Bangkok, 8 November 2023 – Datuk Seri Isham bin Ishak; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan bersama delegasi Kementerian Pertahanan telah hadir ke pameran Defense & Security 2023 yang membuka tirai baru-baru ini di Pusat Pameran IMPACT. Pameran pertahanan dan keselamatan serantau yang berlangsung sehingga 9 Nov ini merupakan platform yang memaparkan evolusi perkembangan teknologi pertahanan dan keselamatan oleh pelbagai syarikat pemain industri pertahanan dan keselamatan dari serata dunia. Dikesempatan ini, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan telah berpeluang melakukan lawatan dan mengunjungi reruai pameran dalam usaha Kementerian Pertahanan mempromosikan dan menarik minat lebih ramai pempamer untuk mendaftar serta terlibat bagi pameran Defence and Service (DSA) dan National Security Asia (NATSEC ASIA) bagi tahun 2024 di bawah penganjuran pihak DSA Exhibition And Conference Sdn Bhd. Turut hadir bersama di pameran ini adalah Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Angkatan Tentera mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Pihak penganjur DSA Exhibition And Conference Sdn Bhd yang juga turut serta hadir ke pameran Defense & Security 2023 kali ini, berbesar hati untuk mengumumkan maklum balas positif daripada edisi 2022 yang lalu dimana sebanyak 90.4% peserta ingin menyertai semula pameran dan persidangan DSA & NATSEC Asia 2024 yang akan datang. Pada edisi yang lalu, seramai 380 delegasi VIP luar negara daripada 34 negara dan 35,567 pelawat perdagangan menghadiri pameran Pertahanan dan keselamatan terbesar di Asia bagi menyaksikan pameran teknologi, sistem, perkakasan dan peperangan elektronik paling maju di dunia. Pameran ini telah terbukti sebagai platfom bagi para pemain industri, pihak Kerajaan, dan agensi Pertahanan dan keselamatan dari pelbagai negara untuk berkumpul dan berdikusi bagi tujuan membina kesefahaman dan kolaborasi di antara semua pihak.
Persediaan bagi edisi DSA dan NATSEC Asia 2024 akan datang yang dijadualkan berlangsung pada 6 hingga 9 Mei 2024 telah pun bermula. Disokong dengan kejayaan DSA dan NATSEC Asia 2022 yang lalu, pihak penganjur telah bersedia memberikan penganjuran yang terbaik untuk edisi yang akan datang.
Membina Ketahanan Negara untuk Generasi Masa Hadapan
Pertumbuhan mampan memerlukan kestabilan, keamanan, keselamatan dan keharmonian. Hal ini adalah penting bagi sesebuah negara untuk membina daya tahan bagi memastikan kestabilan dan masa hadapan sesebuah negara. Pada edisi DSA dan NATSEC Asia 2024 yang akan datang, pameran dan persidangan ini akan mengetengahkan tema ‘Membina Ketahanan Negara untuk Generasi Masa Hadapan’ bagi membincangkan isu kritikal semasa dan mencadangkan formulasi terbaik yang dapat menjamin kestabilan bagi generasi masa hadapan.
“Semua negara beraspirasi untuk mencapai kestabilan dan kemajuan. Pertahanan dan keselamatan sesebuah negara perlu dilihat sebagai satu pelaburan. Hanya negara yang melabur secara strategik bagi sektor pertahanan dan keselamatan dalam negeri akan dapat menghasilkan Angkatan berkredibiliti yang dapat melindungi kedaulatan negara bagi memastikan rakyat dapat hidup dengan aman dan menikmati kemakmuran ekonomi,” ulas Nadzeem Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif DSA berkenaan objektif pemilihan tema edisi pameran akan datang pada majlis pelancaran Malaysia Pavilion di Defense & Security, Thailand.
Platform untuk Membina Ketahanan
Pada pembentangan bajet tahun 2024 baru baru ini, pihak Kerajaan Malaysia telah mengumumkan kenaikan peruntukan bagi Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri bagi menambahkan ketersediaan pertahanan dan keselamatan negara. Kementerian Pertahanan Malaysia akan menerima peruntukan sebanyak RM19.7 bilion bagi tahun 2024, dengan kenaikan sebanyak RM 2 bilion berbanding tahun 2023. Kementerian Dalam Negeri pula akan menerima peruntukan sebanyak RM19 bilion dengan pertambahan RM500 juta berbanding tahun 2023.
Pelan perolehan menyeluruh Kerajaan Malaysia merangkumi pelbagai jenis aset-aset penting bagi setiap agensi-agensi yang berkaitan. Antara perolehan aset yang dikenalpasti adalah 12 buah helikopter bagi Tentera Udara Diraja Malaysia, selain daripada penambahan aset bagi Tentera Darat Malaysia seperti 60 buah kenderaan tempur infantri, 50 buah Kenderaan Taktikal Ringan Mobiliti Tinggi (HMLTV), 6 buah ‘Hover Craft Integrated Fast Interceptor’ serta 733 kenderaan sokongan pelbagai jenis
termasuk 45 unit bot pelbagai jenis. Selain itu, Tentera Laut Diraja Malaysia akan meneruskan perolehan tiga buah Littoral Mission Ship (LMS) dan kerja-kerja memasang pulih dua aset kapal selam. Pihak Polis Diraja Malaysia pula akan menggantikan aset-aset lama dengan 7 buah pesawat kapal terbang twin engine dan 5 buah helikopter ringan.
Keselamatan sempadan dan perairan negara juga akan terus dipertahan di samping mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan kawalan di pintu-pintu masuk antarabangsa. Bagi tahun hadapan, kerajaan akan menambah aset-aset perairan antaranya perolehan 45 unit bot pelbagai jenis Tentera Darat serta 9 buah kapal ronda generasi baharu serta bot pemintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).1
Perhimpunan Industri Pertahanan dan Keselamatan Sedunia
Penganjur DSA & NATSEC Asia 2024, telah menerima penyertaan awal daripada pempamer seperti Roketsan Missiles Inc, CANiK (Samsun Yurt Savunma A.S), FNSS, Aselsan, East Gear International, SWAT Footwear (M) Sdn Bhd, International Securities Sdn Bhd (ISC) dan banyak lagi.
Pada edisi yang akan datang, penganjur juga telah menerima banyak pertambahan penyertaan daripada pempamer tempatan yang optimis untuk menambah saiz ruangan tapak pameran sebagai bukti keyakinan mereka terhadap platform yang efektif ini disamping pemain industi dunia.
Pada majlis perasmian Malaysia Pavilion di Defense & Security Thailand, Datuk Seri Isham Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Angkatan Tentera Malaysia telah menyaksikan penyampaian kontrak penyertaan daripada Ikramatic Systems Sdn Bhd, Mildef International Technologies, OpenApps Sdn Bhd, System Consultancy Services Sdn Bhd, Kemalak Group, Ketech Asia, dan Beijing Bunch Exhibition Services yang mewakili pavilion China. Lebih banyak syarikat dijangka untuk menandatangani kontrak penyertaan pada hujung tahun ini.
Anatara pavilion antarabangsa yang telah mengesahkan penyertaan pada pameran DSA & NATSEC Asia 2024 termasuklah Afrika Selatan, Austria, Amerika Syarikat, China, Czech Republic, German, Itali, Perancis, Republic of Korea, Singapura, Slovakia, Switzerland, Turki, dan United Kingdom.
Bagi sebarang pertanyaan berkenaan penyertaan, sila layari laman web www.dsaexhibition.com atau emel kepada enquiry@dsaexhibition.com.