BERCELONA, 4 NOVEMBER 2025 – Pengurusan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. barubaru ini telah mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat Keeway Group di Eropah, yang terletak di Barcelona, Sepanyol. Lawatan ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha Mforce untuk memperkukuh hubungan strategik serta meneroka peluang kerjasama masa hadapan bersama rakan kongsi globalnya, Keeway Group.
Keeway Group merupakan salah satu pengeluar motosikal terkemuka dunia dengan beberapa cawangan utama di benua Eropah. Ibu pejabatnya di Barcelona berperanan sebagai pusat penyelidikan, pembangunan dan pemasaran untuk pasaran antarabangsa, serta menjadi tunjang utama dalam inovasi dan reka bentuk model-model motosikal baharu.
Sepanjang lawatan tersebut, delegasi Mforce yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi, Encik Asri Ahmad, bersama beberapa ahli pengurusan kanan, telah diberi taklimat menyeluruh serta dibawa melawat beberapa fasiliti utama termasuk pusat reka bentuk, makmal pembangunan produk dan jabatan kawalan kualiti.
Kedua-dua pihak turut mengadakan sesi perbincangan strategik yang memfokuskan kepada pembangunan model baharu, kerjasama teknologi dan perancangan pengedaran serantau khususnya bagi pasaran Asia Tenggara.
Selain itu, lawatan ini juga bertujuan untuk mempelajari serta mendapatkan nasihat daripada pihak Keeway Group berkenaan peningkatan kualiti perkhidmatan selepas jualan (after-sales service) yang dilaksanakan di Eropah. Mforce berhasrat untuk menyesuaikan dan melaksanakan amalan terbaik tersebut di Malaysia bagi meningkatkan tahap kepuasan pelanggan serta memperkukuh kepercayaan pengguna terhadap jenama-jenama di bawah naungan Mforce.
Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan jangka panjang antara Mforce dan Keeway Group, malah membuka ruang kepada perkongsian teknologi, inovasi serta peningkatan kejuruteraan produk. Melalui kerjasama ini, Mforce berhasrat untuk terus menawarkan motosikal berkualiti tinggi dan berprestasi kepada pengguna di Malaysia serta rantau ini.
“Lawatan ini mencerminkan komitmen Mforce untuk terus memperkukuh hubungan strategik antarabangsa serta meningkatkan tahap inovasi dalam industri motosikal tempatan. Kerjasama rapat dengan Keeway Group membolehkan kami membawa teknologi dan rekaan bertaraf dunia kepada pelanggan kami,” ujar encik Asri Ahmad.
Encik Asri Ahmad turut menambah bahawa lawatan ini merupakan permulaan kepada fasa baharu dalam perancangan dan pengembangan global Mforce. Menurut beliau, sebelum ini Mforce telah pun memulakan beberapa perancangan strategik untuk memiliki pegangan ke atas sebuah jenama motosikal terkenal dari Eropah, sebagai sebahagian daripada visi jangka panjang syarikat untuk memperkukuh kedudukan dalam industri motosikal antarabangsa.
“Ini adalah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar. Sebelum ini, Mforce sedang membuat perancangan untuk memiliki pegangan ke atas sebuah jenama motosikal terkenal dari Eropah. Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang kami untuk memperluas kehadiran di pasaran global dan membawa kepakaran Eropah ke dalam pembangunan produk Mforce,” jelas beliau.
Kerjasama ini turut mengukuhkan kedudukan Mforce sebagai wakil rasmi Keeway Group di rantau Asia Tenggara, sejajar dengan visi kedua-dua pihak untuk membentuk rangkaian industri motosikal global yang lebih dinamik, berinovasi dan berdaya saing.

