(SEMASA) Karnival Sukan Al Kauthar Eduqids 2025 Himpun Lebih 8000 Kanak-Kanak di MAEPS Serdang

Spread the love

Serdang, 20 Julai 2025 – Al Kauthar Eduqids dengan bangganya mengumumkan penganjuran Karnival Sukan Al Kauthar Eduqids 2025, yang berlangsung penuh meriah di MAEPS Serdang, menghimpunkan lebih 8,000 kanak-kanak berusia 1 hingga 6 tahun, termasuk kanak-kanak berkeperluan khas dari seluruh rangkaian pusat pendidikan Al Kauthar Eduqids sekitar Lembah Klang, Nilai dan Melaka.

Karnival berskala besar ini merupakan satu inisiatif kolaboratif antara Al Kauthar Eduqids dan Majalah Pa&Ma, bertujuan untuk menyemarakkan semangat kesukanan, membina keyakinan diri serta menyokong perkembangan fizikal dan sosial kanak-kanak sejak di awal usia. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Al Kauthar Eduqids, Dato Bakhtiar Aliff bin Ibrahim, karnival sukan kali ini juga julung kalinya diadakan bersama-sama karakter kartun kanak-kanak kegemaran ramai iaitu Didi & Friends.

“Kemunculan Didi & Friends bersama maskot Al Kauthar Eduqids ini menjadi tumpuan utama memandangkan kanak-kanak sangat meminati karater kartun ini. Tambahan pula team Warnakala iaitu pemilik Didi & Friends akan bersama kanak-kanak untuk sesi bercerita atau story telling di mana mereka juga akan mencatat Malaysian Book of Record untuk Largest Children Participation in A Story Telling Event.”

Pelbagai jenis sukan dan aktiviti berasaskan perkembangan kanak-kanak disediakan, direka khas untuk merangsang kemahiran motor kasar, semangat berpasukan dan nilai-nilai murni. Selain acara sukan, para peserta dan pengunjung turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan pentas seperti Zumba Sarung, nyanyian dari Bintang Kecil, tontonan wayang, serta booth jualan yang memeriahkan lagi suasana.

Lebih istimewa, seramai 100 orang pelajar dari University College MAIWP International (UCMI) turut serta menjayakan karnival ini dengan menganjurkan aktiviti interaktif yang menyeronokkan serta bersesuaian dengan dunia kanak-kanak.

Menurut wakil Al Kauthar Eduqids, acara ini bukan sahaja bertujuan untuk meraikan kanak-kanak, malah sebagai platform untuk mengukuhkan hubungan antara pendidik, ibu bapa dan komuniti, sambil memperkukuh komitmen institusi terhadap pendidikan holistik awal kanak-kanak.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *