Malaysia, 12 Januari 2026 – Sejarah baharu dunia permotoran Malaysia tercipta apabila 850 buah motosikal Royal Enfield berhimpun dalam perhimpunan Royal Enfield terbesar pernah diadakan di Malaysia, sekali gus diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records.
Acara bersejarah ini berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, menyaksikan penunggang Royal Enfield dari setiap negeri di Semenanjung Malaysia berkumpul dalam satu manifestasi luar biasa semangat perpaduan, minat dan persaudaraan. Pemandangan ratusan motosikal Royal Enfield memenuhi litar ikonik tersebut menjadi detik yang cukup mengagumkan dan menandakan satu pencapaian penting bagi komuniti penunggang tempatan.
Dianjurkan oleh Didi Group, perhimpunan ini menampilkan pelbagai model daripada keseluruhan rangkaian Royal Enfield daripada model klasik seperti Bullet dan Classic 350, sehinggalah kepada Interceptor 650, Continental GT, Himalayan dan Super Meteor 650. Ramai peserta sanggup menempuh perjalanan jauh semata-mata untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini.
Pencapaian rekod ini direalisasikan menerusi Parade Ride dan perhimpunan besar-besaran, yang bukan sahaja meraikan kejayaan mencipta rekod, tetapi juga memperkukuh semangat kebersamaan dan persaudaraan yang menjadi identiti utama komuniti Royal Enfield di Malaysia.
Menurut Rewi Hamid Bugo, Pengerusi Didi Group:
“Aktiviti ini benar-benar mengangkat jenama dan komuniti Royal Enfield ke tahap seterusnya, menyatukan pemilik daripada pelbagai kaum dan latar belakang di bawah satu platform serta satu matlamat bersama mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records sebagai perhimpunan terbesar dengan penyertaan 850 pemilik yang berbangga. Tenaga dan semangat yang dirasai di lokasi amat luar biasa, dan kami berharap ia memberikan pengalaman pemilikan yang unik serta autentik. Ini merupakan permulaan 2026 yang sangat bermakna. Setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan serta terima kasih kepada Eicher Motors atas sokongan berterusan.”
Mengulas mengenai pencapaian rekod ini, Yadvinder Singh Guleria, Ketua Pegawai Komersial Royal Enfield, berkata:
“Kami amat berbesar hati dapat mencipta sejarah dengan tersenarai dalam Malaysia Book of Records. Hakikat bahawa rekod ini adalah untuk perhimpunan terbesar penunggang Royal Enfield di negara ini menjadikannya lebih istimewa kerana ia mencerminkan semangat bersama dan kekuatan komuniti. Royal Enfield sentiasa dikenali dengan legasi yang kaya serta motosikal yang berjiwa dan berkarakter. Kami menawarkan motosikal bertaraf global yang sesuai dengan gaya hidup penunggang serta serba boleh tanpa kompromi. Kami akan terus memperkukuh rangkaian dan keupayaan kami di rantau APAC serta membina komuniti penunggang yang lebih kukuh. Dengan sokongan penunggang yang penuh semangat, kami berharap dapat mencapai lebih banyak pencapaian seumpama ini pada masa akan datang.”
Malaysia Book of Records telah berperanan sebagai badan rasmi pencatat rekod pencapaian luar biasa di Malaysia sejak penubuhannya pada tahun 1995. Institusi ini memberikan pengiktirafan kepada pencipta dan pemecah rekod atas pencapaian istimewa oleh individu serta jenama di Malaysia.

