(SEMASA) KECIL-KECIL CILI PADI: CFMOTO 250NK LITE MENGHANGATKAN PASARAN MOTOSIKAL NAKED TEMPATAN.

Spread the love

KUALA LUMPUR, 16 MEI 2025 – Selepas pelancaran CFMOTO 700MT pada Mac lepas, CFMOTO Malaysia kini membawa kejutan istimewa di Courtyard Kuala Lumpur dengan melancarkan model terbaharu dalam kategori naked bike iaitu CFMOTO 250NK Lite, sebuah motosikal jentera dua roda yang ringkas namun tangkas.

Eksklusifnya, terdapat empat warna yang ditawarkan iaitu Zephyr Blue, Bordeaux Red, Nebula White dan Nebula Black. Bermula RM9,888.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), CFMOTO 250NK Lite yang sangat sesuai dijadikan motosikal harian boleh dimiliki menerusi pengedar sah CFMOTO seluruh Malaysia.

Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal, 4-lejang, DOHC bersesaran 249cc lengkap dengan sistem penyejukan cecair yang memastikan suhu operasi stabil sepanjang tunggangan. Dengan kuasa maksimum 20.5kW pada 9,750rpm dan tork 22Nm pada 7,500rpm, motosikal ini menjanjikan respons enjin yang pantas dan pecutan yang memuaskan dalam pelbagai keadaan jalan raya.

Piston dan lejang 72mm x 61.2mm digandingkan dengan nisbah mampatan 11.3:1, memberikan keseimbangan optimum antara kuasa dan kecekapan pembakaran. Sistem bahan api masih mengekalkan penggunaan EFI, menjadikan motosikal ini mudah disenggara dan sesuai untuk penunggang yang mengutamakan kemudahan asas dan prestasi yang diyakini.

CFMOTO 250NK Lite menggunakan transmisi 6-kelajuan dengan sistem penghantaran akhir jenis rantai, manakala sistem penghidupan adalah elektrik. Dengan jarak perjalanan suspensi 120mm (hadapan) dan 46mm (belakang), motosikal ini dilengkapi sistem suspensi 37mm fork teleskopik di hadapan dan suspensi tunggal (monoshock) di belakang, memastikan kawalan lebih stabil dan serapan hentakan yang baik ketika di selekoh atau melalui permukaan jalan tidak rata.

Dari segi saiz dan ergonomik, motosikal ini berukuran 1,990mm panjang, 780mm lebar dan 1,070mm tinggi dengan jarak roda 1,360mm. Ketinggian tempat duduk ialah 795mm dan jarak kelegaan tanah 150mm, menjadikan ia sesuai untuk pelbagai saiz penunggang. Berat basah 158kg pula melambangkan motosikal ini ringan dan mudah dikawal terutamanya dalam suasana trafik di bandar. Tangki bahan api berkapasiti 12.5 liter cukup untuk perjalanan harian tanpa pengisian yang kerap.

Sistem brek dilengkapi cakera di kedua-dua bahagian iaitu cakera tunggal 292mm dengan angkup empat piston bertentangan di hadapan dan cakera 220mm dengan angkup satu piston terapung di belakang, CFMOTO 250NK Lite turut mempunyai ABS dwi-saluran bagi meningkatkan keselamatan semasa membrek secara mengejut.

Tayar hadapan bersaiz 110/70-R17 dan belakang 140/60-R17, menjamin cengkaman yang stabil di atas pelbagai jenis permukaan. Penggunaan material aloi aluminium pada bahagian rim dengan saiz 3.0 × 17 MT (hadapan) dan 4.0 × 17 MT (belakang).

Pencahayaan pula terdiri daripada lampu utama, lampu brek dan lampu isyarat LED, memberikan keterlihatan maksimum serta rekaan sangat moden.

Selain dari reka bentuk yang lasak, terdapat juga beberapa ciri-ciri teknologi termasuk meter LCD, suis kecemasan di pemegang throttle sebelah kanan serta port pengecas USB Type-A dan Type-C.

CFMOTO 250NK Lite menggunakan sistem kunci mekanikal dan hadir dengan penapis minyak (oil filter) yang memudahkan penyelenggaraan berkala. Ia juga menggunakan bateri 12V9Ah, mencukupi untuk menyokong sistem elektrik motosikal secara konsisten.

Dengan setiap pembelian mana-mana model CFMOTO 250NK Lite, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun dengan jarak perjalanan tanpa had dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh CFMOTO Malaysia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *