(SEMASA) MY TOKEN 2024 – MENCETUS REVOLUSI DI PERHIMPUNAN PELOPOR INOVASI

Spread the love

KUALA LUMPUR, 20 SEPTEMBER 2024 — MY Token telah mencapai kejayaan besar dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah hab teknologi global baru-baru ini dengan penganjuran acara blok rantai dan Web3 yang pertama sepertinya di Asia. Acara luar biasa ini telah diadakan di KL Base pada 14 dan 15 September, menghimpunkan tokoh-tokoh ternama dalam industri blok rantai dan membawakan gabungan dinamik antara teknologi, pendidikan dan hiburan.

MyToken, yang mendapat pengiktirafan daripada Tourism Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), memaparkan peranan semakin penting yang dimainkan oleh negara ini dalam ekosistem blok rantai. Majlis pembukaan dihadiri oleh Nor Maizatul Azta bt Sanip, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia; Dr Shahril Baharim, Setiausaha Bahagian Akaun, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dan Zuraini Ahmad, Pegawai Parlimen Dewan Negara.  Acara dua hari ini yang penuh dengan program menarik dijayakan dua hari sebelum Hari Malaysia.

Diangkat sebagai acara blok rantai terulung di rantau ini, MY Token bertujuan menggiatkan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia, dan menarik usahawan, pencipta, pelabur dan peminat teknologi dari serata dunia. Dengan matlamat mengetengahkan potensi blok rantai Malaysia, MY Token bertindak sebagai platform unik yang merapatkan jurang industri tradisional dengan ekonomi digital yang sedang pantas berkembang.

“MY Token bukan sahaja satu forum bual bicara tanpa sebarang aktiviti bermakna. Pada hakikatnya, acara ini diasaskan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pelancongan di Malaysia dengan menarik penyertaan jenama-jenama Web3 yang utama, untuk membuka laluan bagi bakat-bakat Web2 beralih ke dunia Web3,” kata Sangeet Singh, pengasas bersama MY Token dalam ucapan alu-aluannya.

“Pendek kata, MY Token menjadi wadah untuk membolehkan nama-nama besar berhimpun dan berbincang untuk mencorakkan masa depan teknologi. Misi kami ialah untuk mempercepatkan penggunaan blok rantai di seluruh rantau, sambil menjadikan Malaysia peserta penting dalam transformasi digital yang sedang berlaku di peringkat global.”

Pengalaman menarik bersama perintis global dan gergasi industri di bawah satu bumbung.

Salah satu ciri kelebihan acara ialah daya tarikan globalnya, dengan kehadiran tokoh-tokoh tersohor dalam arena blok rantai termasuk: Yat Siu, Pengerusi dan Pengasas Bersama Animoca Brands; Mohamed Ezeldin, Majlis Khas ApeCoin DAO dan Ketua Tokenomics di @animocabrands; Spencer Soloway, Naib Presiden Pertumbuhan Ekosistem di Horizen Labs; dan Medeira, Pengasas Bersama Matr1x Gaming.

“Kami teruja kerana berpeluang menyertai MY Token 2024, persidangan Web3 pertama yang mendapat sokongan kerajaan di Malaysia — yang  kaya dengan warisan kebudayaan tetapi berpandangan jauh dan sanggup menerima inovasi,” ujar Mohamed Ezeldin Majlis Khas DAO ApeCoin dan Ketua Tokenomics di @animocabrands. “Memang wajar ApeCoin memainkan peranan utama dalam acara bersejarah ini, yang menandakan detik penting dalam perkembangan blok rantai Malaysia. Blok rantai mencerminkan evolusi dalam cara kita berhubung, bertukar nilai dan menerima ganjaran — yang meluaskan sempadan, sambil memperkasakan ekonomi seperti Malaysia untuk berkembang lebih pesat. Kerjasama dengan kerajaan penting bagi mencapai pertumbuhan dan MY Token sedang membina asas bagi mewujudkan ekosistem blok rantai yang berkembang maju di Malaysia dan rantau ini.”

“MY Token menawarkan sesuatu yang benar-benar unik — perjumpaan antara pemikir, pembina, dan pencipta yang belum pernah dilihat di rantau ini. Di sinilah masa depan terbentuk menerusi kerjasama dan wawasan yang dikongsi bersama. Di Horizen Labs, kami memang yakin terhadap kuasa kerjasama untuk memanfaatkan potensi penuh blok rantai. Acara seperti MY Token menghimpunkan pencipta, pemaju, pelabur dan penggubal dasar untuk mempelopori kemajuan masa depan,” kata Spencer Soloway, Naib Presiden Pertumbuhan Ekosistem di Horizen Labs.

MY Token juga telah melantik Duta-duta Web3 dari seluruh Asia, termasuk tokoh-tokoh dalam senarai  Forbes 30 Under 30 seperti Evan Luthra dan Renz Chong, menambah prestij global acara ini. Para pempengaruh terkenal tersebut telah berkongsi ilmu tentang masa depan blok rantai di Asia dan selanjutnya.

Duta AI pertama MY Token, Miss Aisha, telah diumumkan di majlis pembukaan, menandakan satu mercu jaya penting bagi peranan Malaysia dalam inovasi dan pembangunan bakat AI. Berkat sokongan kerajaan dan tumpuan membangunkan bakat tempatan, AI bakal memacu perubahan transformasi dalam sektor-sektor penting seperti alam sekitar, penjagaan kesihatan dan automasi perindustrian, sekali gus mengukuhkan masa depan Malaysia dalam arena AI global.

Salah satu sorotan penting acara ini ialah sesi Lightning Pitch (Pembentangan Kilat), di mana syarikat-syarikat pemula membentangkan idea inovatif masing-masing kepada panel modal teroka dan wakil-wakil Kerajaan. Sesi-sesi ini memberikan platform berharga yang berpotensi menjalin kerjasama dan mencetus pelaburan masa depan, dengan mengetengahkan pelbagai idea yang mampu memacu pertumbuhan dalam sektor blok rantai.

Program dua hari ini yang disokong oleh Zues Event Sdn Bhd, menawarkan pengalaman serba menarik kepada pengunjung, dipenuhi aktiviti interaktif. Salah satu aktiviti utama ialah Play to Earn (Main Untuk Ganjaran) yang membolehkan pengunjung mencari ‘harta’ untuk mendapat ganjaran seperti peluang menaiki belon udara panas dan hadiah-hadiah bernilai sehingga RM500,000. MY Token juga menyediakan zon permainan khas, bengkel cuba sendiri dan perbincangan panel menarik. Hadirin juga berpeluang meneroka teknologi dan trend blok rantai terkini, daripada DeFi (Kewangan Terpencar) dan DePin (Rangkaian Infrastruktur Fizikal Terpencar) kepada projek penyelesaian blok rantai dan NFT (token tidak sepiawai), dengan penglibatan daripada syarikat dan komuniti terkenal seperti Matr1x, Mocaverse, BuzzUp, PuffPaw, Real Protocol, Celuvplay, Vsing dan banyak lagi.

Sejajar dengan komitmennya untuk memupuk pembangunan pencetus inovasi digital masa depan, MY Token telah membenarkan pelajar universiti dan kolej untuk masuk percuma. Antara 600 pelajar yang hadir termasuk penuntut dari sembilan universiti. Inisiatif ini bertujuan memperkasakan generasi akan datang dan melengkapkan mereka dengan kemahiran dan ilmu asas dalam teknologi blok rantai dan Web3, mempersiapkan mereka untuk membentuk masa depan industri.

Bagi menceriakan lagi acara dengan sentuhan budaya unik, MY Token telah menganjurkan sebuah pesta muzik di bawah sub-IP To The Moon, yang dirancang untuk menarik pengunjung global dengan sokongan daripada organisasi-organisasi tempatan. Pesta ini telah mengetengahkan bakat ramai DJ tempatan, yang menggabungkan teknologi dan hiburan untuk mencipta suasana yang sungguh bertenaga. Peserta dan pengunjung telah menikmati persembahan hebat, makanan Asia lazat, dan pertunjukan bunga api mengagumkan, menjadikan acara ini satu kenangan manis buat semua.

Merintis jalan di Malaysia, Asia, dan selanjutnya

Hakikatnya, MY Token membayangkan bagaimana teknologi boleh menyatukan insan, mempelopori inovasi dan membuka peluang baharu bagi pertumbuhan rentas sempadan.

Untuk veteran industri dan juga peserta baharu yang berminat, MY Token 2024 menawarkan peluang yang tidak dapat dilepaskan untuk meneroka masa depan blok rantai.

Berasaskan maklum balas positif yang diterima dan minat yang ditunjukkan terhadap projek-projek Blockchain dan Web3 global, pasukan MY Token teruja untuk mengumumkan rancangan bagi menganjurkan acara menarik yang seterusnya. Dengan menetapkan sasaran Jun 2025, MY Token berjanji membawakan lebih banyak inovasi terkini, pengalaman interaktif dan pelbagai peluang bagi komuniti blok rantai global. Nantikan perkembangan terkini pada bulan-bulan akan datang di www.mytokenasia.com.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *