(SEMASA) Mforce Terus Melangkah Ke Hadapan: Pembangunan Mforce Premium Outlet dan Pengukuhan Pasaran Antarabangsa

Spread the love

Tahun 2025 menyaksikan satu lagi fasa penting dalam perjalanan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. apabila syarikat ini giat membangunkan Mforce Premium Outlet di seluruh Malaysia. Inisiatif ini bertujuan menaik taraf imej serta operasi kedai motosikal konvensional kepada sebuah pusat jualan dan perkhidmatan yang lebih profesional, efisien serta berdaya saing.

Pembangunan Mforce Premium Outlet bukan sahaja menampilkan ruang pameran eksklusif dan tersusun, malah turut menawarkan perkhidmatan selepas jualan berkualiti tinggi serta bekalan alat ganti tulen pada harga berpatutan. Langkah ini sejajar dengan komitmen Mforce untuk memberikan pengalaman pemilikan motosikal yang terbaik kepada pelanggan di seluruh negara.

Menurut Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings, Encik Asri Ahmad, pembangunan rangkaian outlet ini akan terus diperluas dengan kerjasama erat para pengedar Mforce di seluruh Malaysia. Pada masa ini, beberapa Mforce Premium Outlet sedang giat dibina termasuk di seluruh negara, yang dijangka menjadi antara lokasi tumpuan utama pelanggan.

Dalam perkembangan lain, Mforce turut mengorak langkah ke pasaran antarabangsa dengan perasmian “Mforce Vietnam” yang dijadualkan berlangsung bulan hadapan. Syarikat kini turut memberi tumpuan kepada penubuhan “Mforce China”, yang dijangka mula beroperasi seawal tahun 2026.

Mforce China bakal memainkan peranan utama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) model-model baharu, dengan fokus terhadap peningkatan kualiti produk serta kecekapan penghantaran motosikal dalam bentuk CKD ke beberapa negara seperti Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

Selain itu, Mforce turut berkongsi satu perkembangan menarik buat rakan-rakan media dan peminat industri automotif tempatan. Syarikat kini dalam proses rundingan terperinci bagi pengambilalihan penuh sebuah jenama motosikal terkenal dari Eropah. Proses pemilikan ini dijangka diumumkan secara rasmi selepas semua urusan selesai.

Langkah ini membuktikan komitmen tinggi Mforce dalam memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju industri motosikal tempatan dan antarabangsa.

“Bagi kami, tiada yang mustahil. Dari sebuah syarikat kecil, Mforce kini sedang melangkah ke peringkat antarabangsa. Inilah bukti bahawa dengan visi jelas dan komitmen berterusan, kita mampu membawa industri motosikal tempatan ke tahap yang lebih tinggi,” ujar beliau.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *