(SEMASA) MODA MOTORCYCLES MEMPERKENALKAN SPORTER-S: SUPER SKUTER 250CC YANG BERGAYA

Spread the love

Kuala Lumpur, 3 Januari 2025 – Mdua Motor Sdn. Bhd., anak syarikat kepada AFY Mobility Industries (AMI) hari ini telah melancarkan sebuah jenama motosikal tempatan baharu MODA, yang fokus dalam memasarkan produk skuter ke seluruh pasaran Malaysia. Turut dilancarkan bersama pada majlis hari ini ialah MODA Sporter-S yang dikuasakan dengan enjin 250cc.

Pengenalan model skuter oleh MODA ini adalah sejajar dengan perkembangan pesat segmen skuter di Malaysia. Tidak dinafikan, skuter kini kian menjadi pilihan utama atas faktor kepelbagaian fungsi, kos yang berpatutan, dan praktikaliti di kawasan bandar. Di negara seperti Indonesia, Thailand, dan Vietnam, skuter telah pun mendominasi pasaran dengan menguasai lebih daripada 70% jumlah jualan motosikal secara keseluruhan.

Di Malaysia pula, jualan serta pasaran skuter kini turut meningkat tatkala ianya dipacu oleh kesedaran terhadap keperluan pada kenderaan yang menjimatkan bahan api serta lebih mesra alam. Pasaran skuter ini secara langsung dijangka menjana pendapatan keseluruhan AS$0.51 bilion pada tahun 2024 dan berkembang pada kadar CAGR 3.98% hingga mencapai AS$0.62 bilion menjelang tahun 2029.

MODA: Skuter Jenama Malaysia
MODA merupakan sebuah jenama Malaysia yang komited dalam memenuhi keperluan pengguna tempatan dan serantau dengan menawarkan skuter yang inovatif, bergaya, dan berprestasi tinggi.

Dengan kepakaran Penyelidikan & Pembangunan (R&D) yang dimiliki Kumpulan AMI di utara Malaysia, MODA mampu menghasilkan skuter yang sesuai untuk keadaan jalan raya dan memenuhi keperluan serta keutamaan penunggang di Malaysia. Kesemua skuter MODA dipasang secara tempatan (CKD) di kilang berpusat AMI yang terletak di Glenmarie, Shah Alam, Selangor.

MODA juga merancang memperkenalkan model-model baharu yang lebih dinamik untuk melengkapi segmen pasaran skuter sedia ada termasuk skuter berenjin petrol dan EV (Kenderaan Elektrik), selaras dengan keperluan mobiliti masa depan.

MODA Sporter-S: Gabungan Gaya dan Prestasi

Pengenalan MODA Sporter-S telah secara tidak langsung membuka ruang kepada segmen baru dengan reka bentuk berinspirasikan motosikal sukan ‘sportsbike’ yang mengetengahkan rekabentuk yang lebih aerodinamik dan berani. Umum mengetahui, ketika ini kebanyakan skuter di pasaran Malaysia kebanyakannya mengetengahkan Reka bentuk sporty dan unik seperti ini pastinya bakal menarik minat penggemar sukan bermotor di Malaysia.

Sporter-S juga dilengkapi dengan ciri keselamatan canggih dengan ciri-ciri sebuah sportsbike. Antaranya ialah cakera brek berkembar di bahagian hadapan yang dikombinasikan bersama sistem ABS dua saluran (depan dan belakang) yang dilengkapi brek kaliper 4-injap untuk daya brek yang lebih jitu. Teknologi kawalan Traction Control System (TCS) pada Sporter-S juga turut memastikan kestabilan semasa membelok di permukaan mencabar.

Selain itu, skuter ini turut memiliki tangki isian petrol dengan kapasiti 13 liter yang mapan untuk perjalanan kembara yang jauh. Selain itu, ruang simpanan di bawah pelana tempat duduk dapat memuatkan dua topi keledar bersaiz penuh, memberikan kemudahan tambahan kepada penunggang harian. Menariknya, ia juga dilengkapi beberapa ciri menarik seperti lampu hadapan ultra-terang LED Matriks, kekunci pintar, hubungan nirwayar antara peranti telefon dan skrin besar berwarna TFT bersaiz 6.2 inci yang menyokong panggilan serta navigasi penuh semasa tunggangan.

Secara keseluruhan, dengan penawaran sebuah skuter 250cc yang dijanakan dengan kuasa 24.8hp, ia sudah cukup untuk dikategorikan sebagai antara skuter terbaik dan berkuasa di dalam kelasnya.

Mobiliti Masa Depan

Menurut Micheal Yeoh, Penolong Pengurus Besar Mdua Motor Sdn. Bhd., MODA Sporter-S telah direka serta dibangunkan dengan berpegang kepada asas ‘By Bikers, For Bikers’ (Dari Penunggang, Untuk Penunggang). Beliau turut menambah, Sporter-S akan menjadi pilihan ideal bagi penunggang di Malaysia dengan tawaran reka bentuk sporty, aerodinamik, dan dilengkapi ciri seperti sistem brek ABS serta enjin berspesifikasi Euro-4 yang cekap bahan api,

Ditawarkan dalam dua warna menarik, Sporty Red dan Meteor Grey, Sporter-S kini boleh didapati di pengedar sah MODA seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, lawati laman web rasmi di www.modamotorcycles.com

Spesifikasi MODA Sporter-S

Ciri Spesifikasi
Enjin 4-Injap, 1-Silinder, SOHC
Sistem Bahan Api Suntikan Elektronik (BOSCH EFI)
Pengurusan Enjin Elektronik (BOSCH)
Penghidup Elektrik
Pencucuhan Transistor Penuh
Transmisi CVT
Pensijilan Euro 4
Kapasiti Enjin 244cc
Kuasa Maksimum 24.8 Hp @ 8500 rpm
Tork Maksimum 22.5 Nm @ 6500 rpm
Sistem Penyejukan Cecair (Radiator Panasonic)
Brek Hadapan ABS 260mm Cakera Terapung Berganda
Brek Belakang ABS 240mm Cakera Tunggal
Suspensi Hadapan Fork Balikan
Suspensi Belakang Penyerap Hentakan Boleh Laras
Sistem Kunci Kunci Pintar (Nirwayar)
Jarak Roda 1538 mm
Jarak Tanah Minimum 165 mm
Berat 186 Kg
Kapasiti Tangki 13 Liter


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *