KUALA LUMPUR, 30 SEPTEMBER 2025 – Bersempena dengan Mforce Mid-Autumn Gala yang berlangsung di Courtyard oleh Marriott Kuala Lumpur South, SYM Malaysia dengan bangganya memperkenalkan SYM VFE 185i, sebuah motosikal segmen kapcai berkapasiti tinggi yang menggabungkan prestasi bertenaga dengan teknologi moden.
Ditawarkan pada harga RM9,988.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), model ini hadir dalam tiga pilihan warna menarik iaitu White, Green serta Blue dan kini boleh didapati di semua pengedar sah Mforce seluruh Malaysia.
SYM VFE 185i dikuasakan oleh enjin 183cc, silinder tunggal, 4-lejang, SOHC yang berupaya menghasilkan kuasa maksimum 14.7kW pada 9,000rpm serta tork maksimum 17.46Nm pada 7,500rpm. Dengan saiz piston dan lejang 63.5mm x 57.8mm serta nisbah mampatan 11.1:1, enjin ini dipadankan dengan sistem suntikan bahan api EFI, sistem pencucuhan transistor penuh dan sistem penghidupan elektrik untuk memastikan tindak balas enjin yang pantas serta penjimatan bahan api yang baik.
Model ini menggunakan transmisi 6-kelajuan dengan pacuan akhir rantai, digabungkan dengan klac jenis basah berbilang cakera serta sistem pendikit mekanikal. Sistem penyejukan air memastikan prestasi enjin sentiasa berada dalam keadaan optimum, manakala sistem pelinciran jenis peredaran paksa dan percikan meningkatkan lagi ketahanan enjin.
Dari segi dimensi, SYM VFE 185i berukuran 2,000mm panjang, 740mm lebar dan 1,150mm tinggi dengan jarak roda 1,305mm serta kelegaan tanah 135mm. Ketinggian tempat duduk ialah 800mm, manakala berat keseluruhan hanyalah 135kg, menjadikannya mudah dikawal oleh pelbagai jenis penunggang. Kapasiti tangki bahan api adalah 7 liter.
Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan (80mm travel) dan monoshock di belakang (32mm travel), menawarkan kestabilan serta keselesaan di pelbagai keadaan jalan. Kuasa membrek pula hadir melalui cakera 250mm dengan ABS di bahagian hadapan dan cakera 200mm dengan ABS di bahagian belakang, disokong oleh sistem ABS dwi saluran untuk keselamatan maksimum.
Untuk tayar, model ini menggunakan 90/80-17 (tanpa tiub) di hadapan dan 120/80-17 (tanpa tiub) di belakang seterusnya memberikan cengkaman yang kukuh.
SYM VFE 185i turut menampilkan pelbagai ciri moden seperti lampu hadapan, belakang, isyarat serta lampu kecemasan LED, meter digital berwarna LED, sistem kunci pintar, port pengecas USB Type-A QC 3.0, serta pencahayaan tambahan seperti lampu nombor plat. Kuasa elektronik motosikal ini disokong oleh bateri 12V6A.
Dengan setiap pembelian mana-mana model SYM VFE 185i, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.
