KUALA LUMPUR, 16 Mac 2026 – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi bagi menjaga kebajikan pelajar, khususnya peminjam PTPTN.
Sejajar dengan komitmen tersebut, PTPTN melaksanakan Bantuan Lestari Siswa MADANI bagi menyalurkan bantuan sara hidup kepada pelajar yang kurang berkemampuan, sekali gus membantu meringankan beban kewangan pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Pada hari ini, penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada pelajar Politeknik Nilai dan Politeknik Port Dickson telah disempurnakan oleh Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN, sempena Majlis Iftar PTPTN Bersama Media. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Khalid, bersama barisan pengurusan PTPTN.
Melalui inisiatif ini, PTPTN telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM36,000 kepada 72 orang pelajar asnaf daripada kedua-dua institusi berkenaan. Setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara one-off yang dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing. Bantuan ini bertujuan membantu pelajar menangani cabaran kewangan serta memberikan sokongan tambahan sepanjang tempoh pengajian mereka di IPT.
Menurut Norliza Abdul Rahim, sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini, PTPTN turut melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyantuni masyarakat. Antaranya termasuk Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) di IPT, Program Jom Kejut Sahur, Program Raikan Syawal Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf serta Bantuan Lestari Siswa MADANI.
Beliau menegaskan bahawa sebagai sebuah agensi yang prihatin, PTPTN akan terus memperluas pelaksanaan program CSR khususnya yang memberi manfaat kepada pelajar dalam aspek pendidikan dan kebajikan.
Bersempena majlis ini, PTPTN turut meraikan pengamal media sebagai tanda penghargaan atas peranan penting mereka dalam menyampaikan maklumat berkaitan PTPTN kepada masyarakat.
Menurut beliau lagi, media memainkan peranan besar dalam membantu membetulkan persepsi masyarakat serta meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab membayar balik pinjaman PTPTN di samping mempromosikan peluang perancangan kewangan melalui produk simpanan pendidikan PTPTN.
Sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara, PTPTN terus komited memperkasakan amalan penabungan pendidikan melalui Simpan SSPN bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan dan memastikan pelajar tidak dibebani hutang selepas tamat pengajian.
Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat kepada pendeposit termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, jaminan kerajaan serta pematuhan syariah.
