(SEMASA) QJMOTOR ATX250 DAN ATX250X MEMASUKI PASARAN MALAYSIA, TAWAR DIMENSI BAHARU SKUTER 250 CC.

Spread the love

PULAU PINANG, 6 FEBRUARI 2026 – QJMOTOR Malaysia hari ini secara rasmi mengumumkan kehadiran dua model skuter terbaharunya, QJMOTOR ATX250 dan QJMOTOR ATX250X, ke pasaran Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran jenama tersebut dalam segmen skuter berprestasi tinggi dan serba guna. Kedua-dua model ini sebelum ini telah dilancarkan semasa TOP 68 Dealers’ Educational Tour Sales Campaign di China dan kini diperkenalkan secara rasmi ke pasaran tempatan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada penunggang di Malaysia.

Model-model ini direka bentuk khas untuk memenuhi keperluan penunggang moden yang mengutamakan keselesaan tunggangan, prestasi enjin yang responsif, teknologi canggih serta reka bentuk praktikal untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh. Pengenalan QJMOTOR ATX250 dan ATX250X mencerminkan komitmen berterusan QJMOTOR dalam menawarkan rangkaian produk yang lebih menyeluruh dan pelbagai, merangkumi motosikal dan skuter yang disesuaikan untuk pasaran Malaysia.

QJMOTOR ATX250

QJMOTOR ATX250 kini ditawarkan pada harga RM12,388.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) dan hadir dalam tiga pilihan warna premium iaitu Matt Grey, Shadow Black dan Satin Silver.

Dikuasakan oleh enjin 248.8 cc silinder tunggal, 4-injap dan penyejukan cecair, QJMOTOR ATX250 mampu menghasilkan 18.5 kW pada 8,000 rpm dan 24.0 N.m pada 6,500 rpm, menawarkan pecutan yang lancar serta responsif ketika melalui kesesakan bandar. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik pacuan tali sawat, memberikan tunggangan yang mudah tanpa pertukaran gear manual. Sistem EFI pula memastikan pembakaran lebih efisien, manakala tangki petrol 12.5 liter memberikan jarak perjalanan yang baik untuk kegunaan harian dan perjalanan lebih jauh.

Keselesaan dan kawalan ditingkatkan melalui penggunaan fork teleskopik hadapan dan penyerap hentak gegelung minyak belakang, menghasilkan kestabilan yang konsisten di pelbagai permukaan jalan. QJMOTOR ATX250 turut dilengkapi brek cakera hadapan dan belakang, disokong oleh Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran yang membantu meningkatkan daya cengkaman serta mengurangkan risiko tayar mengunci ketika membrek kecemasan. Tayarnya bersaiz 110/80-14 di hadapan dan 130/70-13 di belakang, dipasang pada rim aluminium aloi ringan bagi memastikan pengendalian yang mantap dan cengkaman yang meyakinkan.

Dari segi dimensi, model ini berukuran 1,990 mm panjang, 770 mm lebar dan 1,160 mm tinggi, bersama jarak roda 1,360 mm bagi memberikan kestabilan optimum. Dengan ketinggian tempat duduk 780 mm, jarak kelegaan tanah 150 mm dan berat keseluruhan 164 kg, skuter ini direka untuk mudah dikendalikan dalam pelbagai situasi tunggangan.

Pakej teknologinya turut menjadi tarikan utama. Ia dilengkapi paparan meter digital TFT, sistem lampu LED sepenuhnya termasuk lampu hadapan, lampu belakang, lampu isyarat dan DRL, selain port pengecasan USB Type-A dan Type-C untuk kemudahan mengecas peranti. Ciri praktikal lain termasuk sistem tanpa kunci, bike finder, brek parkir, suis keselamatan tongkat sisi, ruang simpanan hadapan kiri dan kanan serta ruang simpanan bawah tempat duduk yang luas.

Dari sudut keselamatan, sistem kawalan cengkaman (TCS) boleh ditukar antara mod bagi menstabilkan motosikal di permukaan licin atau tidak rata. Model ini juga dilengkapi dashcam hadapan untuk rakaman perjalanan sebagai rujukan keselamatan dan bukti insiden jika diperlukan. Penghadang angin boleh laras meningkatkan perlindungan angin ketika kelajuan lebih tinggi, manakala sambungan Bluetooth dan integrasi aplikasi Carbit Ride membolehkan akses mudah kepada navigasi, notifikasi dan informasi tunggangan.

Salah satu ciri paling menonjol pada skuter ini ialah Advanced Water and Air Separation System (AWASS). Sistem ini dibina untuk melepaskan air secara automatik apabila parasnya mencapai tahap tertentu bagi melindungi enjin. Ia membantu mengekalkan aliran udara yang bersih ke sistem pengambilan, melindungi komponen elektrik daripada pendedahan lembapan serta meningkatkan kebolehpercayaan jangka panjang dengan mengurangkan risiko isu prestasi akibat kemasukan air atau habuk.

QJMOTOR ATX250 turut hadir dengan lampu sorot LED, bar pelindung (crash bar) serta pelbagai ciri keselamatan dan praktikal lain yang meningkatkan keselesaan dan keyakinan penunggang.

QJMOTOR ATX250X

QJMOTOR ATX250X ditawarkan pada harga RM13,988.00 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), menunjukkan peningkatan daripada harga ATX250 iaitu RM12,388, selaras dengan beberapa penaiktarafan ketara dari segi kelengkapan, reka bentuk dan keupayaan tunggangan. Model baharu ini turut hadir dengan barisan warna yang dipertingkatkan iaitu Shadow Black, Matt Grey dan Satin Silver, memberikan penampilan lebih premium dan moden.

Dari aspek prestasi, QJMOTOR ATX250X mengekalkan enjin 248.8 cc silinder tunggal, 4-injap dan penyejukan cecair, berupaya menghasilkan 18.5 kW pada 8,000 rpm dan 24.0 N.m pada 6,500 rpm, menawarkan kuasa dan tindak balas yang sesuai untuk tunggangan bandar dan perjalanan harian. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik pacuan tali sawat, sistem suntikan bahan api EFI serta tangki petrol 12.5 liter, memastikan penyampaian kuasa yang lancar, penggunaan bahan api efisien dan jarak perjalanan yang lebih jauh. Peningkatan pada sistem suspensi dan roda memberikan QJMOTOR ATX250X kelebihan dalam menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan jalan berbanding.

Salah satu penaiktarafan paling ketara ialah penggunaan fork teleskopik terbalik (USD), sistem ini meningkatkan kekuatan di bahagian hadapan, kestabilan ketika mengambil selekoh dan serapan hentakan yang lebih baik di permukaan tidak rata. Penggunaan rim jejari, dipadankan dengan tayar hadapan 110/80-14 dan tayar belakang 130/70-13, meningkatkan ketahanan, fleksibiliti dan keselesaan tunggangan, sekali gus memberikan adaptasi lebih baik untuk pelbagai jenis jalan.

Dari segi dimensi, QJMOTOR ATX250X mengekalkan ukuran 1,990 mm panjang, 770 mm lebar dan kini 1,180 mm tinggi, dengan ketinggian tempat duduk 780 mm, jarak roda 1,360 mm, kelegaan tanah 150 mm dan berat 164 kg. Ini memastikan ergonomik dan keselesaan tunggangan kekal serupa, namun dengan peningkatan penglihatan dan kedudukan tunggangan yang lebih tegap hasil perubahan pada komponen suspensi.

Sistem brek pula menggunakan cakera tunggal di hadapan dan belakang, disokong oleh ABS dwi-saluran, menawarkan kuasa hentian yang boleh dipercayai dalam pelbagai situasi tunggangan. Penyerap hentak belakang mengekalkan penggunaan sistem gegelung minyak teleskopik, memastikan keselesaan yang konsisten.

Dari aspek teknologi dan kemudahan, QJMOTOR ATX250X mengekalkan rangkaian ciri premium yang terdapat pada QJMOTOR ATX250, termasuk paparan meter TFT, lampu

LED sepenuhnya, port pengecasan USB Type-A dan Type-C, sistem tanpa kunci (keyless), Bluetooth, integrasi aplikasi Carbit Ride, suis keselamatan tongkat sisi, lampu kecemasan, dashcam hadapan, penghadang angin boleh laras, ruang simpanan bawah tempat duduk, ruang simpanan hadapan kiri dan kanan, serta Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) boleh laras. Ciri keselamatan tambahan seperti brek parkir, bike finder, crash bar, lampu sorot LED dan sistem AWASS (Advanced Water and Air Separation System) turut melengkapi pakej ini, menjadikannya lebih praktikal dan selamat untuk kegunaan seharian.

Satu kelebihan eksklusif pada scooter varian X ini ialah Travel Box yang meningkatkan kapasiti penyimpanan, sekali gus menambah kemudahan untuk perjalanan jarak jauh, tunggangan harian atau aktiviti touring. Digabungkan dengan rim jejari dan fork USD, QJMOTOR ATX250X menawarkan adaptabiliti lebih baik untuk jalan pelbagai keadaan serta fleksibiliti menyeluruh yang lebih tinggi.

Dengan peningkatan ketara pada sistem suspensi, konfigurasi roda, kapasiti simpanan dan pilihan warna baharu, QJMOTOR ATX250X muncul sebagai alternatif yang lebih lasak, lebih versatil dan lebih lengkap, sambil mengekalkan nilai yang sangat kompetitif dalam kelasnya.

PERBEZAAN UTAMA QJMOTOR ATX250 DAN QJMOTOR ATX250X

SPESIFIKASI ATX250 ATX250X
HARGA RM12,388.00 RM13,988.00
SISTEM SUSPENSI

HADAPAN

Fork Teleskopik Fork Teleskopik Jenis Terbalik
JENIS RIM / TAYAR Rim Aluminium Rim Jejari
KOTAK SIMPANAN Tersedia

WARANTI & KETERSEDIAAN

Setiap pembelian QJMOTOR ATX250 dan QJMOTOR ATX250X disertakan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun dengan perbatuan tanpa had, serta akses kepada alat ganti tulen secara dalam talian melalui platform perkhidmatan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. Kedua-dua model ini kini tersedia di pasaran Malaysia dan boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh negara.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *