Majlis Buka Puasa bersama Anak-anak Yatim dan Golongan Asnaf anjuran Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) buat kali keduanya telah diadakan pada 11 Jun 2017 bertempat di Premiera Hotel Kuala Lumpur.
Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) telah menjemput seramai 100 orang Anak-Anak Yatim, pelajar Tahfiz dan golongan asnaf dari Madrasah Tahfiz Al-Quran Syazwan, Tahfiz Darul Ulama, Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia dan asnaf Taman Keramat.
Tujuan utama majlis ini yang turut dihadiri Ahli-Ahli Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) serta barisan artis tanah air adalah untuk memberi sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik yang terdiri daripada Anak-Anak Yatim, pelajar tahfiz & Golongan Asnaf di samping mendekatkan Ahli-Ahli Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) dengan masyarakat yang kurang berkemampuan. Ia juga merupakan satu wadah untuk mengeratkan lagi silaturrahim yang telah sedia terjalin dengan Ahli-Ahli Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM).
Majlis itu turut dihadiri Presiden DPUKM, Datuk Seri Abu Hassan Mohd. Nor. Dalam pada itu, Abu Hassan berkata, DPUKM sentiasa komited dalam membawa produk usahawan kecil ke peringkat antarabangsa dan berharap kerjasama dengan pelbagai pihak dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“DPUKM sentiasa memberi keistimewaan dan peluang untuk ahli, malah sentiasa komited dalam membawa produk usahawan kecil ke peringkat antarabangsa. Setakat ini, seramai 70,000 peniaga dan usahawan kecil berdaftar dengan DPUKM “
Di akhir acara, tetamu telah disajikan dengan juadah berbuka puasa oleh Premiera Hotel Kuala Lumpur dan majlis tamat pada jam 9.30 malam.