(SEMASA) #KISAHKARIKU MERAIKAN KREATIVITI MASAKAN DAN WARISAN BUDAYA KARI MALAYSIA

Spread the love

KUALA LUMPUR, 23 November 2024 – Kempen #KisahKariKu, anjuran bersama portal masakan terkenal RASA dan jenama rempah premium BABA’s, telah mencapai kemuncaknya apabila 6 peserta yang terpilih sebagai finalis bertempur dalam Pertandingan Akhir memasak #KisahKariku yang berlangsung harini ini di perkarangan Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur. Kempen ini, yang berlangsung dari 26 Ogos hingga 31 Oktober 2024, telah mengetengahkan bakat memasak dari seluruh pelosok negara, di mana komuniti  mencipta resipi kari kreatif menggunakan produk BABA’s sambil berkongsi kisah penuh inspirasi di sebalik masakan mereka.

Sebanyak lebih 230 penyertaan telah diterima, dan selepas melalui proses saringan ketat dan teliti, enam finalis telah dipilih untuk bertempur di pusingan akhir cabaran masakan secara langsung. Acara kemuncak ini menjadi satu pengalaman unik yang menyerlahkan keindahan masakan Malaysia sambil meraikan cerita yang menghubungkan rakyat kepada warisan budaya mereka.

Dalam ucapan beliau mengenai kerjasama ini, Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, berkata “Di Nu Ideaktiv, kami percaya bahawa makanan bukan sahaja memenuhi perut, tetapi juga menyentuh hati. Kolaborasi kali kedua kami bersama BABA’s tahun ini melalui kempen #KisahKariKu ini adalah simbol komitmen kami untuk mengangkat dan menyampaikan cerita komuniti yang memberi inspirasi kepada kita semua. Sebagai sebuah jenama, RASA telah lama menjadi suara utama dalam mengangkat ‘homecooked recipe‘ yang bukan sahaja enak, tetapi juga melambangkan jambatan kasih sayang dan menghubungkan kita dengan akar budaya dan keluarga.

“Kerjasama ini adalah bukti bahawa apabila dua jenama besar berganding bahu, kita dapat melahirkan sesuatu yang benar-benar istimewa. BABA’s dengan jenama rempahnya yang dipercayai telah memberi platform kepada kami di RASA untuk mencipta pengalaman yang melangkaui resipi. Kami ingin memperluas jangkauan RASA ke lebih banyak segmen masyarakat, menjadikannya ruang di mana sesiapa sahaja dapat menemui inspirasi untuk memasak dan berkongsi cerita.”

“Saya sentiasa percaya bahawa inovasi dan empati adalah kunci untuk mencapai kejayaan. Dan ini terbukti menerusi kempen #kisahkariku kerana pastinya ia bukan mengenai masakan semata. Ia juga telah berjaya untuk meneroka ruang untuk RASA menyampaikan kisah komuniti melalui suara dan cerita mereka yang cinta pada masakan. Inilah yang amat kami banggakan apabila mampu memberi peluang kepada semua untuk berkongsi kreativiti dan kepakaran mereka. Kami tidak mahu hanya menjadi penerbit resipi, tetapi juga menjadi penerbit harapan, warisan, dan inspirasi.”

Tuan Haji Azrain Mohamad, Ketua Pemasaran BABA’s, turut menekankan pentingnya kempen ini untuk memperkukuhkan posisi jenama mereka
“BABA’s sudah lama sinonim dengan kari. Bak kata orang, kalau makan kari, pasti  terus ingat Baba’s, itulah simbol kepercayaan terhadap kualiti dan komitmen kami untuk menawarkan produk halal dan asli yang sesuai untuk setiap rumah tangga. Melalui kempen #KisahKariKu, kami melihat bagaimana rempah BABA’s bukan sahaja menjadi ramuan dalam masakan, tetapi juga menjadi alat untuk menghidupkan semula kisah dan kenangan yang berkaitan dengan budaya masakan.

“Tahun ini, kami mempergiatkan usaha pemasaran dengan pendekatan menyeluruh. Dari kempen digital yang menarik perhatian, hingga aktiviti di lapangan yang melibatkan masyarakat secara langsung, kami ingin mendekati lebih ramai pengguna, tidak kira di mana mereka berada, dan menunjukkan bahawa masakan kari boleh menjadi sesuatu yang unik, kreatif, dan penuh makna. Kerjasama dengan Nu Ideaktiv dan RASA adalah antara pengalaman terbaik kami tahun ini, kerana ia membolehkan kami menyaksikan bagaimana BABA’s menjadi pemangkin kreativiti dan inovasi di dapur setiap peserta.”

“Kami yakin bahawa melalui inisiatif seperti ini, BABA’s terus mengukuhkan posisinya sebagai jenama rempah pilihan utama. Ia juga membuktikan bahawa masakan adalah platform yang mampu menyatukan budaya, menyampaikan cerita, dan menjadikan sesuatu yang biasa menjadi luar biasa.”

Susi Emmarini Masri, Ketua Unit Bisnes Jenama Masakan & Dekorasi serta Pengurus Editor RASA, berkongsi pandangan beliau tentang impak kempen ini kepada komuniti RASA. “Kempen ini telah membuka mata kami kepada pelbagai cara unik untuk mengolah kari. Selama ini, kari sering dilihat terhad kepada hidangan popular seperti nasi ayam atau roti canai. Namun, peserta-peserta #KisahKariKu telah membuktikan sebaliknya. Dari gulai pisang ikan bilis hingga kari ketam Indian style, kreativiti mereka telah mengangkat masakan kari ke tahap yang lebih tinggi. Di RASA, kami percaya bahawa masakan bukan hanya tentang rasa, tetapi juga cerita di sebaliknya. Melalui kempen ini, kami ingin mengajak komuniti kami untuk menghargai bukan sahaja masakan tradisional, tetapi juga bagaimana ia dapat menjadi cerminan budaya dan identiti kita. Ini adalah bukti komitmen kami untuk terus memberi inspirasi kepada komuniti masakan Malaysia.”

Tambahnya lagi “Melalui #KisahKariKu, kami juga ingin menunjukkan bahawa masakan adalah satu bentuk seni yang berkembang. Kami mahu terus dikenali sebagai jenama masakan yang dekat dengan komuniti, dan sering memperkenalkan kandungan yang inovatif, mencerminkan keperibadian Malaysia yang pelbagai, dan membawa makna kepada kehidupan seharian.”

Acara kemuncak #KisahKariKu ini bermula pada jam 10:00 pagi dengan aktiviti yang mengintegrasikan cabaran bersama produk-produk BABA’s. Enam  finalis ini kemudian akan diberikan tugasan untuk memasak hidangan istimewa mereka secara langsung dalam tempoh 45 minit, sebelum hasil masakan mereka dinilai oleh juri profesional, iaitu Puan Susi Emmarini dan Tuan Haji Azrain, bersama Ketua Juri bagi Pertandingan Akhir Memasak #KisahKariku. Pada akhirnya, Rozelinda binti Mustapa yang mempertaruhkan masakan Kari Ketam ‘Indian Style‘ Nandu Kari dinobatkan sebagai Juara #KisahKariku, sekaligus merebut hadiah wang tunai berjumlah RM5,000. Dengan jumlah markah keseluruhan 76%, Rozelinda berjaya mengenepikan 5 lagi saingannya dengan keistimewaan rasa masakan kari yang enak, serta garapan kisah masakannya yang unik dan penuh inspirasi. Naib juara pula menjadi milik Mohd Hilmi Bin Mohamad Alias Ahmad dengan resipi Gulai Kari Pisang MudaIkan Bilis. Beliau membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000. Resipi Kari Ikan Kerapu daripada Siti Mahirah binti Awang pula berjaya membawa pulang tempat ketiga dengan hadiah wang tunai berjumlah RM1,500. 3 finalis lain, Norhaslina binti Dzulkifli, Nurul Husna binti Zainal Abidin dan Aziatul Fasihah binti Mohd Roslan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500 atas kejayaan mereka mara ke peringkat akhir Pertandingan Memasak #KisahKariku

Turut memenangi hadiah saguhati bagi kempen #KisahKariku adalah 20 peserta yang terpilih daripada kesemua penyertaan yang diterima, dimana setiap seorang daripada mereka menerima wang tunai RM200. Pengunjung disajikan dengan persembahan hiburan, peluang menang barangan eksklusif RASA, sesi bergambar and OOTD dan teristimewa, peluang untuk mengenali lebih dekat produk-produk BABA’s sepanjang acara yang dianggap menjadi satu platform untuk meraikan keunikan masakan Malaysia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *