(SEMASA) LOTUS CARS MALAYSIA MEMPERKENALKAN VARIAN ELETRE TERBAHARU DARI HARGA RM598,800

Spread the love

Lotus Cars Malaysia hari ini memperkenalkan SUV hiper elektrik Eletre, iaitu varian terbaharu untuk mengiringi model Eletre S dan Eletre R yang sedia ada, pada harga bermula dari RM598,800 dengan penghantaran pertama dijadualkan bermula seawal bulan Oktober.

Eletre mengekalkan kesemua ciri-ciri  yang telah berjaya mengangkat varian Eletre S dan Eletre R menjadi di antara SUV hiper elektrik yang terlaris di dunia. Eletre bagaimanapun, mempunyai tahap kelengkapan dan peralatan berbeza dibandinkan dengan Eletre S dan Eletre R yang dijual pada harga RM698,000 dan RM838,000 masing-masing.

Seperti Eletre S dan Eletre R, pemilik-pemilik Eletre juga berpeluang memilih tahap peralatan dan kelengkapan kenderaan mereka walaupun bukan kesemua pilihan tersedia dan ditawarkan untuk model tersebut.

Pengenalan varian Eletre baharu ini meluaskan prospek pemilikan kepada pembeli-pembeli kenderaan yang berhasrat membuat peralihan kepada SUV hiper elektrik pada titk harga yang lebih menarik. Pada masa yang sama, ia juga memberikan kelonggaran kepada bakal pemilik memilih tahap peralatan dan kelengkapan kenderaan mengikut citarasa masing-masing.

Model Eletre menonjolkan personalitinya yang tersendiri, seperti juga model Eletre S dan Eletre R yang disasarkan lebih kepada pembeli yang menitikberatkan kemewahan dan pemanduan berprestasi tinggi.

Seperti Eletre S, model Eletre dipacu sistem kelajuan tunggal yang mampu menghasilkan 603hp dan tork 710 Nm dengan prestasi mencapai 0-100km/j dalam hanya 4.5 saat. Ia juga mampu mencapai kelajuan 258km/j dan mempunyai pemanduan WLTP maksimum sejauh 600km. Hanya model Eletre R dilengkapi sistem dua-kelajuan yang menawarkan prestasi 905hp dan tork sebanyak 985 Nm dengan kemampuan mencatatkan kelajuan 0-100km/j dalam 2.95 saat dengan kelajuan maksima 265km/j sekaligus menjadikannya SUV hiper elektrik yang terpantas di dunia. Eletre R mempunyai jarak pemanduan WLTP sejauh 490km.

Eletre juga dilengkapi dengan bateri 112kWj dan pengecas 350 kW yang membolehkan pengecasan pantas 10% hingga 80% dalam masa hanya 20 minit.

Walaupun ia mengekalkan kesemua ciri-ciri pemanduan dinamik dan prestasi tinggi Eletre S dan Eletre R, varian Eletre mempunyai wataknya yang tersendiri serta menawarkan tahap kelengkapan dan peralatan yang berbeza. Perbezaan yang paling ketara ialah ia dilengkapi rim aloi 5-jejari berukuran 20 inci dan sistem brek 4 piston. Para pembeli bagaimanapun ditawarkan pilihan untuk menaiktaraf kepada rim berukuran 22 inci dan sistem brek 6 piston dengan tambahan RM30,000. Pemilik Eletre juga berpeluang menambah kamera sisi dan spoiler belakang aktif yang berkemampuan meningkatkan lagi jarak panduan Eletre.

Kesemua varian Eletre dilengkapi pelbagai ciri keselamatan canggih yang juga dikenali sebagai ADAS atau Advanced Driver Assistance Systems serta sistem audio yang mantap. Ciri-ciri keselamatan termasuk kawalan jelajah adaptif pintar (ACC), sistem pemantauan pemandu, amaran pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran lintasan trafik hadapan (FCTA), bantuan pengekalan lorong, amaran keluar lorong, sistem pemantauan titik buta, bantuan parkir serta kawalan casis dinamik pintar Lotus. Kesemua varian Eletre juga dilengkapi 5 mode pemanduan iaitu Range, Tour, Sport, Off- Road dan Individual, manakala hanya model Eletre R mempunyai tambahan mode iaitu Track.

Eletre turut didatangkan dengan sistem audio premium 1,380 watt daripada KEF dan di iringi 15 pembesar suara bersertakan Uni-Q™ dan sistem teknologi bunyi tiga dimensi yang memberikan kepuasan dan kualiti yang lebih mantap.

Dua warna baharu diperkenalkan untuk Eletre iaitu Akoya White dan Cinnabar Red. Warna luaran lain yang ditawarkan termasuk Kaimu Grey, Solar Yellow, Natron Red, Galloway Green, Stellar Black dan Blossom Grey.

Harga bagi Eletre ialah tanpa cukai jalan dan perlindungan insurans dan hanya sah bagi pembelian di Semenanjung Malaysia. Setiap model Eletre juga didatangkan dengan jaminan pengeluar selama lima tahun / 150,000km, manakala jaminan untuk bateri ialah lapan tahun / 200,000km.

Pelanggan-pelanggan boleh melawat Lotus Store di Pavilion Damansara Heights, Kuala Lumpur, atau untuk sebarang maklumat, sila layari laman web di www.lotuscars.com.

Jenama Lotus diwakili di Malaysia oleh Lotus Karz Sdn Bhd sebagai pengimport, pengedar dan pengendali perkhidmatan selepas jualan dan alat-alat ganti tunggal.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *