KUALA LUMPUR, 2 FEBRUARI 2026 – Brixton Motorcycles Malaysia secara rasmi memperkenalkan Brixton Storr 500 ke pasaran tempatan bersempena Mforce Lou Sang Dinner 2026 yang berlangsung di M Resort & Hotel. Model dengan gaya pengembaraan retro ini boleh didapati di semua pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia dengan penawaran harga bermula RM29,888.00, tidak termasuk cukai jalan dan insurans.
Model ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Black, Green dan Yellow, serta dilengkapi tiga unit kotak simpanan (satu di atas dan dua di sisi), menjadikannya sesuai untuk kegunaan penjelajahan dan pengembaraan lasak.
Dari segi trenkuasa, Brixton Storr 500 dikuasakan oleh enjin 2-silinder, 4-lejang, 8-injap, 68 mm piston, 67 mm lejang dengan sesaran 486 cc, menggunakan sistem penyejukan cecair. Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum 35.0 kW pada 8,500 rpm dan tork maksimum 43 N.m pada 6,750 rpm, dengan nisbah mampatan 10.7:1. Sistem bahan api menggunakan EFI BOSCH, dihidupkan melalui sistem penghidup elektrik, menggunakan ECU sebagai sistem pencucuhan, serta dipadankan dengan klac basah berbilang plat, pendikit mekanikal, transmisi 6 kelajuan dan pacuan rantai.
Kapasiti tangki bahan api adalah 16 liter, sesuai untuk perjalanan jarak jauh. Aspek suspensi dan pengendalian dipertingkatkan dengan penggunaan fork terbalik KYB di hadapan dengan pelarasan redaman, manakala bahagian belakang menggunakan penyerap hentak tengah hidraulik KYB dengan pelarasan pra-beban. Jarak pergerakan suspensi hadapan ialah 180 mm, manakala belakang 71 mm, memberikan keseimbangan antara keselesaan dan kawalan di pelbagai permukaan jalan.
Sistem brek terdiri daripada cakera tunggal di hadapan dan belakang, dengan cakera hadapan bersaiz Ø320 mm dan cakera belakang Ø240 mm. Model ini dilengkapi ABS dwi-saluran yang boleh dinyahaktifkan, serta Traction Control System (TCS) boleh laras, yang menawarkan empat mod sistem brek, iaitu:
- TCS Aktif, ABS Aktif
- TCS Tidak Aktif, ABS Aktif
- TCS Aktif, ABS Tidak Aktif
- TCS Tidak Aktif, ABS Tidak Aktif
Brixton Storr 500 menggunakan tayar Pirelli dengan saiz 110/80-19 di hadapan dan 150/60-17 di belakang, dipadankan dengan dimensi keseluruhan 2,171 mm panjang, 916 mm lebar dan 1,432 mm tinggi. Motosikal ini mempunyai ketinggian tempat duduk 830 mm, jarak roda 1,441 mm, kelegaan tanah 200 mm, berat keseluruhan tanpa muatan 209 kg serta kapasiti beban maksimum 359 kg. Sistem pelinciran menggunakan percikan bertekanan.
Dari segi ciri dan teknologi, Brixton Storr 500 dilengkapi paparan meter TFT bersaiz 7 inci, port pengecasan USB Type-A, sistem kunci mekanikal, suis keselamatan tongkat sisi, serta lampu LED penuh merangkumi lampu hadapan, lampu belakang, lampu isyarat dan lampu kecemasan. Model ini turut dilengkapi lampu spotlight LED, pelindung angin serta bateri 12V 8Ah jenis Gel.
Untuk sambungan pintar, Brixton Storr 500 menyokong fungsi Bluetooth yang membolehkan notifikasi panggilan masuk, fungsi panggilan suara dan paparan pencerminan serta keserasian aplikasi pihak ketiga Carbit Ride bagi pengalaman tunggangan yang lebih interaktif.
Setiap pembelian Brixton Storr 500 disertakan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun dengan perbatuan tanpa had, serta akses kepada alat ganti tulen secara dalam talian melalui platform perkhidmatan Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.
TENTANG BRIXTON MOTORCYCLES
Brixton Motorcycles merupakan jenama motosikal berteraskan Eropah yang diinspirasikan daripada warisan motosikal klasik British, dengan gabungan reka bentuk retro dan kejuruteraan moden.
Berpegang kepada falsafah keunikan, ketukangan dan kebebasan berkarya, Brixton Motorcycles dikenali menerusi rekaan neo-retro yang ikonik, perincian halus serta kejuruteraan yang mengutamakan pengalaman penunggang. Setiap model menampilkan keseimbangan antara identiti klasik dan inovasi moden, menjadikannya bukan sahaja menarik dari segi visual, malah praktikal dan boleh diharap untuk tunggangan harian.
Dengan kehadiran yang semakin kukuh di pasaran Eropah dan peringkat antarabangsa, Brixton Motorcycles kini kembali ke pasaran Malaysia, menandakan satu langkah progresif berterusan buat peminat motosikal tempatan. Kemasukan semula Brixton mencerminkan komitmen jenama ini dalam menawarkan motosikal berinspirasikan gaya Eropah, dengan karakter tersendiri, prestasi yang diyakini serta nilai yang relevan untuk penunggang di Malaysia.

