tidak dapat menjalankan perniagaan seperti tahun-tahun lalu.
Selain itu, MPTN juga bekerjasama dengan Faizal Tahir dan Faithmen atau lebih dikenali dengan gelaran #iamfaithmen yang telah menerima pengiktirafan dengan Anugerah Sukarela Terbaik oleh Jabatan Perdana Menteri untuk inisiatif amal. Bersama MPTN, mereka menghulurkan bantuan segera kepada keluarga-keluarga daif dan golongan kurang berupaya di tempoh PKP ini. Selain memberi barangan dapur kepada orang tua yang menghuni di Mesra Homes, tindakan membeli serunding dan kuih tart yang dihasilkan oleh para penghuni menjadi lebih bermakna apabila usaha mereka untuk mencari rezeki sendiri dihargai.
Golongan gelandangan di Anjung Singgah dapat menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan oleh mereka. Sebagai tanda sokongan kepada golongan kurang upaya, pasukan ini membeli roti daripada Persekutuan Orang Pekak Malaysia (Malaysian Deaf Federation, MDF) untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Mereka juga membekalkan toiletries kepada golongan ini. Faizal Tahir dan Faithmen telah membantu ibu-ibu Chow Kit dengan membelikan barangan dapur untuk mereka menyediakan juadah berbuka puasa untuk 200 orang. Sebanyak 60 keluarga di Buku Jalanan Chow Kit juga diberikan barangan keperluan asas untuk menampung kehidupan mereka. Tidak lupa juga kepada ahli keluarga petugas barisan hadapan, Faizal Tahir dan Faithmen akan meringankan beban mereka dengan persiapan Hari Raya Aidilfitri.
4 program khas yang ditaja oleh rakan-rakan penaja telah menemui penonton TV3 bermula 29 April 2020. Dari Dapur Saya Ke Dapur Anda ditaja oleh KFC dan Celcom bersiaran mulai 29 April 2020 pada setiap hari Rabu, pukul 6.00 – 6.30 petang untuk 4 episod. Saksikan selebriti popular Sharifah Shahirah mencuba pelbagai resipi menarik dari internet dan juga resipi istimewa Kepci Kitchen untuk seisi keluarganya. Selain itu, dia juga berkongsi senaman ringkas yang dapat dilakukan di tempoh PKP.
Saranghae Ramadan Eid ditaja oleh Coway bersiaran mulai 29 April 2020 pada setiap hari Rabu, pukul 6.30 – 7.00 petang. Program 5 episod ini merupakan catatan diari kehidupan beberapa mualaf Korea Selatan yang berkongsi pengalaman menjalankan ibadah berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri untuk pertama kali sejak bergelar mualaf di Malaysia (Ahmad dan Emir) dan Korea Selatan (Daud Kim, Bora Song dan Yongsan). Pelbagai dugaan dan cabaran dilalui oleh mereka untuk mengamalkan ajaran agama Islam serta menyesuaikan diri dengan budaya dan kepercayaan masyarakat Korea Selatan. Program ini juga akan menemu ramah mualaf Korea Selatan yang lain iaitu Khalid dan Lee Seul tentang pengalaman mereka.
Ratu Cantik Dapur tajaan Huawei yang bersiaran pada hari Khamis, 6.00 – 6.30 petang selama 4 episod mulai 30 April 2020 menghimpunkan video-video memasak oleh selebriti popular seperti Jasmine Suraya, Dayana Roza, Atita Haris, Sharifah Shahirah, Ezzaty Abdullah, Eira Syazira, Julia Farhana dan Indah Ruhaila. Berbeza dengan perkongsian video di laman sosial media, mereka akan berdandan bagai ratu cantik untuk memasak di dapur. Selebriti yang beraksi di setiap episod akan mempersiapkan diri berdasarkan tema pakaian yang ditetapkan.
Seterusnya, program khas yang dibawakan oleh Telekom Malaysia Berhad, HeroKu telah mula menemui penonton pada 30 April 2020. Program yang dihoskan oleh Fariha Onn mempunyai 4 episod akan bersiaran pada setiap hari Khamis, pukul 6.30 – 7.00 petang. HeroKu mendekati dan menyelami jiwa beberapa ahli keluarga kepada para petugas barisan hadapan ini terutamanya golongan ibu bapa yang patut rasa bangga dengan pengorbanan dan dedikasi yang diberikan oleh anak-anak mereka dalam usaha membendung pandemik Covid-19 ini. Lebih menggembirakan apabila mereka dapat berhubung dengan ahli keluarga tersayang dan mengubati kerinduan mereka yang sentiasa bimbang akan keselamatan ahli keluarga yang terlibat dengan barisan hadapan.
Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyaksikan program-program menarik di TV3 sepanjang bulan Ramadan. Ingin tahu lebih lanjut tentang kempen Setulus Ikhlas sepanjang bulan Ramadan dan Syawal? Pastikan anda mengikuti laman sesawang rasmi kempen Setulus Ikhlas iaitu www.bharian.com.my/setulusikhlas dan www.ohbulan.com/setulusikhlas. Ia turut memuat naik pelbagai maklumat program menarik sepanjang bulan Ramadan dan Syawal serta juga paparan video eksklusif, artikel dan berita tentang selebriti popular tanah air.
Gunakan tanda pagar #SetulusIkhlas, #RamadanMasihOn dan #RayaMasihOn dalam menghangatkan lagi perbualan media sosial anda!
- Tamat –