Kuala Lumpur, 1 November 2022 – Kembali untuk tahun ketiga di Malaysia, Hot Wheels™ Legends Tour dengan kerjasama Art of Speed Malaysia berlangsung dengan lebih hebat! Jelajah Pertunjukan Kereta terbesar dunia itu dalam misi pencarian kenderaan rekaan khas terbaru yang layak ditransformasi kepada model kereta mainan (die-cast) skala 1:64 Hot Wheels®. Tahun ini, William Chong, seorang juruteknik trak treler dari Negeri Sembilan membanggakan negara apabila rekaan khas Proton beliau terpilih mewakili Malaysia di peringkat Separuh Akhir Global.
2022 menandakan tahun kelima penganjuran pertandingan global penuh mengujakan ini. Para peminat kereta rekaan khas Malaysia menyertai mereka dari Amerika Syarikat (AS), Kanada, Sepanyol, Brazil, Australia, New Zealand, Jepun dan penyertaan baru dari Indonesia dan Filipina bersaing untuk menjadikan kenderaan rekaan khas masing-masing terpilih sebagai model yang bakal dipasarkan di lebih 150 buah negara seluruh dunia.
Pusingan akhir Malaysia dengan kerjasama Art of Speed Malaysia diadili oleh barisan pereka Hot Wheels® yang terdiri daripada Pengarah Rekaan Kenderaan Die-Cast Hot Wheels®, Bryan Benedict dan ketua pereka kenderaan Hot Wheels® Monster Trucks dan Red Line Club, Brendon Vetuskey. Mereka disertai oleh juri jemputan: Tengku Djan, DEV JBC, dan Ahirine Ahirudin. Setiap penyertaan dinilai berdasarkan Ketulenan (Authenticity), paparan identiti Hot Wheels®; Kreativiti, keunikan yang tersendiri; dan Semangat Garaj (Garage Spirit), kemampuan menghidupkan semangat ‘buatan khas bukan dibeli’.
Pertandingan peringkat Malaysia mencatatkan 204 penyertaan, peningkatan 25% berbanding tahun lalu – refleksi memberangsangkan terhadap komuniti peminat kereta di negara ini. Tuah rekaan unik Proton Suprima S 2015 oleh William Chong yang melayakkan beliau mengungguli pertandingan tersebut.
“Satu perkara yang saya suka tentang acara Hot Wheels™ Legends antarabangsa ini adalah pendedahan kita terhadap kereta, budaya dan jenama yang jarang dilihat. Rekaan ini sangat unik dan cool. Dengan kit badan kenderaan (body kit), badan kereta rendah hampir mencecah lantai (slammed to ground stance), dan spoiler, ciri-ciri ini akan menjadikan ia sebuah kereta Hot Wheels® yang hebat. Identiti asli sepenuhnya Hot Wheels®” ulas Brendon Vetuskey berkenaan rekaan Chong.
Chong bakal bersaing dengan barisan model kereta terhebat merentasi benua. Kesemua 12 finalis terdiri daripada: Izat Emir Bin Embong (2018 Toyota Alphard), Abdul Hadi Nasrallah Bin Ahmad Ridzuan (1970 Datsun Laurel C130), Eiadywan Bin Sakroni (2015 Mitsubishi Triton), Toon Chin Yee (1979 Toyota Landcruiser HJ45), William Chong (2015 Proton Suprima S), Mohd Saifful Bin Mohd Razuan (2012 VW Scirocco), Mohamad Hezri Bin Abdul Gani (1989 Daihatsu), Muhammad Fakhrullah Bin Zulkifli (2002 Perodua Kancil Custom), Mohd Faiza Bin Arshad (2003 Proton Arena), Chan Soon Aun (2017 Mercedes CLA 250), Norman Ng (2014 Porsche Boxter 981), dan Darmah Raj (1997 Honda NSX). Sofyan Darmadi (1969 Vandetta VW Beetle) terpilih sebagai pilihan khas juri oleh Tengku Djan.
“Satu pengalaman menarik dapat menyaksikan budaya kereta unik di Malaysia. Terdapat jenama unik seperti Proton dan Perodua yang tiada di AS serta keunikan perubahan yang dipersembahkan menjadikan ia amat menarik. Kesemuanya direka unik dengan mengekalkan identity Malaysia dan saya amat tertarik dengan nilai tersebut. Saya dapat rasakan penyertaan rekaan di Malaysia banyak bermain dengan kreativiti dan kebebasan sekali gus mencerminkan semangat Hot Wheels® Legends,” kongsi Bryan Benedict berhubung rekaan-rekaan penyertaan Malaysia.
Sebagai pemenang Hot Wheels™ Legends Tour siri Malaysia, rekaan Proton Suprima S 2015 bakal bersaing di peringkat Separuh Akhir Global Hot Wheels® Legends secara virtual pada 11 November 2022. Chong akan bersaing dengan para pemenang lain dari seluruh dunia untuk merebut slot di Peringkat Akhir Global pada 13 November 2022.
Keterujaan tidak hanya terhenti di situ! Untuk kali pertama dalam sejarah Hot Wheels™ Legends Tour, jenama tersebut melancarkan program Pilihan Peminat Serantau (Regional Fan Favourite) untuk para pemenang rantau Asia Pasifik. Para peminat boleh mengundi rekaan kegemaran mereka menerusi saluran media sosial Hot Wheels® dan rekaan pemenang akan ditransformasi kepada model kereta permainan edisi terhad tersendiri (one-of-a-kind OOAK). Pemenang untuk program ini akan diumumkan pada Peringkat Akhir Global.
“Saya rasa bagai bermimpi apabila terpilih mewakili Malaysia ke peringkat Separuh Akhir Global Hot Wheels™ Legends Tour. Ia satu penghargaan! Saya mencurahkan idea dan tenaga sepenuhnya dalam rekaan ini dan mendengar penilaian juri yang ia unik dan cool membuatkan saya berasa terharu,” kongsi William Chong. “Saya berharap dapat membanggakan Malaysia!”
Sertai keseronokan di Separuh Akhir Global Virtual Hot Wheels™ Legends Tour 2022 dan sorakkan sokongan anda kepada William Chong dan rekaan Proton Suprima S 2015 beliau! Tonton Siaran Langsung (livestream) pada Jumaat, 11 November 2022, 9am untuk menjadi sebahagian daripada momen bersejarah ini!
Siaran langsung boleh ditonton menerusi www.facebook.com/hotwheels/.