Sejak diperkenalkan pada tahun 2005, portal mStar yang kini mencapai 18 tahun usiannya telah berkembang menjadi platform yang popular dan berjaya memberikan kesan dalam landskap kandungan digital.
Dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika itu, angka 18 tahun adalah tempoh usia cukup matang dalam memenuhi permintaan kandungan digital ketika ini.
Mstar bermula dengan memberi fokus pada kandungan berita, kemudian berdiri teguh sebagai portal gaya hidup yang menekankan kontent hiburan, viral dan sensasi dalam memikat kumpulan sasar merangkumi usia 18 hingga 44 tahun.
Dalam melalui pahit getir sehingga mencecahnya angka 18 tahun ini, mStar berjaya mengangkat reputasinya apabila ia muncul sebagai portal gaya hidup dan hiburan nombor satu di Malaysia seperti dilaporkan ukuran data trafik Similar Web.
Purata paparan halaman sebanyak 20 juta dengan 8 juta pelawat unik sebulan, ia mampu memantapkan kedudukan mStar sebagai portal pilihan masyarakat selain berjaya meraih keyakinan kepada rakan niaga dalam mengiklanlkan produk mereka.
Bersempena meraikan 18 tahun penerbitannya, mStar mengambil kesempatan dengan memberi peluang kepada ikon seni negara, Datuk Haji Aznil Nawawi menandatangi papan tanda istimewa mStar atas pencapaian ini, sesuai dengan kedudukan beliau sebagai ikon yang berjaya mencipta nama bukan sahaja sebagai wartawan tetapi pelbagai cabang kerjaya seni lain.
MSTAR BAEK BANTU ARTIS MEMERLUKAN
Mstar juga turut tampil dengan sebuah program terbaharu iaitu mStar Baek yang merupakan sebuah inisiatif bersama penaja Noir Health & Beauty bagi menyantuni masyarakat memerlukan terutamanya golongan artis yang selama ini menjadi medium penghibur kepada orang ramai melalui bakat mereka.
Ketua Pengarang mStar, Niezam Abdullah berkata, pengenalan mStar Baek ini tercetus selepas melihat saat penggiat seni dilanda kesusahan selepas ditimpa ujian hidup, golongan ini seakan-akan tidak dipedulikan lagi sedangkan mereka pernah menabur bakti kepada masyarakat menerusi bakat seni masing-masing.
Justeru katanya, mStar yang banyak mengetengahkan perkembangan dunia hiburan tempatan merasakan bertanggungjawab untuk membantu golongan ini menerusi projek tanggung jawab sosial korporat (CSR) – mStar Baek.
“Program terbaharu berbentuk rakaman video terbitan mStar ini, akan mula bersiaran setiap hari Khamis bermula 5 Oktober 2023 sebanyak 10 episod yang akan disiarkan di portal mStar, YouTube, Facebook dan semua platform media sosialnya,” ujar Niezam.
Menerusi segmen ini Niezam berkata, mStar bersama Madammu atau nama sebenar Eriyca Baiduri iaitu pengasas Noir Health & Beauty menyantuni 10 selebriti terpilih untuk menyerahkan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan lain.
Antara artis yang disantuni ialah Zaiton Sameon, Mak Jah, Bad (Indigo), Mak Wan Latah, Ibnor Riza, Roy (Ratnaku) Wan Maimunah, Alina Hassan dan Izwan Fitri, Ali XPDC,
Dalam masa yang sama, dengan paparan yang dikongsi menerusi platform mStar ini, diharap ia membuka jalan agar golongan ini akan terus dibantu oleh semua pihak.
“Kami percaya, ramai lagi penggiat seni yang uji dengan pelbagai cabaran hidup dan berharap, program mStar Baek ini mampu untuk menjadi plaftorm dalam membantu golongan ini dengan kerjasama pihak-pihak tertentu yang bersedia bekerjasama menjadi penaja,” katanya.
Pengasas Noir Health & Beauty, Madammu pula berkata, kolaborasi bersama mStar bertepatan dengan objektifnya dalam membantu golongan memerlukan.
“Saya rasa peluang ini tak boleh saya lepaskan kerana kami di Noir sentiasa mengadakan CSR untuk membantu mereka yang perlukan bantuan dan yang perlu dibantu.
“Jadi apabila mendapat tahu tentang projek mStar Baek, saya rasa objektif kami sama dan saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan mStar untuk program ini,” katanya.
Tambah wanita berusia 34 tahun itu, keadaan ekonomi yang tidak menentu membuatkan dirinya berasa terpanggil untuk berkongsi rezeki dengan rakan selebriti yang memerlukan.
“Kalau tengok pada ekonomi sekarang ramai yang terjejas dengan krisis ekonomi yang berlaku. Jadi saya rasa ini peluang yang patut saya ambil dan perlu sentiasa beringat dalam rezeki kita ada rezeki orang lain.
“Mengapa tidak jika kita mahu berkongsi rezeki. Jadi bila ada platform seperti mStar Baek ini saya rasa sangat sesuai untuk Noir berkolaborasi dan laksanakan tanggungjawab kita untuk bantu orang lain,” ujarnya.
Madammu turut mengakui berasa terharu mendengar sendiri cerita dan pengalaman artis-artis yang dibantu dalam segmen mStar Baek apabila bertemu mereka sendiri ketika menjalani penggambaran.
“Perasaan saya sangat terharu, contohnya kisah Zaiton Sameon di mana kita tahu dia dahulunya berada di kemuncak dalam kerjayanya dan kita tak jangka secara tiba-tiba semuanya berubah.
“Jadi bila saya turut sama pergi jumpa artis-artis ini banyak yang saya pelajari, dalam hidup kita ni tak boleh sentiasa berfikir selalu berada di atas ada kalanya kita berada di bawah juga.
“Banyak perkara yang saya ambil dan jadikan muhasabah diri untuk tidak sentiasa melihat ke atas ada waktu perlu lihat di bawah,” jelasnya.
Selain Noir, para selebriti terlibat turut mendapat sumbangan berupa barangan keperluan asas daripada Bernas serta barangan kesihatan daripada Eskayvie.