PULAU PINANG, 20 JULAI 2025 – QJMOTOR membuat kejutan kepada para peminatnya di Malaysia dengan memperkenalkan sebuah model cruiser yang bakal menjadi cruiser dengan sistem pacuan AMT (Automatic Manual Transmission) pertama di Malaysia.
QJMOTOR SRV 250 AMT, direka khas untuk memenuhi citarasa para peminat motosikal cruiser dan tersedia dengan dua pilihan warna yang moden dan bergaya, iaitu Matt Black dan Silver.
Model ini dilancarkan bersempena dengan majlis perasmian Mforce Best Shop Chuan Keat Motor Trading Sdn. Bhd. di Alma, Bukit Mertajam.
QJMOTOR SRV 250 AMT merupakan pilihan ideal bagi penunggang yang mengutamakan gaya, prestasi dan kemudahan. Ia turut ditawarkan dengan harga bermula RM17,888.00 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).
Jentera ini bersesaran sebesar 249cc dan dikuasakan oleh enjin V berkembar dengan 2-injap serta SOHC, dipadankan pula dengan sistem penyejukan cecair dan EFI (Electronic Fuel
Injection) bagi memastikan pembakaran bahan api lebih efisien dan enjin berfungsi dengan terbaik. Dengan saiz piston dan lejang yang berukuran 58mm x 47.2mm, enjin ini mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 20.5kW pada 9,000rpm serta tork puncak 23Nm pada 8,000rpm, sangat sesuai untuk tunggangan jarak jauh yang lancar dan responsif.
Sistem pacuan akhir AMT yang menjadi salah satu keunikan model ini turut memberikan kawalan yang lancar tanpa memerlukan penukaran gear secara manual. Sistem klac automatik ini berfungsi bersama sistem klac basah berbilang plat, memberikan perlindungan dalaman enjin yang efisien dan boleh dipercayai.
Dari segi dimensinya, QJMOTOR SRV 250 AMT ini berukuran 2,110mm panjang x 850mm lebar x 1,100mm tinggi dengan jarak roda 1,400mm. Ketinggian tempat duduk adalah 700mm, sangat sesuai untuk pelbagai ketinggian penunggang manakala jarak kelegaan tanah ialah 160mm, menjadikannya sesuai untuk tunggangan harian. Berat motosikal sekitar 167kg dengan tangki bahan api berkapasiti 13.5 liter.
Sistem suspensi dikendalikan oleh fork teleskopik jenis terbalik (upside-down) di bahagian hadapan, dan sistem gegelung dengan redaman minyak di belakang, gabungan ini memberi keyakinan serta keselesaan kepada penunggang dan mengekalkan pengalaman tunggangan yang stabil dan menyeronokkan. Model ini menggunakan tayar hadapan bersaiz 120/80-16 dan tayar belakang 150/80-15, yang memberikan cengkaman kuat dan ketahanan tinggi.
Kedua-dua roda hadapan dan belakang dilengkapi dengan brek cakera, masing-masing bersaiz 280mm (hadapan) dan 240mm (belakang), dipadankan dengan sistem ABS dua saluran untuk prestasi membrek yang terkawal dalam situasi kecemasan.
Dari sudut teknologi dan kemudahan, SRV 250 AMT dilengkapi dengan paparan digital yang memberikan maklumat penting dengan jelas dan mudah dibaca. Untuk kemudahan tambahan, motosikal ini juga menyediakan port pengecasan USB untuk mengecas telefon atau peranti GPS semasa perjalanan.
Bagi tujuan keselamatan dan kawalan, motosikal ini hadir dengan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh dihidupkan atau dimatikan, membantu mencegah gelinciran tayar ketika melalui jalan yang basah atau licin sekaligus meningkatkan tahap keselamatan dan keyakinan penunggang.
Bagi teknologi lampu hadapan dan belakang, model ini disediakan dengan fungsi LED serta reka bentuk lampu yang klasik bersama sentuhan moden. Memandangkan tunggangan adalah jenis AMT, QJMOTOR SRV 250 AMT turut memberikan keselesaan kepada penunggang dengan memberikan tempat pemijak kaki yang lebar dan luas sama seperti kebiasaan skuter.
Dengan setiap pembelian mana-mana model QJMOTOR SRV 250 AMT, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun dengan jarak perbatuan tanpa had dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.

