(SEMASA) MALAYSIA AUTOSHOW 2025 JANA LEBIH RM1.72 BILION JUALAN POTENSI, TARIK 294,062 PENGUNJUNG

Spread the love

SERDANG, 19 MEI 2025 – Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) melabuhkan tirainya dengan kejayaan paling cemerlang setakat ini, mencatat kehadiran pengunjung tertinggi sebanyak 294,062 orang, serta RM1.72 bilion dalam potensi jualan hasil daripada 3,194 tempahan kenderaan, 1,512 pertukaran kenderaan dan 18,824 prospek jualan. Acara ini dianjurkan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan sokongan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dan menyerlahkan kepimpinan Malaysia dalam mobiliti generasi baharu ketika negara memegang Pengerusi ASEAN 2025.

Dianjurkan dari 9 hingga 15 Mei di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), MAS 2025 menampilkan lebih 200 pempamer dan lebih 500 kenderaan di ruang seluas 50,000 meter persegi. Bertemakan “Mengubah Masa Depan”, pameran tahun ini bukan sahaja mencatat rekod kehadiran, malah memperkukuh kefahaman awam terhadap ekosistem mobiliti yang semakin pesat berubah.

MAS 2025 mencatatkan peningkatan kehadiran sebanyak 31% berbanding 2024, mengatasi semua rekod kehadiran sebelumnya pada hari terakhir acara. Lonjakan ini dipacu oleh lanjutan tempoh acara selama dua hari tambahan.

Sebanyak 48 pelancaran dan pratonton kenderaan baharu diadakan, disertai dengan 10,916 sesi pandu uji di litar luar. Kenderaan elektrik (EV), hibrid plug-in (PHEV) dan hibrid (HEV) merangkumi 51% daripada model yang dipamerkan, menunjukkan anjakan ketara ke arah mobiliti hijau. MAS 2025 juga menyaksikan pelancaran rasmi Skim Pelabelan Sukarela NxGV, yang bertujuan memperakui kenderaan yang memenuhi piawaian tinggi Malaysia dalam aspek kelestarian, keselamatan dan inovasi.

MAS 2025 turut mencipta sejarah serantau menerusi ASEAN Unity Drive 2025, konvoi kenderaan elektrik sejauh 10,432 kilometer merentasi sembilan negara ASEAN, yang diiktiraf secara rasmi oleh Rekod ASEAN. Konvoi ini menampilkan model Proton e.MAS 7 dan siri X, serta mempromosikan penyelarasan piawaian EV dan kebolehlaksanaan rentas sempadan. Ini membuktikan bahawa perjalanan jauh menggunakan EV merentasi negara-negara anggota adalah bukan sahaja boleh dilakukan, tetapi telahpun menjadi kenyataan – asalkan prasarana pengecasan tersedia – sekaligus menandakan kesiapsiagaan ASEAN menuju masa depan mobiliti hijau yang bersatu.

Sebagai acara berpaksikan pengguna yang diterajui kerajaan, MAS 2025 memberi penekanan kepada kesedaran awam mengenai kelestarian, keselamatan dan teknologi pengangkutan masa depan. Hari bertema khas seperti Hari Pendidikan, Hari Wanita dan Hari Hijau menyediakan pengalaman pembelajaran langsung kepada ribuan keluarga, pelajar dan profesional.

Menambah tarikan futuristik acara ini ialah demonstrasi Mobiliti Udara Bandar yang memberi bayangan kepada visi Malaysia terhadap landskap mobiliti masa depan, termasuk pengangkutan eVTOL (electric Vertical Take-Off and Landing). Sementara itu, ADaPTIV, yang dibangunkan hasil kerjasama strategik antara MARii dan PETRONAS, memperkenalkan kecerdasan ramalan masa nyata dalam kenderaan untuk meningkatkan prestasi dan kebolehpercayaan. Prototip ADaPTIV yang dipamerkan menawarkan penyelesaian kepada pengusaha komersial dan armada untuk mengurangkan masa henti, menurunkan kos dan meningkatkan kebolehpercayaan agar kekal berdaya saing.

Dalam majlis penutup, Datuk Dr. Aminar Rashid, Pengerusi MARii, menyampaikan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan termasuk rakan utama seperti Perodua, Proton, Chery, Modenas, Honda dan ORS Technologies atas kerjasama padu yang menyumbang kepada kejayaan acara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz, berkata:

“MAS 2025 bukan sekadar mengenai kereta; ia mengenai menjalin hubungan antara inovasi, penglibatan awam dan transformasi industri. Ketika kami terus mengorak langkah dalam kepimpinan EV dan pengeluaran kenderaan generasi baharu, kami kekal fokus untuk memperkasakan setiap rantaian nilai dalam ekosistem mobiliti.”

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri pula menyatakan bahawa pameran ini sejajar dengan matlamat strategik negara:

“Sebagai pasaran automotif kedua terbesar di Asia Tenggara dan Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk menerajui usaha serantau dalam teknologi kenderaan hijau dan generasi baharu. Ini selari dengan komitmen Malaysia dalam merangka garis panduan bagi menyokong pelan hala tuju EV ASEAN. Kejayaan Malaysia Autoshow 2025 adalah satu langkah besar ke arah mencapai matlamat ini, serta memperkukuh rantaian bekalan mobiliti generasi baharu di rantau ini. Selain menjadi platform pelaburan, kerjasama dan inovasi, MITI juga komited memastikan PKS dan tenaga kerja kita bersedia menghadapi peluang dalam industri e-mobiliti serantau yang lebih berdaya tahan.”

Malaysia Autoshow bakal kembali pada tahun 2027, berkemungkinan dengan lokasi baharu bagi menawarkan pengalaman yang lebih baik kepada pengunjung dan pemain industri. Acara ini akan terus berkembang sebagai platform serantau utama untuk mobiliti, inovasi dan teknologi pengangkutan bersih.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini, sila layari www.autoshow.my atau ikuti saluran media sosial rasmi kami.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *