TRAGEDI demi tragedi yang berlaku di Semenanjung Gaza, Palestin sememangnya menyentak hati kebanyakan rakyat negara ini, yang sedari dulu begitu prihatin terhadap nasib rakyat negara itu diperlakukan dengan kejam oleh tentera Israel sejak sekian lama.
Ternyata, kejadian terbaru yang berlaku kurang dari sebulan dan meragut banyak nyawa tidak berdosa itu mendapat perhatian ramai pihak, termasuk golongan artis dan agensi korporat tempatan yang bersama-sama berganding bahu mengumpul dana untuk disalurkan kepada mangsa.
Artis syarikat rakaman Universal Music Malaysia dan Rumpun Records juga tidak ketinggalan menghulur tangan, bekerjasama dengan golongan peniaga di pusat perniagaan Kompleks PKNS, Shah Alam, bagi menyalur bantuan menerusi syarikat Aqsa Syarif Berhad yang tanpa henti memberi bantuan kemanusiaan di sana.
Pakatan ini turut disertai badan bukan kerajaan (NGO) Raudhatus Sakinah dan portal hiburan Gila Muzik yang boleh dilayari menerusi laman sesawang www.gilamuzik.com.
Antara artis popular yang terlibat termasuk band pimpinan Andy Flop Poppy iaitu The Malayan, 6ixth Sense, GX4 dan Pretty Ugly, selain pendatang baru seperti Wanna Ali, S.O.G, Harris Alif, Jes Ebrahim Khadijah Cooke dan Skala Richter.
Antara aktiviti yang dijalankan bagi mengumpul dana itu termasuk jualan kemeja T dan poster, sesi ramah mesra dan bergambar dengan artis berkenaan dan persembahan istimewa bagi menarik minat orang ramai member sumbangan.
Tabung derma juga akan mula diedar di seluruh kawasan pusat komersial Kompleks PKNS, malah artis terbabit turut mengadakan sesi kutipan bersama tabung khas yang bakal disediakan pihak penganjur demi mendapat jumlah semaksimum mungkin.
Sesuai dengan moto Aqsa Syarif ‘Memperkasa Ummah Membebaskan Al- Aqsa’, pelancaran Tabung Kemanusiaan Gaza Disember 2012 ini dianggap sebagai salah satu program komuniti yang wajar disertai dan disokong semua pihak.
Kepada pihak yang mungkin berminat untuk menyertai usaha ini bolehlah menghubungi En. Kamal Kasim menerusi talian 012 – 315 3988 atau e-mel hjkamalkasim@gmail.com untuk maklumat lanjut.