KUALA LUMPUR, 29 Januari 2026 – Menara Kuala Lumpur, salah satu mercu tanda kebangsaan Malaysia yang paling ikonik, hari ini menggariskan hala tuju strategik, visi destinasi, dan pelan tindakan pengalaman bagi tahun 2026 sempena sambutan Ulang Tahun ke-30 Menara tersebut serta Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Diuruskan oleh LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM), Menara Kuala Lumpur terus menjalani transformasi terancang daripada sebuah struktur telekomunikasi kepada destinasi pelancongan berteraskan pengalaman yang sedia masa hadapan. Usaha ini adalah bagi menyokong objektif pelancongan negara, memacu pertumbuhan ekonomi pelawat, dan memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai bandar raya global.
Berdiri megah pada ketinggian 421 meter dari aras tanah, Menara Kuala Lumpur kekal sebagai menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh tertinggi di dunia. Kini, Menara ini menerima hampir satu juta pelawat setiap tahun dan berfungsi sebagai platform strategik bagi promosi pelancongan, ekspresi budaya, program gaya hidup, serta penglibatan antarabangsa.
“Menara Kuala Lumpur memegang kedudukan unik dalam landskap pelancongan Malaysia — ia merupakan ikon kebangsaan merangkap aset strategik,” kata Encik Khairil Faizal bin Hj. Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd. “Melangkah ke tahun ke-30, fokus kami adalah jelas: untuk memastikan Menara ini kekal relevan pada masa hadapan melalui pengalaman yang dikuras (curated), perkongsian teguh, dan pengisian program bermakna yang menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 dan seterusnya.“
Di bawah pengurusan LSHSM, Menara Kuala Lumpur telah memperluaskan nilai cadangannya menerusi tiga teras strategik: pengalaman pelawat yang imersif, hospitaliti dan sajian premium, serta pengurusan acara dan ruang bertaraf dunia. Antara tarikan utama termasuklah Sky Terrace, Glass Box, Dek Pemerhatian cuaca terbuka, pengalaman pencahayaan malam, ORBIT Revolving Dining, serta ruang acara serba guna seperti HEMISFERA Luxury Sky Hall, Sky Mega Hall, dan Tower Terrace.
Menurut Encik Khairil Faizal, evolusi Menara ini dipacu oleh strategi placemaking jangka panjang dan bukannya sekadar tarikan tunggal. “Pendekatan kami melampaui jumlah kehadiran pelawat. Kami secara sengaja membentuk Menara Kuala Lumpur sebagai destinasi di mana budaya, gaya hidup, dan inovasi bertemu — sekali gus memberikan nilai ekonomi, relevansi media, dan pengalaman bermakna yang bergema di pasaran domestik mahupun antarabangsa.”
Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, Menara Kuala Lumpur mendedahkan kalendar tahunan bagi program-program khas yang dirancang untuk menggalakkan kunjungan berulang dan memanjangkan tempoh lawatan. Ini termasuk pameran budaya dan festival sempena sambutan kebangsaan, inisiatif gaya hidup dan komuniti, acara pelancongan sukan utama seperti Kuala Lumpur Tower Run International Challenge dan International Base Jump, serta acara kemuncak bagi meraikan Ulang Tahun ke-30 Menara pada Oktober 2026.
LSHSM turut menegaskan komitmennya terhadap kecemerlangan operasi, keselamatan, kemampanan, dan pelancongan inklusif, bagi memastikan pertumbuhan diuruskan secara bertanggungjawab sambil mencipta nilai jangka panjang untuk pihak berkepentingan dan komuniti sekitar.
“Tanggungjawab kami bukan sekadar mengendalikan struktur ikonik, tetapi memastikan relevansinya untuk generasi akan datang,” tambah Encik Khairil Faizal. “Setiap program, kolaborasi, dan pelaburan dipandu oleh komitmen kami terhadap kemampanan, kebanggaan negara, dan cita-cita pelancongan global Malaysia.”
Reposisi Strategik Menara Kuala Lumpur telah diperkukuhkan menerusi beberapa pengiktirafan baru-baru ini, termasuk anugerah TRIP.BEST 2025 Global 100 Nightlife oleh Trip.com Group, Malaysia Book of Records bagi Highest Altitude Lantern Walkabout, serta ‘Anugerah Khas Datuk Bandar Kuala Lumpur 2025’ bagi Pencahayaan Bangunan Ikonik.
Menjelang masa hadapan, Menara Kuala Lumpur bakal memperkenalkan pakej-pakej sempena ulang tahun, promosi bersepadu, dan kerjasama strategik sepanjang tahun 2026 untuk memperkukuh daya tarikan pasaran dan tawaran kepada pelawat.
Dengan visi yang jelas, strategi berstruktur, dan penyelarasan teguh bersama pihak berkepentingan, Menara Kuala Lumpur terus berdiri bukan sekadar simbol di kaki langit, tetapi sebagai pemacu utama ekonomi pelancongan, budaya, dan pengalaman Malaysia.
Untuk maklumat terkini, ikuti Menara Kuala Lumpur di platform rasmi:
* Laman Web: www.kltower.com
* Instagram: @kltowermalaysia
* Facebook: Kuala Lumpur Tower
* TikTok: @kualalumpurtower
