(SEMASA) PENANTIAN BERAKHIR: SYM ADXTG 400 BAKAL MENELUSURI JALAN RAYA

Spread the love

KUALA LUMPUR, 16 MEI 2025 – SYM Malaysia menambahkan kemeriahan di Courtyard Kuala Lumpur dengan melancarkan SYM ADXTG 400, skuter ‘adventure’ terbaharu yang dicipta khas untuk penunggang yang mendambakan kuasa, pengembaraan dan keselesaan dalam sebuah jentera. Bermula harga RM29,888.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans), SYM ADXTG 400 hadir dalam tiga warna iaitu Dark Grey, White dan Grey serta boleh dimiliki menerusi pengedar sah Mforce seluruh Malaysia.

Dikuasakan oleh enjin silinder tunggal, 4-lejang, SOHC 399cc dengan sistem penyejukan cecair, SYM ADXTG 400 menawarkan kuasa maksimum 25.7kW pada 7,000 rpm dan tork 37.2Nm pada 5,500 rpm. Gabungan sistem suntikan bahan api elektronik jenis Closed Loop EFI, piston dan lejang 83mm x 73.8mm serta nisbah mampatan 10.5:1 menjadikan prestasinya responsif serta efisien dalam pelbagai situasi tunggangan.

Motosikal ini turut menggunakan transmisi automatik C.V.T. dengan klac automatik yang memudahkan tunggangan tanpa pertukaran gear secara manual. Sistem penghantaran kuasa terakhir dari enjin ke tayar belakang pula menggunakan rantai.

Kedudukan enjinnya yang berada di tengah juga meningkatkan kestabilan khususnya pada permukaan jalan tidak rata. Bagi meningkatkan aspek keselamatan, SYM ADXTG 400 turut mengandungi fungsi TCS dan ABS di bahagian depan dan belakang.

Selain itu, sistem pelinciran jenis ‘forced circulation’ dan ‘splash lubrication’ memastikan enjin sentiasa berada dalam keadaan optimum dengan pengedaran minyak yang konsisten.

Untuk pengendalian terbaik, SYM ADXTG 400 dilengkapi suspensi hadapan jenis fork teleskopik 140mm dan suspensi belakang monoshock 115m. Reka bentuk casis paip jenis underbone yang diperbuat daripada keluli memberikan ketahanan struktur dan kestabilan semasa membelok mahupun di lebuh raya.

SYM ADXTG 400 didatangkan dengan pelbagai teknologi canggih, termasuk pelindung angin boleh laras untuk keselesaan optimum. Ia turut dilengkapi sistem kunci pintar dengan reka bentuk moden dan praktikal. Tambahan lagi, dua unit handguard disediakan bagi melindungi tangan daripada ranting kecil dan batu ketika tunggangan.

Dari segi dimensi, model ini berukuran 2,166mm panjang, 920mm lebar dan 1,460mm tinggi, dengan jarak roda 1,535mm dan jarak kelegaan tanah 160mm. Ketinggian tempat duduk adalah 790mm, menjadikannya selesa untuk kebanyakan penunggang. Berat basah motosikal ini ialah 213kg, manakala kapasiti tangki bahan apinya ialah 13 liter, sesuai untuk perjalanan jarak jauh tanpa henti kerap.

Sistem brek cakera tunggal hadir di kedua-dua roda, dengan cakera berdiameter 275mm di hadapan dan 233mm di belakang, memberikan kuasa membrek yang cemerlang dan stabil. Digandingkan dengan tayar tanpa tiub bersaiz 120/70-15 di hadapan dan 150/70-14 di belakang, SYM ADXTG 400 memberikan cengkaman terbaik di pelbagai jenis permukaan jalan.

Bagi pencahayaan, model ini lengkap dengan lampu hadapan, lampu isyarat, lampu brek dan belakang LED yang memastikan tahap keterlihatan maksimum, siang atau malam. Prestasi pencahayaan yang terang turut menyumbang kepada keselamatan penunggang.

SYM ADXTG 400 turut mempunyai panel meter LCD yang memaparkan instrumeninstrumen penting dengan jelas, manakala skuter ini turut dipasang sistem pencucuhan transistor penuh memastikan enjin dapat dihidupkan dengan lancar dan pantas beserta bateri berkapasiti 12V 8.6Ah.

Reka bentuk ergonomik turut diserlahkan menerusi ruang penyimpanan bawah tempat duduk berkapasiti 32 liter, yang mampu menyimpan keperluan harian atau peralatan menunggang. Penunggang juga akan menikmati sudut membelok sehingga 41 darjah dan kebolehan mendaki sekitar 27 darjah.

Dari segi keselamatan dan gaya, SYM ADXTG 400 menyampaikan segala yang diperlukan oleh penunggang moden dari rekaan casis yang kukuh, suspensi yang stabil, hinggalah kepada sistem pencahayaan dan paparan moden. Model ini direka sebagai gabungan praktikaliti, kuasa dan penampilan premium yang sebenar.

Dengan setiap pembelian mana-mana model SYM ADXTG 400, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun dengan jarak perjalanan tanpa had dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *