(SEMASA) REVOLUSI MODEL NEO-RETRO DARI CFMOTO: 500SR VOOM KINI MENGGEGARKAN

Spread the love

SELANGOR, 20 OKTOBER 2024 – CFMOTO Malaysia sekali lagi menerjah pasaran tempatan dengan pelancaran model baru yang sangat unik dan mampu membuatkan sesiapa sahaja yang melihatnya terpegun. Dibina dengan rangka jenis tiub keluli, CFMOTO 500SR VOOM bukan hanya menggambarkan kekuatan, namun kualiti binaan badannya akan meningkatkan keyakinan penunggang lebih-lebih lagi semasa di jalan raya.

Model ini buat julung kalinya dilancarkan di CFMOTO Flagship Store oleh Kedai Motorsikal Tenaga Sdn. Bhd., Semenyih dan mendapat pelbagai reaksi positif dari pengunjung. Hadir dengan dua warna iaitu Zephyr Blue dan Nebula White, model ini boleh dimiliki bermula dari RM35,888 tidak termasuk cukai dan insurans. Motosikal jenis ‘Sport’ ini boleh didapati di pengedar-pengedar sah CFMOTO Malaysia.

CFMOTO 500SR VOOM tampil dengan keunikannya tersendiri, dilengkapi dengan ‘Steering Damper’ yang memberikan kestabilan optimum terutamanya semasa menunggang pada kelajuan tinggi, mengurangkan gegaran serta meningkatkan kawalan penunggang. Dengan reka bentuk neo-retro digabungkan gaya lampu LED minimalis yang terang, motosikal ini pastinya mempamerkan sentuhan moden dan klasik dalam satu pakej dengan jaminan keselesaan yang terbaik.

Selain itu, ekzos di kiri dan kanan menambahkan lagi aura keberanian serta meningkatkan prestasi bunyi deruman setanding motosikal perlumbaan, sementara kapasiti tangki minyak 15.5L memudahkan para penunggang dengan mengurangkan kekerapan mengisi minyak walaupun destinasi yang ditujui sangat jauh.

Melihat pada binaan enjinnya dengan sesaran 499cc, kuasa maksimum CFMOTO 500SR VOOM mampu mencecah sehingga 58kw/12,500rpm beserta nilai tork mencapai 49Nm/10,000rpm. Saiz piston dan lejangnya memiliki ukuran 63mm × 40.1mm dengan kadar nisbah mampatan setinggi 12.0.

Enjin yang dipasang pada model ini pula adalah jenis 4-silinder sebaris dengan sistem penyejukan cecair yang menawarkan prestasi terbaik, kawalan suhu lebih optimum, meminimumkan getaran serta jangka hayat enjin lebih lama. Ciri-ciri ini akan menjadikannya pilihan terbaik untuk penunggang yang mengutamakan kuasa, keselesaan dan ketahanan.

Kepuasan penunggang motosikal juga dirasai dengan pemasangan klac ‘Slipper’ pada motosikal dengan fungsi istimewa ‘Quickshifter’ yang bukan hanya melancarkan perjalanan, malah memudahkan penunggang kerana tidak perlu lagi menekan klac atau pendikit semasa ingin menukar gear atas pada transmisi manual.

Bagi yang ingin tahu mengenai jenis suspensinya, CFMOTO 500SR VOOM menggunakan suspensi jenis Redaman Hidraulik Boleh Laras pada bahagian hadapan dan Redaman Boleh Laras pada bahagian belakang. Kedua-dua fungsi suspensi ini memberikan pelbagai kelebihan, termasuklah mengurangkan kesan gegaran serta memberikan pengalaman menunggang yang lebih selesa dan stabil terutamanya di atas permukaan jalan berbatu.

Jenama tayarnya pula ada CST jenis S3 yang memperoleh pengiktirafan ISO9001, pensijilan DOT (Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat), E-Mark, TS 16949 dan Anugerah Jenama Terkenal China. Dengan saiz tayar hadapan 120/70 R17 dan tayar belakang 160/60 R17, pengalaman tunggangan akan lebih yakin dan selamat.

Beralih kepada fungsi brek, model ‘Sport’ ini sudah semestinya dilengkapi dengan sistem brek yang canggih dan terkini iaitu ABS dwi-saluran depan dan belakang dengan kebolehan pengawalan dan kestabilan dua kali ganda lebih terjamin. Ia turut dilengkapi dengan brek hadapan jenis empat pot caliper dan belakang satu pot caliper.

Terdapat juga sistem Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) pada motosikal yang berfungsi untuk memberikan amaran kepada pengguna jalan lain apabila motosikal berhenti secara tiba-tiba atau dalam situasi kecemasan. Sistem ini secara automatik mengaktifkan lampu isyarat kecemasan dengan kerlipan lampu pantas yang memberi makna amaran visual untuk mengurangkan risiko kemalangan dari arah belakang.

Taraf keselamatannya turut dipertingkatkan dengan adanya sistem suis pemati tongkat sisi yang mengelakkan motosikal daripada dihidupkan sekiranya tongkat masih tidak diangkat. Tidak lupa juga Kawalan Cengkaman (TC) yang terdapat pada CFMOTO 500SR VOOM sehingga dua tahap dengan fungsi mengawal kuasa enjin untuk mencegah gelinciran seterusnya memberikan cengkaman yang lebih optimum.

Menelusuri jenis papan pemukanya pula, model ini telah dipasang dengan Transistor Filem Nipis (TFT) yang memudahkan penunggang melihat visual meter secara jelas walaupun pada waktu siang dan silau. Disertakan juga dengan dua port pengecasan USB jenis-C dan jenis-A, motosikal ini pasti menjadi pilihan bijak.

CFMOTO 500SR VOOM juga mempunyai tapak roda 2,010mm, kelebaran 730mm, ketinggian 1,115mm serta mempunyai ketinggian tempat duduk setinggi 795mm. Saiz motosikal yang bersifat sederhana ini sangat ideal untuk penunggang tanpa mengira saiz.

Dengan setiap pembelian CFMOTO 500SR VOOM, para pembeli boleh menikmati jaminan waranti perbatuan tanpa had untuk tempoh dua tahun serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh CFMOTO Malaysia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

* Copy This Password *

* Type Or Paste Password Here *